Juara pertandingan Asian Wave 2012, Shila Amzah
menjelaskan keputusannya memakai tudung memberi hikmah yang cukup besar
apabila dia diterima dengan baik oleh masyarakat China selepas menjadi
juara Asian Wave 2012.
Shila berkata, dia sangat terharu dengan penerimaan peminat di negara
itu ketika menyertai pertandingan tersebut kerana mereka benar-benar
menghormati imejnya sebagai wanita Islam.
"Ternyata dalam setiap tindakan yang kita lakukan akan ada
ganjarannya dan saya melihat hikmah kerjaya dan rezeki saya terbuka luas
di negara orang sebagai satu nikmat yang besar.
"Malah saya dikenali di China kerana imej bertudung dan ia cukup
menggembirakan saya," ujarnya ketika ditemui di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Rabu.
Pada Khamis lalu, Shila yang juga anak kepada penyanyi dan pelakon
80-an, ND Lala dinobatkan sebagai juara program Asian Wave 2012 yang
berlangsung di Shanghai.
Shila menyampaikan tiga buah lagu iaitu Gemilang nyanyian asal Jaclyn Victor, Grenade (Bruno Mars) dan sebuah lagu Mandarin berjudul Zheng Fu (Na Ying).
Kepulangan Shila bersama keluarganya turut disambut oleh peminat dan rakan-rakan media.
Tambah Shila, pihak produksi dan semua peserta yang terlibat juga turut memberikan layanan baik sepanjang berada di negara itu.
Katanya kejayaan yang dikecapnya itu adalah satu penantian berbaloi
selepas hampir 12 tahun bergelumang sebagai anak seni selain menjadi
bukti usahanya selama ini tidak sia-sia.
Sementara itu Shila berkata, kejayaan tersebut membuatkan dia diberi
peluang menjadi penyanyi jemputan untuk konsert bintang negara tersebut
iaitu Eric Moo di Beijing pada 17 November depan.
Eric adalah penyanyi dan komposer yang berasal dari Kampar, Perak dan berjaya mencipta nama di negara tersebut.
Katanya ia satu penghargaan yang amat besar kerana mampu melangkah
setapak lagi dalam mengembangkan bakatnya ke peringkat yang lebih jauh.
"Kejayaan ini bukan bererti saya sudah boleh mendabik dada sebaliknya
masih banyak perkara yang perlu diberi perhatian kerana cabaran yang
akan datang lebih hebat selepas ini," jelasnya.
Shila memberitahu kemenangan itu juga membolehkan dia berkongsi dana
bersama pemenang tempat kedua dan ketiga bernilai RM5 juta yang
diperuntukkan oleh Shanghai Media Group (SME).
Wang itu bagi menjalankan aktiviti promosi, persembahan pentas dan
juga dalam usaha menjadikannya artis terkenal di seluruh Asia.
MSTAR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan