Sebut
saja romantik, anak muda mula tertarik hati… mungkin yang diketahui
romantik sesama ‘couple’ …No..No..No.. ini romantik sesama pasangan
suami isteri.. apa lagi… jom ramai-ramai kita pakat kahwin. Isy..Isy..
best oo kahwin… kalau tak percaya..cubalah kahwin.. hehehe..
Rasulullah
Sollahhu ‘Alaihi Wasallam (SAW) adalah gedung segala sifat-sifat
kesempurnaan yang sukar dicari tandingannya. Allah membimbing baginda
dengan didikan-Nya yang terbaik. Sehingga Allah berfirman kepada baginda
seraya memuji baginda di dalam surah al-Qalam ayat ke-4 yang bermaksud :
“Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.”
Sifat-sifat
yang sempurna inlah yang membuat jiwa manusia merasa dekat dengan
Rasulullah SAW. Membuatkan hati mereka mencintai baginda. Menempatkan
baginda sebagai tumpuan hati. Bahkan berapa ramai yang dahulunya
bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan akhirnya masuk
Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya baginda.
Isteri Sebagai Bukti
Kemuliaan
ini bukan sekadar lakonan di hadapan manusia. Namun dibuktikan oleh
insan pendamping baginda. Meneliti satu persatu perbuatan, pertuturan
dan lenggok gayanya. Mereka ialah serikandi rumahtangga baginda.
Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami bernama Muhammad bin Abdullah
tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu menisbahkan akhlaknya
dengan akhlak kitab suci al-Quran.
Walaupun Rasulullah SAW seorang
panglima perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya
terdapat nilai kasih sayang dan jalan kisah yang cukup romantis antara
baginda dan isteri-isterinya. Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan
lalu suami masakini menggambarkan dirinya bagaikan pemegang kuasa
keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis dan penuh egois.
Siapalah
kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh kedudukannya lebih mulia dari
segala manusia. Namun atas tawaduk dan romantisnya baginda membuatkan
umat yang membaca kisah cinta baginda bersama isterinya seolah-olah
sedang menghayati novel cinta romantik.
Mandi Bersama
Diberitakan
bahawa Rasulullah SAW pernah bermandi air cinta bersama isterinya.
Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa Aisyah berkata bahawa : ”Aku
sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air yang disebut
al-faraq.” Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir
penghalang menunjukkan ianya satu sunnah. Terutamanya setelah melakukan
hubungan intim sesama pasangan.
Romantik gaya Rasulullah SAW boleh
diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa disibukkan
dengan pekerjaan. Kita juga boleh mengambil sunnah-sunnah romantik
Rasulullah SAW bermula dari sebelum keluar bekerja.
Hantar Isteri Keluar Rumah
Sebagai
contoh menghantar isteri ketika hendak keluar rumah seperti yang
dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay
sehinggakan Nabi SAW berkata :
“Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu).” [Hadis Bukhari dan Muslim]
Bahkan
Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan. Di dalam Sahih
Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi
unta baginda. Kemudian baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri baginda
Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik
atas unta.”
Bukakan Pintu Kereta
Bukankah
ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada isteri seperti
zaman memikat isteri dahulu. Ataupun sekali sekala membonceng isteri di
belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan Anas bin Malik
menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah seorang
isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.
Bawa Isteri Jalan-Jalan
Apabila
waktu cuti hujung minggu atau di malam hari, bawalah isteri
bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari seorang pakar motivasi.
Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW bersama isterinya.
Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa ”Rasulullah apabila
datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan
berbincang-bincang dengannya.”
Malah apabila baginda ingin keluar
baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama.
Malah Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar.
Sehinggakan suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang
berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah
RA tidak turut diundang bersama. (Hadis riwayat Muslim)
Suapkan Makanan
Untuk
menambahkan romantis terhadap isteri, disarankan suami menyuap sendiri
makanan ke mulut isterinya. Sepertimana dalam sahih Bukhari dan Muslim
sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu
adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.”
Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian nafkah, namun bukankah
menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan?
Belaian & Bermanja
Belaian terhadap isteri dapat memupuk kasih antara sesama pasangan. Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata bahawa :
“Rasulullah
tidaklah setiap hari melainkan baginda selalu mengunjungi
isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan
membelai mereka secara bergantian.”
Adakalanya romantisnya Nabi
SAW sehinggakan beliau sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya
kepangkuan isterinya sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam
Sahih Bukhari bahawa “Nabi SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan
kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid.”
Bahkan
amalan ini berlarutan sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW.
Aisyah
berkata ”Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala baginda
berada diatas pahaku.”
Ada suatu hari ketika Aisyah sedang asyik
menyaksikan kanak-kanak bermain bersama ibu mereka, datang baginda Nabi
SAW mengangkat Aisyah. Lalu baginda mendukung Aisyah di belakang beliau.
Aisyah menuturkan bahawa :
“Baginda mendirikanku di belakang dan
pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah
SAW”. (Bukhari dan Muslim). Begitu juga isteri Nabi SAW sentiasa
mendapat kucupan mesra daripada Nabi SAW ketika ingin pergi ke masjid.
Pengubat Hati
Rasulullah
bukan seorang yang kaku dan keras. Ia juga seorang manusia yang
mempunyai emosi tersendiri. Pemergian baginda telah membuatkan
kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya. Dikala isteri kesunyian,
hadirnya mengungkap keriangan. Sewaktu isteri dalam kedukaan, baginda
bukanlah sekadar pemerhati. Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan dan
kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa :
“Nabi Muhammad SAW
adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang
sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.”
(Bukhari dan Muslim)
Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para isteri.
Bergurau Senda
Baginda
paling banyak bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari datang
Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) ke rumah Aisyah. Lalu Nabi SAW
duduk di antara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki beliau diatas
pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia menolaknya
kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata :
“(Demi Allah), makanlah atau aku akan mengotori wajahmu.”
Saodah menolak dengan berkata : “Aku tidak akan memakannya.”
Lalu
Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW
tertawa.
Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah membalas semula dengan
mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah Aisyah,
Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e, Ibn Abi Dunya)
Kisah ini
merupakan senda gurau Nabi SAW bersama isteri-isterinya. Pernah juga
Rasulullah memujuk Aisyah untuk menghilangkan marahnya dengan sengaja
memegang hidung Aisyah seperti dalam riwayat Ibnu Sunni.
Begitu
romantisnya rumahtangga Rasulullah SAW. Mungkin inilah rahsia cinta
sejati yang kekal ke akhir hayat Nabi SAW. Beramah mesra, bergurau
senda, belaian dan sentuhan.
Panggilan Manja
Sehinggalah
ayat-ayat cinta terukir dari bibir seorang Nabi dengan memanggil
panggilan manja terhadap isterinya. Suara indah memanggil “Ya Humaira”
kepada Aisyah yang bermaksud “Wahai si putih kemerah-merahan atau Mawar
merah”. Ia membuatkan ikatan itu lebih intim.
Adakalanya Nabi SAW
memanggil Aisyah dengan singkatan manja “Ya Aisy” yang bermaksud
kehidupan ketika mana beliau menyampaikan salam daripada Malaikat Jibril
untuk Aisyah RA. Dengan membuang huruf terakhir itu menunjukkan
besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan yang ditonjolkan dari Nabi
SAW.
Jangan Malu Jadi Romantik
Sesungguhnya
bersikap romantis sesama isteri itu adalah sunnah Nabi SAW. Kita
berharap dengan sunnah ini dapat memupuk ikatan yang lebih erat antara
sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini suatu yang perlu dimalukan untuk
diamalkan.
Romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk
diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa
jelik bermadu kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti, sebenarnya
sikap romantis ini adalah datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita
lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita
tanpa segan silu melakukannya sebelum ianya dihalalkan.
Sebenarnya,
gambaran seorang suami yang garang dan bengis bukanlah suatu yang
datangnya dari agama. Nabi SAW tidak mendidik para isteri untuk takut
kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin rumahtangga yang hebat
membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih menghormati. Nikmat
suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut meluang masa
bergurau senda dan bermesra seakan-akan baru sehari diijabkabulkan.
Kepada
suami, ayuh mengikut petunjuk Nabi dalam berkasih sayang sesama isteri.
Andai isteri berasa pelik dari mana datangnya sikap romantis seorang
suami; adakah suami baru sahaja selesai menamatkan buku novel cinta
Romeo dan Juliet?
Jawablah dengan manja. Romantis ini bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya daripada hadis Nabi SAW.
iluislam
MindaRakyat Tidak dikemaskini, sila ke 1 Media - https://www.1media.my/
2 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan