Bersama Ustaz Zahazan
SAYA pemuda berumur 25 tahun. Saya mempunyai seorang anak saudara yang mempunyai perangai yang buruk. Mulutnya suka mencaci-maki dan tidak tahu menghormati orang lain. Dia berkawan dengan budak-budak yang buruk perangai. Kakak saya sudah pening macam mana mahu mengubah perangai anaknya ini. Saya fikir hendak bawa anak saudara saya duduk bersama saya di Kuala Lumpur dengan harapan dia dapat mengubah perangainya. Persoalannya bagaimana hendak mengubah perangai anak saudara saya supaya menjadi orang yang ada akhlak.
IWAN,
Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur.
UNTUK mengubah tabiat atau kelakuan, bukanlah suatu perkara yang mudah tetapi bukanlah juga perkara yang mustahil untuk dilakukan. Sesungguhnya banyak perkara yang boleh mendorong untuk mencapai akhlak mulia, antaranya:
Pertama, hendaklah membetulkan akidah atau mesti berakidah dengan akidah yang benar. Akidah adalah faktor penting dan perkara yang mulia. Secara umumnya, kelakuan seseorang itu adalah berpunca daripada fikiran, keyakinan dan agama seseorang, manakala akhlak yang buruk itu lahir berpunca daripada kesalahan akidah yang dianuti seseorang.
Akidah adalah bentuk keimanan, sedangkan orang mukmin yang paling sempurna ialah yang terbaik akhlaknya. Bila akidahnya benar, maka akhlaknya akan ikut menjadi baik, dan membawa pemiliknya berakhlak mulia seperti berkata jujur, dermawan, bersopan-santun, berani dan lain-lain lagi. Dengan akidah itu jugalah akan mengekang dan melarangnya untuk berkelakuan hina seperti berdusta, bakhil, jahil, dan lain-lain lagi.
.
Kedua, berdoa.
Doa adalah pintu kemuliaan. Apabila doa dimakbulkan Allah, maka kebaikan akan silih berganti datang dan keberkatan turut mengalir darinya. Siapa yang ingin berkelakuan mulia dan terlepas daripada akhlak yang hina, hendaklah kembali kepada Tuhannya. Caranya iaitu dengan mengangkat tangan berdoa mohon dengan penuh harapan agar Allah memberi kurnia akhlak mulia serta menghindarkannya daripada akhlak tercela.
Doa sangat bermanfaat dalam situasi sebegini mahupun dalam situasi lainnya. Sehingga Nabi SAW banyak berharap dan memohon kepada Tuhannya agar dikurnia akhlak yang mulia. Antara doa berhubung dengan akhlak iaitu:
Doa sangat bermanfaat dalam situasi sebegini mahupun dalam situasi lainnya. Sehingga Nabi SAW banyak berharap dan memohon kepada Tuhannya agar dikurnia akhlak yang mulia. Antara doa berhubung dengan akhlak iaitu:
Allahummah dini liahsanil Akhlaq, la yahdi liahsaniha illa ant, wasrif ‘anni saiyi aha la yasrifu ‘anni saiyi aha illa anta. (Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah aku akhlak yang mulia, tiada Zat yang dapat menunjukkan kebaikannya kecuali Engkau. Dan palingkanlah dariku keburukannya. Tiada Zat yang dapat memalingkannya kecuali Engkau.)
.
Ketiga, perlu ada mujahadah.
Mujahadah adalah suatu yang penting dalam membetulkan akhlak kerana akhlak mulia termasuk salah satu bentuk hidayah yang dapat diperoleh dengan jalan mujahadah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud: “Dan orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah berserta orang yang berbuat baik.”
Siapa yang bermujahadah atau berjuang untuk menghiasi dirinya dengan perilaku mulia, dan berjuang membebaskan diri daripada perangai tercela, nescaya ia akan mendapatkan kebaikan yang banyak, manakala keburukan yang selama ini berkuasa dalam diri akan tersingkir. Maksud mujahadah ini bukanlah bererti berjuang melawan hawa nafsunya satu kali, atau dua kali atau tiga kali tetapi berkali-kali sehingga ia menemui ajal kerana berjuang melawan hawa nafsu ini termasuk dalam kategori ibadah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hijr ayat 99 yang bermaksud: “Dan sembahlah Tuhan-mu sampai datang kepadamu yang diyakini (iaitu ajal).”
.
Keempat, muhasabah atau menghitung diri.
Antara cara terbaik iaitu dengan menggunakan prinsip pemberian hadiah sekiranya ia berbuat baik. Sekiranya berbuat buruk dan lalai, maka hendaklah dibuat suatu hukuman.
.
Kelima, bersahabat dengan orang baik dan berperibadi mulia. Perkara ini adalah cara yang paling efektif dalam melatih untuk berakhlak mulia dan dapat melekat dalam jiwanya. Seseorang itu ketika mana bergaul atau berhubung dengan orang di sekelilingnya akan mudah terpengaruh dengan orang yang bersamanya.
.
Keenam, berpaling daripada orang yang jahil. Siapa yang berpaling daripada orang yang jahil, maka dia akan terjaga kewibawaannya, hatinya tenang dan selamat dari suara yang mengganggunya. Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 199 yang bermaksud: “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta berpalinglah daripada orang yang jahil.”
Oleh itu, dengan berpaling daripada orang yang jahil, maka kewibawaan seseorang akan terpelihara kerana dia sudah mengangkat dirinya daripada satu kaum yang terbiasa melakukan perbuatan atau tabiat buruk.
Orang Arab ada berkata yang bermaksud: “Termasuk cara untuk mencari kebaikan adalah dengan menjauhi keburukan.”
Orang yang bersahabat dengan orang yang baik akhlaknya dapat menurunkan sikap sombong agar bersikap rendah diri di hadapan kawan-kawannya. Begitu juga orang yang pemarah atau suka marah akan dapat menahan amarahnya disebabkan faktor persahabatan sehingga dapat duduk bersama kawan-kawannya dengan bersopan-santun dan tenang.
.
والله أعلم بالصواب
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar).
والسلام
beritarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan