Jumaat, 4 Mei 2012

Jumlah Penganut Islam di Amerika Meningkat Sepanjang Dekad Lalu

CHICAGO: Jumlah penganut Islam di Amerika Syarikat meningkat dalam tempoh sedekad lalu dan mengatasi Yahudi untuk kali pertama di bahagian barat tengah dan selatan.

Bancian Persatuan Statistik Badan Keagamaan Amerika juga mendapati, aliran utama gereja di AS semakin kehilangan pengikut.

Jumlah penganut Islam bertambah kepada 2.6 juta pada 2010 berbanding sejuta pada 2000.




Menurut kajian sama, pertambahan itu disebabkan jumlah kemasukan warga asing dan pertukaran agama di kalangan penduduk setempat.

Penyelidik persatuan itu, Dale Jones, berkata penganut Kristian adalah kumpulan terbesar di setiap negeri.

“Tetapi apa yang menarik ialah pertambahan kumpulan Mormon yang mencatat peningkatan terbesar di 26 negeri,” katanya.

Penganut Mormon, kata Jones, meningkat 45 peratus kepada 6.1 juta pada 2010.

Keputusan kaji selidik itu diperoleh melalui data diberikan 236 kumpulan agama di AS.

Ahli keluarga penganut dimasukkan sebagai sebahagian daripada data.

Secara umum, 55 peratus warga AS menghadiri acara keagamaan masing-masing.

Secara bandingan, sebahagian besar kaji selidik menganggarkan kira-kira 85 peratus warga AS mengaku menganut sesuatu agama walaupun mereka mungkin tidak menghadiri acara keagamaan yang ditetapkan.
Sementara itu, kira-kira 158 juta penduduk AS dianggap tidak menganut sebarang agama. Di kalangan agama utama, jumlah penganut Katolik menunjukkan kemerosotan paling besar dengan menurun lima peratus kepada 58.9 juta sepanjang dekad lalu. – Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...