Di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, Islam menganjurkan umatnya
agar bertadarus membaca al-Quran. Ia berdasarkan kepada apa yang telah
dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dengan Jibril berdasarkan sebuah hadis
yang maksudnya:
Daripada Ibn Abbas r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. adalah
seorang yang sangat pemurah. Baginda sangat pemurah khususnya dalam
bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya. Jibril menemuinya pada setiap
malam dalam bulan Ramadhan lalu bertadarus al-Quran dengan baginda.” (Hadis riwayat Bukhari).
Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
“Tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah dari rumah-rumah
Allah – mereka membaca kitab Allah dan bertadarus di antara mereka –
melainkan turun kepada mereka ketenangan, diliputi dengan limpahan
rahmat, dilingkungi oleh para malaikat dan dipuji oleh Allah Taala dalam
kalangan (malaikat) yang ada disisinya.” (Hadis riwayat Abi Daud).
Menurut Mohd Shamsul Haqqil ‘Azim, penulis kitab Aunul Ma’bud, maksud
tadarus dalam hadis di atas ialah berkongsi membaca al-Quran di antara
satu sama lain.
Jelasnya, tadarus al-Quran adalah merupakan syiar yang diamalkan
semenjak zaman awal Islam. Hasil daripada syiar inilah terbentuknya
keperibadian Islam yang sebenarnya. Antara ciri-ciri keperibadian Islam
adalah mempunyai akidah yang benar, ibadat yang betul, akhlak yang
mulia, teratur dalam setiap urusannya, disiplin menggunakan waktu dan
bermanfaat kepada orang lain.
Justeru, seseorang yang mempunyai keperibadian Islam tidak akan
meninggalkan syiar tadarus ini. Ia adalah merupakan amalan Rasulullah
s.a.w. dan para sahabat bahkan diberikan kelebihan yang banyak oleh
Allah SWT. Ketenangan dan limpahan rahmat daripada Allah hasil daripada
tadarus ini menjadikan seseorang itu mempunyai keperibadian yang
istimewa dan tersendiri berbanding dengan mereka yang tidak bertadarus.
Dengan bertadarus, seseorang akan lebih rapat dengan al-Quran. Ia
menjadi temannya yang akrab, menunjukkan jalan yang lurus dan menegurnya
jika melakukan kesalahan. Generasi para sabahat r.a. lahir daripada
keakraban ini. Bermula dengan keruntuhan akhlak dan moral sehingga
digelar hidup dalam masyarakat jahiliyyah akhirnya menjadi peribadi
insan yang mulia yang digelar sebagai generasi al-Quran yang unik.
Pun begitu, bertadarus tanpa beramal dengan isi kandungan al-Quran
merupakan satu penyakit yang wujud di kalangan umat Islam yang
merosakkan keperibadian muslim. Mereka tidak menjadikan Al-Quran sebagai
panduan dalam kehidupan.
Firman Allah yang maksudnya: Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan Yang ditinggalkan, tidak dipakai”. (Al-Furqan: 30).
Sebagai contoh kesan daripada bertadarus al-Quran sebagaimana firman
Allah s.w.t di dalam surah al-Jumuah ayat 2 yang bermaksud: “Dialah
yang mengutus seorang rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan
mereka sendiri,yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya,menyucikan (
jiwa ) mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah ( sunnah
),meskipun sebelumnya,mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”
Ayat ini menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. dalam keadaan ummi
iaitu tidak tahu membaca dan menulis akhirnya apabila alQuran diturunkan
nabi membaca dan mengajar kepada sahabat-sahabatnya maka kesan daripada
tindakan itu lahir satu generasi seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar
al-Khattab, Uthman Bin Affan, Ali bin Abi Talib dan AbdurRahman bin Auf.
Walaupun mereka itu pada zaman jahiliyah tergolong dalam golongan yang
sesat.
Oleh kerana itulah tadarus al-Quran merupakan satu amalan yang
dituntut untuk diamalkan oleh seluruh umat Islam khususnya para
pendokong pejuang Islam supaya memahami tuntutan Islam itu melalui
al-Quran itu sendiri.
sumber: Datuk Harun Taib
www.islamituindah.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan