Nabi Muhammad SAW pernah berkata.“Bersedekah boleh mengubati penyakit dan boleh menolak daripada sebarang penyakit serta menyampaikan maksud.”
Sedekah adalah antara amalan mulia yang digalakkan oleh agama. Ia
bukan sahaja boleh menyucikan jiwa kita daripada sifat haloba kepada
dunia. Ia juga boleh mengubati penyakit.
Setiap orang akan ada masa sakit. Apabila ditimpa penyakit, ia wajib diubati sama ada secara moden ataupun secara tradisional. Namun
ada penyakit yang sukar sembuh, kadang-kadang memerlukan pembedahan.
Pada ketika itulah, kita hanya mampu berdoa kepada Tuhan supaya
disembuhkan daripada penyakit yang kita hadapi. Sebab itu kita
digalakkan supaya bersedekah. Ini kerana doa daripada orang yang menerima sedekah kita mungkin boleh membantu memakbulkan permintaan kita kepada Tuhan.
Apabila kita bersedekah, Tuhan akan menambahkan berkat kepada hidup
kita. Doa kita supaya disembuhkan daripada penyakit akan dimakbulkan
Tuhan. Nabi Muhammad SAW sendiri, pernah meminta para sahabat yang
ingin menemui beliau supaya bersedekah terlebih dahulu.
Untuk bersedekah tidak memerlukan jumlah wang yang banyak. Cukup
sekadar yang kita mampu. Jika kita hanya mampu bersedekah sebanyak
seringgit sahaja, itu sudah memadai daripada bersedekah dengan jumlah
yang banyak tetapi diiringi dengan kata-kata dan perbuatan yang
menyakitkan hati. Jangan tunggu waktu kita sakit barulah kita mahu
bersedekah.
Selain menyembuhkan penyakit, sedekah juga boleh menyampaikan maksud dan hajat kita. Sebagai
contoh, apabila anak-anak kita yang bakal menduduki peperiksaan PMR dan
SPM, sudah tentu kita mengharapkan supaya mereka berjaya. Selepas
mereka bertungkus-lumus membaca dan mengulang kaji pelajaran, maka tugas
kita adalah berdoa untuk mereka. Bersedekahlah jika kita ingin hajat
kita itu tercapai. Keluarkan sejumlah kecil wang kita, hulurkan kepada
jiran tetangga yang memerlukan atau orang yang miskin. Niatkan supaya
ia menjadi amalan yang dapat menyampaikan maksud kejayaan anak kita.
Kita juga boleh mengadakan kenduri kecil supaya ramai orang dapat
merasai sedekah kita. Abu al-Sheikh Dilami pernah menyebutkan kata-kata
Nabi Muhammad SAW di atas. Beliau juga ada menyatakan bahawa harus
untuk kita bersedekah dengan niat supaya disembuhkan segala penyakit
yang dihidapi dan sebagainya. Tuhan berkata menerusi surah al-Taubah
ayat 104 yang bermaksud, ”Ambillah sebahagian daripada harta manusia,
sebagai suatu bentuk sedekah atau zakat supaya harta mereka suci dan
bersih dengan sedekah itu”.
http://dapurciknah.blogspot.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan