“Aku dah tak suci lagi. Aku banyak dosa. Terlanjur dah dengan
beberapa orang lelaki. Zina tu dulu perkara biasa bagi aku sebab aku
couple bukan dengan seorang lelaki je. Tapi sekarang aku menyesal. Aku
rasa aku teruk sangat! Aku nak jadi lebih baik tapi aku malu. Aku selamanya tak akan jadi baik. Dosa-dosa lalu terus menghantui hidup aku. Aku rasa diri ini jijik dan teramat kotor,”
“Aku
ini nak kata budak jahat, tak adalah jahat sangat cuma nakal tu adalah
sikit-sikit. Itu mungkin kerana terikut perangai kawan-kawan. Mengusik
dan menyakat orang kerja biasa. Tapi sebenarnya jauh di sudut hati aku,
aku nak jadi lebih baik tapi aku malu. Nanti apa yang
kawan-kawan aku kata. Aku dah pernah sekali ajak mereka solat berjemaah
dan pergi dengar ceramah tapi aku dipandang pelik. Aku rasa susah
sangat. Aku terhimpit,”
“Aku solat cukup lima waktu
sehari. Puasa pun Alhamdulillah. Nak kata bab tutup aurat, aku lepaslah
agaknya. Tapi aku rasa aku ini tak cukup baik. Bila aku tengok
kawan-kawan yang berubah, bila aku tengok kawan-kawan yang pakai tudung
labuh dan berbaju kurung, aku rasa aku ini tak baik. Aku nak berubah tapi aku malu. Aku rasa susah. Aku rasa tak sanggup nak tinggalkan dunia cardigan, jeans, shawl dan pashmina,”
Iman Itu Masih Ada
Tatkala
hati terkesan dengan perbuatan dosa yang dilakukan, itu bukti tandanya
iman masih ada. Penyesalan itu salah satu daripada peringkat taubat.
Fitrah manusia suka akan kebaikan. Sebenarnya melakukan kebaikan lebih mudah daripada melakukan maksiat. Tak percaya?
Mana
lebih senang. Pergi konsert atau pergi masjid? Kalau pergi konsert,
perlu keluarkan duit untuk membeli tiket dan bersesak-sesak dengan orang
ramai. Faedah? Belum tentu. Kalau pergi masjid, langkahan kaki pun
sudah dikira. Tidak perlu keluarkan modal. Malah makin dicintai Allah.
Asal niat betul.
Mana lebih senang. Bersedekah atau mencuri? Kalau
bersedekah, hanya keluarkan duit. Zahirnya berkurang sedangkan
hakikatnya semakin meningkat saham di sana. Kalau mencuri, hati gelisah
dan tidak tenteram. Hidup dalam ketakutan. Tidak bahagia.
Selagi dunia tidak kiamat, selagi itu peluang masih ada. Kenapa harus memandang dosa yang lalu sedangkan kita masih punya waktu?
Pandangan
manusia. Cuba jadi tegas! Manusia kalau kita buat baik, ada orang tidak
suka. Kalau kita buat jahat apatah lagi, mesti ramai juga yang tidak
suka. Jadi, buat hanya apa yang Allah suka walaupun manusia tidak suka.
Pegang prinsip itu! Kerana kita bukan hamba manusia, kita hamba Dia! Ini
bukan marah tetapi tegas dan semangat!.
Cipta Masa Depan
Kita
selamanya tidak akan pernah tahu apa yang bakal terjadi pada masa
hadapan. Tetapi kita boleh mengubahnya mulai hari sekarang. Apa yang
kita buat hari ini, itulah yang bakal terjadi pada hari esok. Yang
penting, tanya pada diri, jika ingin melakukan kebaikan, di manakah
usaha? Begitu juga dengan soal rezeki dan jodoh.
‘Qada muallaq’
iaitu ketentuan Allah yang tercatat di lauhul mahfuz dan kita boleh
mengubahnya. Tetapi itu semua bergantung kepada sejauh mana usaha dan
doa.
Mari saya datangkan satu analogi. Katakan Ahmad seorang
pelajar yang bermasalah, malas belajar dan menghisap rokok. Tiba suatu
ketika, terdetik penyesalan di hatinya. Dan ketahuilah, saat itu, dia
punya dua peluang. Peluang ke arah kebaikan atau sebaliknya. Terhimpit
antara dua lorong.
Lorong pertama, memilih untuk rajin belajar dan
meninggalkan tabiat menghisap rokok. Lorong kedua, masih tetap dengan
perangai dan tabiat lama.
Apakah mungkin jika dia masih berada di
lorong kedua, pada masa hadapan nanti dia bakal menjadi seorang graduan
universiti yang punya sahsiah mulia dan cemerlang? Sudah tentu tidak!
Tetapi sebaliknya yang berlaku jika lorong pertama yang menjadi pilihan.
Ini
yang saya maksudkan. Bukan mahu menjadi ahli nujum. Cuma mengajak untuk
bersama membina masa hadapan. Mencipta jalan cerita sendiri.
Kita
umpama pelakon di pentas dunia. Kita punya kuasa untuk mengarah jalan
drama sendiri. Dan yang pasti hanya ada dua pilihan yang terbentang.
Satu lorong yang dipilih, akan membawa kepada lorong yang lain. Jika
lorong kebaikan dan perubahan yang dipilih, pasti kesudahannya juga
begitu. Begitu juga sebaliknya. Inilah ‘sunnatullah’.
Buat Dirimu…
Sahabatku,
usah biarkan keterlanjuranmu menjadi sejarah hitam yang terus mencalit
debu kehitaman walau hingga ketika ini. Itu semua sejarah dahulu dan
ketahuilah hari ini juga bakal menjadi sejarah. Tetapi bezanya sejarah
dahulu itu menjadi suatu pengajaran yang besar buat diri. Dan sejarah
yang bakal ditelusuri ini, ketahuilah, dirimu masih punya waktu. Usah
persiakannya!
Juga buat diri yang rindu akan kebaikan. Apakah saat
Allah mendatangkan penyesalan di hatimu, engkau mahu melepaskan peluang
ini? Apakah pada saat Allah membuka jalan taubat buatmu, engkau memilih
untuk semakin menjauh daripada-Nya walaupun tanpa kerelaan hanya kerana
malu dengan manusia sekeliling? Atau merasa diri itu terlalu kotor dan
tidak layak untuk diampunkan?
Ketahuilah Dia Maha Pengampun. Usah
pedulikan pandangan orang lain, tetapi dongaklah ke atas, dan ketahuilah
Dia menunggumu untuk sujud kepada-Nya bersama air mata taubat seorang
hamba!
Motivasi Dari Kisah
Saya
memahami, berbicara itu mudah tetapi mahu melakukan itu tidak semudah
bicara dan tulisan. Kerana itu perlu kepada kisah-kisah yang dapat
menguatkan hati. Yang bisa meneguhkan keazaman dalam diri untuk menjadi
lebih baik.
Pasti dan sudah tentu pernah mendengar kisah seorang
pelacur perempuan. Yang kiranya dipandang manusia begitu kotor dan jijik
pada masa kini sehingga melahirkan anak di luar perkahwinan yang sah.
Walaupun mereka itu kini telah menyesal dan ingin berubah tetapi tetap
dipandang serong. Tiada sokongan dan semangat yang ditiup tika mereka
lemah. Kerana terusan dihantui dosa-dosa lalu.
Dengarkan kisah ini
yang ingin saya putar kembali. Kembali kepada kisah pelacur perempuan.
Yang berzina. Tetapi dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah hanya kerana
memberi minum kepada seekor anjing. Tidakkah rahmat Allah itu luas?
Kerana itu berhenti menghukum manusia. Walau kotor pada pandangan
manusia, kita tiada pernah mengetahui apakah pandangan-Nya.
Lihat
diri sendiri dan nilai. Diri sendiri juga belum tentu baik. Diri sendiri
juga belum tentu dipandang-Nya. Walaupun kita melakukan kerja dakwah,
walaupun diri itu sentiasa memberi tazkirah, walaupun diri itu aktif
dalam program keagamaan.
Saya suka untuk kembali mengingatkan
kepada niat. Lagi sekali, lihat dan nilai. Itu semua tidak bermakna jika
hati terdetik riak dan melakukan kerana ingin dipandang hebat oleh
manusia. Kerana ingin supaya manusia memandang tinggi. Kerana ingin
manusia memandang diri itu bagus, baik, soleh dan solehah. Tika itu,
tanya diri sendiri, di mana niatmu yang kau katakan kerana Allah?
Lagi
saya bawakan kisah yang cukup sering didengari. Kisah pembunuh yang
telah membunuh 99 orang. Lihat usaha dan kehendaknya yang ingin
bertaubat. Pembunuhannya mencukupi 100 orang apabila membunuh seorang
alim yang mengatakan bahawa dia telah tiada harapan.
Namun, tidak
pernah cuba untuk berputus asa. Mengikut nasihat seorang alim yang lain
yang mengatakan bahawa perlu penghijrahan ke satu perkampungan yang
suasananya bisa membantunya bertaubat. Namun,di pertengahan jalan, dia
meninggalkan dunia tanpa sempat bertaubat. Tetapi dalam keadaan sedang
usaha bertaubat. Dan dia dimasukkan ke dalam syurga.
Kesimpulan
Kita tidak akan pernah bisa mengubah masa lalu, tetapi kita masih bisa bertindak mulai sekarang untuk mencipta sejarah baru.
Andai tiada berhenti memikirkan pandangan manusia, langkah kita tiada ke mana. Mereka tiada untung tetapi kita tetap rugi.
Sentiasa
bersangka baik dengan Allah. Apabila jalan hidup kita begitu dan
begini, yakinlah itu yang terbaik. Apabila kita melakukan dosa, Dia ada
memberi keampunan. Saat kita lemah dan terhimpit, Dia ada meniupkan
semangat dan kekuatan.
Allah ada menyebut bahawa Dia bersama
sangkaan hamba-Nya. Andai kita yakin dosa-dosa kita akan diampunkan, Dia
dengan rahmat dan sifat Maha Pengampun-Nya akan mengampunkan dosa
hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh.
-Artikel iluvislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan