Jumaat, 15 November 2013

Ayat al-Quran untuk ubati Resdung

RESDUNG atau sinusitis adalah satu masalah lazim di seluruh dunia. Jika kita membuat ujian untuk penyakit resdung pada 10 orang, ujian tersebut mendapati lapan daripadanya mengalami masalah sinusitis ringan yang tidak memerlukan rawatan.

Di Malaysia, dianggarkan 60 hingga 65 peratus penduduk mengalami masalah resdung.

Bagaimanapun, daripada jumlah ini kurang 50 peratus mendapatkan rawatan dan ramai tidak mahu berjumpa doktor kerana menganggap gejala resdung yang dialami hanya selesema atau alahan biasa.
Menurut perubatan moden, resdung adalah radangan yang berada di lapisan membran meliputi dinding ruang sinus. Punca keradangan sinus disebabkan jangkitan kuman atau virus, alergi atau masalah sistem imun badan seseorang.

Pesakit resdung menjadi lebih sensitif kepada bahan menyebabkan alahan seperti habuk, bulu binatang, perubahan cuaca terutama cuaca sejuk, pencemaran alam sekitar dan jangkitan bakteria atau virus.
 


Penghidap resdung biasanya sering mengalami gejala selesema seperti hidung tersumbat, rasa sakit pada pipi, sekitar mata dan kepala. Ini banyak berlaku terutama pada waktu pagi.
Simptom

* Batuk hingga kerongkong dan anak
tekak gatal.
* Telinga sering tersumbat.
* Lelehan air atau mukus keluar melalui hidung.
* Gatal mata apabila digaru, menjadi merah berair.
* Bersin melampau dan terlalu kerap.
* Simptom paling ketara apabila hidung kerap tersumbat dengan lendir dan kahak hingga sukar dihembus keluar. Akibatnya, suara penghidap menjadi sengau.

Individu berisiko

* Alah kepada habuk, bulu dan makanan menyebabkan hidung tersumbat.
* Mempunyai kelainan dalam hidung seperti septum dinding pemisah hidung bengkok.
* Mempunyai ketumbuhan dalam hidung
hingga menyebabkan ruang sinus sempit.

Kesan

Resdung jika tidak dirawat dengan betul akan memberi kesan serius kepada penghidap sama ada kanak-kanak atau orang dewasa.
Kanak-kanak

Antara akibat resdung kepada kanak-kanak ia boleh merebak ke dalam mata hingga menyebabkan jangkitan bakteria dan mata bernanah. Dalam kes sangat kronik, resdung boleh menyebabkan buta.
Dewasa

Resdung kronik boleh menyebabkan nanah bertakung dalam ruang sinus frontal. Jika nanah tidak dapat dikeluarkan dari hidung, ia boleh dipenuhi bakteria.
Risikonya bakteria boleh memasuki otak dan menyebabkan jangkitan pada otak atau meningitis dan jika dibiarkan boleh membawa maut.

Cegah radang resdung
* Elak memelihara binatang berbulu.
* Jangan guna sarung bantal, cadar dan selimut diperbuat daripada bulu binatang.
* Bersihkan karpet atau permaidani dengan penyedut hampagas.
* Pakai penutup hidung ketika mengemas rumah
* Minum banyak air suam atau mineral.
* Lap muka dengan tuala basah dan air suam
* Elak makan makanan laut seperti udang, sotong dan kerang.

Rawatan Islam
Di Pusat Rawatan Islam Al Hidayah, terdapat ramai pesakit resdung mendapatkan rawatan. Salah seorangnya, Kamal, 28. Dia sering bersin waktu pagi dan masalah hidung tersumbat apabila resdung menyerang.

Kamal telah mencuba pelbagai rawatan dan ubatan tradisonal dan moden namun, kesan positif hanya bersifat sementara.

Doktor sahkan Kamal menghidap resdung kronik dan perlu menjalani pembedahan.
Kamal membuat keputusan pergi ke Pusat Rawatan Islam Al Hidayah untuk rawatan resdung dan beliau diberi beberapa ayat.

Dengan izin Allah, sakit kepalanya berkurangan.

Namun, dia sering bersin setiap pagi dan kulit wajahnya masih berjerawat. Setelah beberapa kali menjalani sesi rawatan, masalah resdung Kamal beransur pulih.

Jerawat di muka berkurangan dan hidungnya jarang tersumbat. Apa yang paling menggembirakan, Kamal tidak perlu dibedah.

Kesembuhan yang berlaku adalah dengan izin Allah melalui mukjizat al-Quran. Kemuliaan dan kelebihan al-Quran dalam penyembuhan penyakit adalah rahmat kepada orang yang memahami dan menyedari rahsia kehebatan mukjizat al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan kalaulah al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)? Patutkah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul yang membawanya berbangsa Arab? Katakanlah (wahai Muhammad): Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (Al-Quran itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar) dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran al-Quran, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan betul atau melihat dengan nyata).” (Surah Fussilat ayat 44)

Ssungguhnya al-Quran mempunyai pelbagai rahsia yang Allah sahaja Maha Mengetahuinya.
Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah terlebih dahulu, memeriksa setiap pesakit yang datang, jika ada gangguan makhluk halus. Perawat akan membuang gangguan jika ada dan memberikan ayat berikut untuk diamalkan disertai doa kepada Allah memohon penyembuhan. Ayat tersebut adalah:

* Surah An-Nahl ayat 66 hingga 74
* Surah Al-Anfaal ayat 36 hingga 50

Pesakit hendaklah membaca surah pertama tiga kali pada malam dan surah kedua tiga kali pada siang. Amalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu berdoa kepada Allah untuk penyembuhan.

Dalam pengalaman saya mengubati penyakit fizikal, selalunya ayat dari Surah Al-Anfaal mempunyai hikmah dan keupayaan penyembuhan seumpama antibiotik. Ayat dari Surah An-Nahl berfungsi menguatkan daya pertahanan diri tubuh badan.

Insya-Allah gabungan amalan dua surah ini boleh membantu mengatasi masalah resdung. Percayalah bunyi bacaan al-Quran memiliki aura dan gelombang suara yang berfrekuensi tertentu dan panjang gelombang tertentu.

Gelombang ini mempengaruhi sel dalam tubuh badan kita secara positif dan mengembalikan keseimbangan tubuh. Gelombang dan aura kalimah suci memberi kesan positif kepada sel antibodi dan juga menguatkan sistem pertahanan tubuh badan.

Dalam erti kata lain, rawatan menggunakan ayat al-Quran ini bertindak umpama rawatan moden, namun prosesnya tidak mampu dilihat dengan mata kasar atau dijelaskan dengan logik akal.
Firman Allah yang bermaksud: “Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman….” – Surah Yunus, Ayat 57

Penutup
Dugaan kepada setiap penyakit yang dihadapi sebenarnya adalah ujian Allah. Justeru, hendaklah kita berikhtiar dan berusaha serta tawakal sepenuh hati.

Sesungguhnya doa, senjata kita yang paling ampuh dalam menghapuskan dan menyembuhkan penyakit.
 https://epondok.wordpress.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...