Apakah Virus Ebola?
Penyakit Virus Ebola yang juga dikenali sebagai EVD merupakan penyakit jangkitan virus yang parah dengan menunjukkan ciri-ciri seperti flu, dan pendarahan dalaman yang teruk. Kadar untuk selamat adalah sangat rendah. 60 hingga 90% orang yang terkena virus ini akan mengalami kematian.
Di Manakah Ebola Bermula?
Ebola mula dikesan pada tahun 1976 di Nzara, Sudan dan juga Yambuku, Zaire (Republik Demokratik Congo). Di Zaire, kampung di mana wabak Ebola ini mula dikesan adalah berdekatan dengan sungai bernama Ebola. Di situlah di mana virus ini mendapat nama. Kelawar buah dikatakan merupakan binatang yang dikenalpasti mengjangkitkan manusia dengan penyakit tersebut. Di Afrika, interaksi antara manusia dengan binatang seperti chimpanzee, gorila, monyet, antelop dan landak juga merupakan antara punca penyebab berjangkitnya Virus Ebola ini kepada manusia.
Apakah Simptom Ebola?
Penyakit Ebola biasanya menunjukkan ciri-ciri seperti flu. Sebagai contohnya demam, sakit otot, sakit kepala dan juga sakit tekak. Simptom ini diikuti dengan tanda seperti muntah, cirit birit, ruam, kegagalan ginjal berfungsi dan juga pendarahan dalaman atau luaran. Virus ini akan mula menunjukkan kesan simptom antara 2 hingga 21 hari.
Bagaimana Ebola Boleh Berjangkit?
Virus Ebola bukanlah penyakit jangkitan melalui udara. Penyakit ini hanyalah berjangkit melalui sentuhan bendalir badan, seperti darah. Pekerja kesihatan merupakan mereka yang sangat berisiko tinggi jika tidak memakai peralatan dan pakaian yang selamat, seperti topeng, gaun dan sarung tangan.
Apakah Rawatan Untuk Ebola?
Buat masa sekarang, masih belum ada. Sekadar beberapa vaksin yang masih lagi dalam eksperimen percubaan. Doktor kebiasaannya akan menyediakan penjagaan tambahan yang lebih rapi kepada pesakit, termasuk bantuan oksigen, pemindahan darah dan rawatan mengelakkan jangkitan penyakit lain.
Adakah Jangkitan Ebola Yang Terbaru Adalah Kritikal?
Pada Februari 2014, variasi Virus Ebola ditemui di Guinea. WHO (World Health Organisation) melaporkan sehingga 23 Julai 2014, sebanyak 1201 kes Ebola telah disahkan di seluruh dunia, dengan jumlah kematian sudah mencecah seramai 672.
http://www.cikguhailmi.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan