"Sejak selepas pilihan raya 2008, seperti orang kerasukan Umno menjerit-jeritkan kepentingan Melayu.
"Tunjuk perasaan kononnya membela kepentingan Melayu dan mempertahankan Dasar Ekonomi Baru (DEB) selepas pilihan raya tersebut bermula di Pulau Pinang.
"Baru-baru ini gerombolan yang menunjuk perasaan itu mendapat habuan dan hadiah istimewa untuk mereka apabila (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kata Umno tak perlu dan tak ingin menuntut kerusi ketua menteri Pulau Pinang dari Gerakan sekiranya BN berjaya merampas kembali negeri itu dalam pilihan raya akan datang," katanya.
Umno, kata Mahfuz, memang tegar mengetepikan kepentingan kuasa Melayu di Pulau Pinang.
Menurut beliau, dalam pilihan raya umum 1990, Umno memenangi 12 kerusi di Pulau Pinang manakala Gerakan hanya memenangi tujuh kerusi.
Keputusan itu membolehkan BN terus memerintah apabila mendapat 19 kerusi berbanding DAP yang hanya mendapat 14 kerusi.
Sepatutnya, kata Mahfuz, Umno yang mempunyai majoriti lebih besar di antara kedua-dua parti di dalam BN itu berhak mendapat jawatan Ketua Menteri. Bagaimanapun, Umno menyerahkan kuasa pemerintahan kepada Gerakan.
Begitu juga, katanya lagi, dalam pilihan raya umum 1995 di mana Umno menang 12 kerusi, Gerakan 10 kerusi, MCA 9 kerusi, MIC 1 sedangkan DAP menang 1 kerusi saja.
Umno, kata beliau, tetap tunduk di bawah telunjuk Gerakan dan jawatan Ketua Menteri terus diserahkan kepada parti itu.
"Apa yang berlaku di PulauPinang itu dengan jelas menunjukkan Umno mengorbankan kepentingan orang-orang Melayu dan semua orang tahu nasib orang-orang Melayu Pulau Pinang di bawah pemerintahan Gerakan. Ia menjadi bukti sejarah," kata Mahfuz.
Beliau juga menyifatkan kerajaan Umno gagal memainkan peranan yang berkesan dalam menjaga kepentingan rakyat apabila inflasi di Malaysia mendadak naik di luar jangkaan September lalu.
"Inflasi naik di luar jangkaan September lalu apabila harga makanan dan kos pengangkutan melonjak naik manakala ringgit yang semakin lemah pula mengakibatkan import lebih mahal," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Pada bulan September, katanya, indeks harga pengguna terus kepada naik 3.4 peratus selepas naik kepada 3.3 peratus pada bulan Ogos.
"Saya telah menyatakan sebelum ini bahawa sebahagian besar inflasi dan kenaikan harga barang di negara ini diakibatkan pemberian lesen-lesen monopoli kepada kroni-kroni Umno dan BN.
"Lesen-lesen monopoli seperti beras, gula, permit import (AP) kereta, konsesi tol lebuhraya dan lain-lain diberikan kepada kroni-kroni Umno dan BN," kata beliau.
Penyalahgunaan kuasa Umno dan BN seperti itulah yang menjadi antara penyumbang utama kenaikan harga barang dan inflasi di negara ini, katanya.
Menurut Mahfuz, bila tidak ada persaingan sihat dan monopoli dijadikan bermaharajalela oleh kerajaan Umno, harga dinaikkan tanpa mempedulikan kesusahan pengguna.
harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan