Ramadhan seharusnya menjadi satu permulaan pada perkara yang baik jika ingin berubah. Suami isteri misalnya, wajar menjadikan bulan penuh kemuliaan ini sebagai satu titik tambah untuk memperbaiki hubungan dan mengukuhkan lagi ikatan kasih sayang sedia ada.

Sebagai perkongsian Ramadan kali ini, apa kata anda suntik pembaharuan dalam hubungan sambil memupuk ikatan yang lebih utuh. Selain mengeratkan kasih sayang, anda juga mengaut begitu besar pahala di bulan yang penuh berkat ini. Apa yang perlu anda lakukan?


1. Ajakan Berhijab
Jika isteri anda tidak menutup aurat dengan sempurna, ajaklah dia menutup auratnya di bulan yang mulia ini dengan lembut. Jadikan ini medan percubaan untuknya tampil cantik sambil menuntut kehendak agama. Mana tahu apabila habis Ramadhan hatinya terbuka untuk berhijab penuh. Bonus bukan?

2. Pilih Memasak
Jika juadah bazar Ramadhan selalunya menjadi pilihan berbuka, apa kata ubah kebiasaan ini dengan menyediakan makanan sendiri untuk suami dan anak-anak. HR at-Tirmizi  menyebut, "Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang berpuasa. Ubah kelainan dan rasai nikmatnya kala makanan habis licin dijamah.

3. Jemaah & Tarawih
Tarawih solat yang membezakan bulan puasa dengan bulan-bulan lain. Ajaklah isteri atau suami untuk bertarawih di masjid bersama. Perjalanan ke masjid pastinya buat hubungan tambah erat selain memberikan situasi berbeza.

4. Sedekah Tiap Hari
Tangan yang memberi pastinya lebih baik daripada yang menerima. Jadikan tangan anda sebagai tangan yang memberi. Ajak suami atau isteri bersedekah setiap hari di mana sahaja sepanjang bulan puasa ini. Jadikan ini teladan pada bulan-bulan seterusnya.

5. Cahaya Tahajud
Mengejar malam lailatulqadar pastinya lebih indah bila dilakukan bersama suami dan isteri tercinta. Ajak lembut pasangan anda untuk sama-sama bangun dan bersolat penuh khusyuk keduanya menghadap Ilahi. Ganjarannya bukan sedikit, kenikmatan pasti dirasai bersama.

6. Kucup Dahi
“Rasulullah SAW sentiasa mencium dahi isterinya dalam bulan Ramadhan. Ketika itu
Baginda sedang berpuasa”. Hadis ini jelas membuktikan, Nabi SAW tetap memberikan kasih
sayang baginda kepada isteri tanpa mengira waktu. Tabiat ini wajar dicontohi oleh semua suami kerana ciuman itu tanda sayang sejati. Rebutlah ganjaran pada bulan Ramadhan yang mulia ini untuk berubah. Jika ciuman sudah dianggap janggal untuk anda, mulakannya semula.


TAHUKAH ANDA
Bacaan al-Quran secara tadarus suami dan isteri sememangnya digalakkan, malah besar manfaatnya. Ajak suami mengambil sebahagian juz al-Quran dan selebihnya diberikan kepada isteri. Berusahalah untuk khatam al-Quran bersama-sama sambil merasa nikmatnya.
mingguan wanita