Kebesaran kuasa Allah. Seorang bayi yang
dikandung oleh wanita yang mengalami `mati otak’ telah dilahirkan
menerusi pembedahan selepas 27 minggu berada dalam kandungan ibunya.
Bayi itu lahir pada bulan Julai lalu ketika ibunya bergantung sepenuhnya kepada mesin sokongan hayat.
Wanita yang berusia 31 tahun itu
mengalami serangan angin ahmar ketika dia sedang mengandung 15 minggu
dan meskipun mengalami mati otak, namun janin di dalam kandungannya itu
sihat.
Doktor kemudiannya membiarkan wanita itu bergantung kepada mesin sokongan hayat sehinggalah bayi tersebut dilahirkan.
Dua hari selepas kelahiran anaknya itu, wanita itu meninggal dunia.
Bayi itu kini semakin sihat dan ini adalah kes ketiga di dalam dunia yang mengalami keadaan yang sama.
Doktor membenarkan bayi tersebut dibawa
pulang bulan lepas dan pasukan perubatan mengambil masa untuk membuat
pengumuman mengenai kejayaan berkenaan kerana mahu memastikan bayi itu
selamat.
Keluarga bayi tersebut bagaimanapun tidak mahu nama dan identiti wanita itu serta anaknya didedahkan bagi tujuan privasi.
“Selepas dua hari wanita menjalani caesarean, tahap kesihatannya semakin menurun dan peredaran darah dalam badan juga terhenti.
“Kami cuba menyelamatkannya namun gagal
dan mesin sokongan hayat telah dimatikan,’’ kata doktor yang merawatnya,
Dr. Bela Fulesdi.
Jelasnya, ketika bayi itu dilahirkan
beratnya hanya 0.5 kilogram namun sebaik dikeluarkan, bayi itu menangis
dan mula bergerak-gerak.
“Ia merupakan satu keajaiban dan kami
yang terlibat dalam pembedahan tersebut tidak akan melupakan detik-detik
tersebut,’’ katanya.
Sepanjang tempoh mengandung, bapa bayi itu dan neneknya akan menggosok perut wanita itu.
Selain itu mereka juga akan bercakap dengan janin di dalam kandungannya.
Muzik terapi juga dimainkan bagi membantu perkembangan janin.
Manakala kedudukan wanita tersebut pula
sentiasa dialihkan kerana doktor bimbang dia akan mengalami jangkitan di
bahagian belakang.
Selepas kematiannya, organ seperti buah pinggang, pancreas dan hati milik wanita itu telah didermakan kepada empat pesakit lain.
mynewshub
Tiada ulasan:
Catat Ulasan