Sabtu, 20 Julai 2013

Bawa Anak Ke Masjid

Anida Aswani Abdul Hadi, 35, berkata membawa anak menunaikan solat Tarawih di masjid adalah amalan mulia, Cuma ibu bapa perlu memastikan anak mereka berkelakuan baik untuk mengelak mengganggu jemaah lain.

‘’Kita tidak mahu ibu bapa bawa anak ke masjid kerana tiada siapa yang ingin menjaganya di rumah. Jika anak nakal dan membuat bising, ia boleh jadi punca perselisihan faham antara jemaah lain. Tarawih adalah sunat dan jika terpaksa, lakukan saja di rumah,’’ katanya.
 

Bagi Lenny Herlina Agus Syariff, 37, ibu bapa perlu menerangkan kepada anak tujuan membawa mereka ke masjid adalah untuk beribadah bukan tempat bermain. Katanya, ada ibu bapa yang membiarkan anak mereka bermain dan tidak menghiraukan sensitiviti jemaah yang lain.

‘’ Tak salah kita memberi amaran supaya anak berada dekat bersama kita. Terpulang kepada ibu bapa yang membawa anak mereka ke masjid,’’ katanya.

Nini Marlina Ghazali, 36, yang memiliki tiga anak berusia 1 hingga 9 tahun, menyarankan ibu bapa yang tahu anak sukar dikawal dan boleh mengundang musibah atau menimbulkan masalah kepada orang lain tidak patut membawa mereka ke masjid.

‘’ Ibu bapa yang mahu membawa anak ke masjid perlu didik anak terlebih dulu supaya mereka tidak menggangu jemaah yang lain,’’ katanya.

Dipetik dari akhbar Berita Harian, Selasa, 16 Julai 2013.
Abang Bisu : Pelbagai pendapat dilontarkan oleh mereka. Adakah pendapat-pendapat sebegini betul? Atau adakah ia tidak patut disuarakan kerana ia akan mencantas minat anak-anak untuk ke masjid. Berdasarkan sedikit pengalaman belajar di negara orang (Timur Tengah), keadaannya jauh berbeza dengan negara kita, Malaysia. Mungkinkah disebabkan budaya mereka berlainan dengan kita? Wallahua’lam.

Jika di sana, anak-anak amat digalakkan untuk ke masjid. Dan seandainya mereka bising, orang-orang tua akan menasihati mereka bukan memarahi. Tetapi, sukar untuk melihat mereka berbuat bising apatah lagi bermain mercun ketika jemaah sedang sibuk bertarawih.

Mungkinkah perkara ini berlaku disebabkan mereka jarang-jarang ke masjid? Ye lah, tunggu Ramadhan datang, barulah mak dan ayah terhegeh-hegeh ajak anak-anak pergi masjid. Kat masjid pulak, budak-budak bila dah jumpa kawan-kawan satu sekolah , lagilah happy. Kalau kat sana, boleh dikatakan mereka akan membawa anak-anak berjemaah di masjid pada setiap masa. Bukan hanya bila Ramadhan tiba.

Oleh itu, marilah kita mengaudit kembali diri kita. Tidak salah membawa anak-anak ke masjid tetapi biasakanlah mereka ke masjid setiap masa. Berjemaah bersama kita. Di samping itu, iringilah mereka dengan nasihat dan doa. InsyaAllah, hasil yang amat manis bakal kita tuai suatu hari nanti. Ameen 
karyawan bisu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...