Assalamualaikum w.b.t. Apa khabar sahabat semua? Semoga sentiasa dirahmati dan dikasihi Allah.
Sudahkah kita benar-benar menghadapkan diri dan kehidupan kita sepenuhnya kepada Allah?
Berapa peratus? Seratus peratus? Lima puluh peratus? Atau baru sepuluh peratus?
Tahukah anda bagaimana mahu mengukur tahap anda menghadap kepada Allah?
Sudahkah kita benar-benar menghadapkan diri dan kehidupan kita sepenuhnya kepada Allah?
Berapa peratus? Seratus peratus? Lima puluh peratus? Atau baru sepuluh peratus?
Tahukah anda bagaimana mahu mengukur tahap anda menghadap kepada Allah?
Mudah
saja. Lihat sejauh mana anda menghadapkan diri kepada Allah sewaktu
solat. Berapa peratuskan solat anda itu benar-benar sedar kepada Allah
dan betul-betul menghadap kepada-Nya dan bukan menghadap kepada yang
selain-Nya seperti kerja yang belum disiapkan, ikan di kuali atau kunci
yang hilang.
Sebaik anda mengangkat takbiratul ihram, perhatikan
kesedaran anda. Anda boleh berada dalam dua kesedaran, pertama
kesedaran kepada Allah dan merasa dilihat Allah atau kesedaran nafs
iaitu perkara-perkara berkaitan dunia dan hawa nafsu.
Sekiranya
kesedaran anda kepada Allah hanya sekitar sepuluh peratus sahaja dari
keseluruhan solat itu, maka begitu jugalah sepuluh peratus sahaja anda
menghadapkan diri dan kehidupan kepada Allah. Itulah cara mengukurnya
kerana solat menggambarkan diri dan kehidupan anda.
Bayangkan di
dalam sebuah kelas, sekiranya terdapat pelajar yang bercakap semasa
guru bercakap, itu menunjukkan sikapnya yang sama di luar kelas iaitu
tidak menghormati orang lain. Sikap kita di dalam solat sama dengan sikap kita di luar solat.
Justeru, inilah rahsianya untuk kita mengubah sikap dan kehidupan kita
kepada yang lebih baik. Iaitu dengan membaiki solat kita. Inilah
latihan yang Allah sediakan.
Solat adalah suatu perbuatan yang
dibuat berulang-ulang kali. Setiap perbuatan yang dibuat berulang kali
akan menjadi perilaku atau sikap seseorang yang melakukan perbuatan
itu. Justeru Allah mewajibkan hamba-Nya untuk solat dengan khusyuk
iaitu dengan menghadapkan dirinya dengan penuh kepada Allah ketika
solat.
Inilah yang terungkap dalam Doa pembuka solat iaitu Doa Iftitah,
“Sesungguhnya aku menghadapkan wajahku ke wajah Allah yang menciptakan
langit dan bumi” dan kalimah seterusnya “Sesungguhnya solatku,
ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah”.
Bayangkan
sekiranya seseorang itu menghayati apa yang dibacanya dalam doa Iftitah
ini, iaitu dengan melakukan apa yang dibaca bukan sekadar membaca tanpa
sedar, pastinya ia akan berubah menjadi perilaku. Bagaimana dia
benar-benar menghadapkan wajahnya kepada Allah ketika dia membaca doa
Iftitah pastinya dia terlatih untuk menghadapkan diri dan kehidupannya
hanya untuk Allah. Inilah rahsia solat yang khusyuk. Apabila seseorang
berjaya untuk solat dengan khusyuk maka dia juga berjaya menghadapkan
diri dan kehidupannya kepada Allah di luar solat. Dia juga akan berjaya
mencegah perbuatan keji dan mungkar kerana dia sentiasa sedar akan
Allah setiap waktu dan ketika. Firman Allah; “.. Sesungguhnya solat itu
mencegah perbuatan keji dan mungkar”
Ramai umat Islam hari ini mempunyai masalah untuk solat dengan khusyuk. Apakah dan dimana puncanya masalah ini?
Pertamanya
kerana tidak adanya ilmu bagaimana kaedahnya untuk khusyuk di dalam
solat. Dari kecil, kita diajar dengan lengkap rukun-rukun dan
sunat-sunat solat, kita diajar apa yang membatalkan solat tapi jarang
sekali yang mengajar bagaimana untuk khusyuk dengan solat. Justeru,
ilmu untuk solat dengan khusyuk tersangatlah penting agar solat kita
menjadi solat yang khusyuk dan menghadapkan diri kepada Allah. Barulah
hidup kita akan betul menghadap kepada Allah dan tidak selain-Nya.
Dengan itu benarlah kalimah syahadah yang kita ucapkan bahawa tidak ada
Tuhan lain yang kita hadapkan wajah kita selain Allah; tidak menghadap
kepada wang dan harta, tidak menghadap kepada pangkat dan kemasyhuran
yang dengan itu kita telah mensyirikkan Allah.
Keduanya, setelah
kita belajar solat dengan khusyuk, mengapa kita masih mempunyai masalah
untuk khusyuk? Ini adalah kerana dalam diri kita ada nafs (hawa nafsu)
yang sering mengajak kepada kejahatan. Diri kita masih mempunyai
banyak keinginan yang berkaitan dengan dunia.
Justeru ketika kita
mahu menghadapkan diri kepada Allah di dalam solat,
keinginan-keinginan dunia dari hawa nafsu akan menarik kesedaran
terhadap Allah dan membawa kita kesedaran dunia dan isinya. Justeru
solat kita menjadi tidak khusyuk kerana jiwa tidak menghadap kepada
Allah tetapi kepada selain-Nya. Bagaimana untuk menghadapi masalah ini?
Allah
sudah menyiapkan senjata untuk kita menawan hawa nafsu kita agar dia
menjadi lemah dan tidak mampu untuk menarik perhatian kita dari Allah.
Senjata itu adalah Puasa.
Hawa Nafsu kita berasal dari dorongan
jasad kita. Puasa melemahkan jasad dan secara otomatisnya melemahkan
dorongan untuk membesarkan hawa nafsu. Justeru latihan 30 hari di bulan
Ramadhan adalah senjata yang sangat hebat untuk menawan hawa nafsu
itu. Bayangkan setiap hari kita melemahkan jasad dan dorongannya.
InsyaAllah di akhir bulan Ramadhan, kita akan berjaya menawan hawa
nafsu yang selalu mengajak kepada kejahatan itu dan akhirnya berjaya
solat dengan khusyuk dan menghadapkan secara penuh kepada Allah.
Justeru kembalilah kita kepada Allah dalam keadaan suci dan itulah
sebab kita sering mendengar ungkapan “kembalilah ke fitrah yang suci”
di bulan Ramadhan.
Allah memberikan kita senjata yang kedua untuk
benar-benar menawan hawa nafsu kita. Senjata yang kedua adalah zakat.
Di dalam bulan Ramadhan kita digalakkan berzakat atau bersedekah.
Memberi yang digalakkan Allah adalah memberi sesuatu yang dicintai.
Contohnya seorang yang mempunyai banyak kambing, haruslah memilih
kambing yang terbaik untuk disedekahkan. Mengeluarkan atau memberi
harta yang dicintai ini akan membebaskan kita dari ikatan kecintaan
harta dan dunia yang sering menarik kesedaran kita dari kesedaran ke
Allah kepada kesedaran dunia dan isinya. Justeru dengan senjata yang
kedua ini, kita akan lebih mudah untuk solat dengan khusyuk.
Apa jadi selepas bulan Ramadhan? Senjata sudah tidak digunakan lagi?
Pastinya
kita memerlukan senjata ini setiap waktu dan ketika kerana kita harus
menghadapkan diri dan kehidupan kita kepada Allah setiap bulan dan
bukan hanya di bulan Ramadhan. Allah menggalakkan hamba-Nya untuk
berpuasa enam hari di bulan Syawal. Justeru sebaiknya cubalah berpuasa
enam hari berturut-turut agar dapat manfaat seperti bulan Ramadhan di
mana kita benar-benar memerangi hawa nafsu yang cuba membesar dengan
‘open house’ di bulan Syawal. Jangan lupa untuk menggunakan juga
senjata yang kedua iaitu zakat atau sedekah ketika kita berpuasa enam
itu.
Apa yang berlaku selepas puasa enam? Rasulullah mengajar
kita untuk berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Puasa itu senjata yang
tidak harus ditinggalkan. Justeru untuk memastikan kita mampu untuk
sentiasa solat dengan khusyuk di mana kesedaran kita ke Allah berjaya
dipertahankan (kerana hawa nafsu yang menarik kesedaran itu sudah
berjaya dilemahkan dan ditawan) maka kita harus sentiasa menggunakan
senjata Puasa ini secara berterusan.
Jangan lupa juga untuk
keluarkan zakat atau bersedekah apabila melakukan Puasa Sunat Isnin dan
Khamis. InsyaAllah kita dapat menghidupkan suasana Ramadhan setiap
minggu; Isnin, Khamis berpuasa, Jumaat kita raya (ada khutbah Jumaat)
dan jangan lupa bila ke Masjid untuk solat berjamaah, hulurkan wang
yang kita cintai untuk jalan Allah atau kepada sesiapa yang memerlukan.
Justeru orang Islam itu bersedekah setiap minggu.
Inilah rahsia
hebat yang sering kita terlepas pandang. Solat, Puasa dan Zakat hanya
jadi rutin beragama yang dilaksanakan tanpa memahaminya. Justeru di
bulan Ramadhan yang sewajarnya bulan menawan hawa nafsu jadi bulan yang
paling kuat membesarkan hawa nafsu, hawa nafsu makan semasa berbuka,
hawa nafsu menukar perabot rumah, memberi emas, membeli langsir dan
sebagainya. Jadilah Puasa kita itu hanya sekadar lapar dan dahaga yang
disebutkan oleh Rasululah.
Dengan Ilmu solat dengan khusyuk dan
dua senjata hebat, Puasa dan Zakat, insyaAllah kita akan mampu Solat
dengan benar-benar menghadapkan wajah kita kepada Allah sepenuhnya.
Justeru, begitulah juga kita di luar solat, insyaAllah benar-benar
mampu menghadapkan diri dan kehidupan kita kepada Allah dan menjadikan
hidup dan mati kita hanya untuk Allah. Inilah erti Kalimah Syahadah
yang kita sebutkan. Barulah kita dikatakan telah menyempurnakan
Syahadah kita.
Rumusannya, Solat adalah cermin diri dan kehidupan
kita. Bagaimana kita solat, itulah diri dan kehidupan kita. Itulah
sebab kenapa Solat adalah soalan yang pertama ditanya oleh Allah bila
kita kembali menghadap-Nya satu hari nanti. Baik solat kita, baiklah
kehidupan kita dan masuklah kita ke Syurga yang disediakan untuk
orang-orang yang menjaga solatnya.
Belajarlah Solat dengan
Khusyuk, rajinlah berpuasa dan lepaskanlah ikatan kecintaan kepada
dunia dengan sering bersedekah dan berinfaq di jalan-Nya. Semoga kita
dipanggil pulang oleh Allah sebagai jiwa yang tenang dan berjaya
memasuki Wilayah Nafsul Mutmainnah yang didiami oleh ruh para kekasih
Allah. Amin Ya Allah.
Firmah Allah yang bermaksud: “Wahai jiwa
yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan puas lagi diredhaiNya,
Masuklah ke dalam jamaah hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu”
(Al-Balad: 27-30)
- Artikel Iluvislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan