Khamis, 4 Julai 2013

Orang Arif Sentiasa Berhajat Kepada Allah SWT

Gambar hiasan
ORANG ARIF TIDAK LUPUT DARI RASA BERHAJAT KEPADA ALLAH S.W.T DAN TIDAK BERASA SENANG UNTUK BERSANDAR KEPADA SESUATU SELAIN ALLAH S.W.T.
 
Orang arif mempunyai hati yang sangat halus dan adab sopan yang sangat tinggi terhadap ALLAH s.w.t. Dia mengenali kurniaan dan kekuasaan ALLAH s.w.t pada nikmat penciptaan dan nikmat kesinambungan kewujudan yang diciptakan ALLAH s.w.t. Dia mengenali bahawa tiada satu detik pun makhluk terlepas dari pergantungan kepada ALLAH s.w.t. Tidak ada satu makhluk yang tidak diheret oleh ketentuan ALLAH s.w.t, sebagaimana firman-Nya:
 
 
ALLAH Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat ( Ayat 2 : Surah al-Ikhlas )
 
Engkaulah sahaja (Ya ALLAH  yang kami sembah, dan kepada Engkaulah kami memohon pertolongan. ( Ayat 4 : Surah al-Faatihah )
 
ALLAH s.w.t sahaja yang memiliki sifat-sifat ketuhanan yang menyebabkan sekalian makhluk berhajat kepada-Nya tanpa ada pilihan lain, dan kepada-Nya juga ditujukan semua ibadat. Apabila Dia menciptakan makhluk ditegakkan hukum ubudiyah kepada mereka. Dia berfirman:
 
Kemudian Ia menujukan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: “Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!” Kedua-duanya menjawab: “Kami berdua sedia menurut – patuh dengan sukarela”. ( Ayat  11 : Surah Fussilat )
 
Langit dan bumi diciptakan oleh ALLAH s.w.t. Mereka dapat mendengar wahyu ALLAH s.w.t, dapat menjawab dan berbuat taat kepada-Nya. Begitu juga hati para arifbillah. Mereka sentiasa mendengar ucapan ALLAH s.w.t, membalas ucapan-Nya dan taat kepada-Nya. ALLAH s.w.t berucap tanpa bahasa dan hati mendengar tanpa telinga dan menjawab tanpa lisan. Begitulah hubungan hati para arifbillah. Mereka tidak lekang dari sifat keaslian mereka iaitu berhajat kepada ALLAH s.w.t, memohon petunjuk dari-Nya dan mentaati-Nya sepenuhnya. Tidak ada lagi hajat keperluan mereka kepada makhluk.
 
Al-Quran menceritakan sifat para hamba yang mengenal Allah s.w.t. Mereka sentiasa menyatakan hajat dan pergantungan kepada-Nya. Mereka memohon pertolongan dan perlindungan-Nya daripada musuh-musuh mereka.
 
Yusuf menjawab: “Aku berlindung kepada ALLAH (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya”. ( Ayat 23 : Surah Yusuf )
 
Dan (setelah mendengar ancaman itu) Nabi Musa berkata: “Sesungguhnya aku berlindung kepada ALLAH Tuhanku dan Tuhan kamu -  dari (angkara) tiap-tiap orang yang sombong takbur, yang tidak beriman kepada hari hitungan amal!” ( Ayat 27 : Surah Mu’min )
 
ALLAH s.w.t mengajarkan agar manusia mohon berlindung kepada-Nya daripada musuh-musuh mereka terutamanya syaitan yang sentiasa mengintai peluang untuk mengheret manusia kepada kesesatan.
 
Dan katakan: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepada-Mu dari hasutan syaitan-syaitan. Dan aku berlindung kepada-Mu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku”.
( Ayat 97 & 98 : Surah al-Mu’minuun )
 

http://alhikam0.tripod.com/hikam113.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...