Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan segera berjumlah RM50 juta untuk negeri dilanda banjir.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah,
berkata peruntukan itu akan diagih dan disalurkan segera kepada Pejabat
Pembangunan Negeri di negeri terjejas berikutan banjir yang semakin
meruncing.
"Kementerian Kewangan juga akan mempermudah pembelian segera
keperluan peralatan bantuan dalam memastikan bantuan dapat disampaikan
kepada rakyat di kawasan terjejas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Husni berharap peruntukan segera serta kemudahan pembelian
peralatan bantuan itu dapat membantu meringankan beban yang dihadapi
rakyat di negeri berkenaan.
"Kementerian Kewangan akan terus memantau perkembangan dari
semasa ke semasa dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mempermudah
usaha bantuan kepada rakyat," katanya.
Keadaan banjir tidak menampakkan tanda-tanda reda sehingga
menyaksikan 90,250 penduduk di Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan
Perlis terpaksa berpindah, jumlah yang amat besar dalam sejarah bencana
banjir di negara ini.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan