Tidak kurang pula rawatan tradisional atau alternatif yang
digunakan seperti susu kambing, menjemur di pagi hari serta mandi
menggunakan ubat tabib Cina.
Apakah penyakit kuning dan bagaimana ia berlaku?
Penyakit kuning, atau jaundis, sebenarnya bukan satu penyakit. Ia
berlaku akibat sel darah merah yang pecah. Lebih banyak sel darah merah
yang pecah, lebih tinggi kadar jaundis. Bayi terbabit mempunyai najis
berwarna kuning dan air kencing jernih.
Terdapat beberapa keadaan di mana sel darah merah pecah pada kadar lebih tinggi seperti:
1. Pendarahan di bawah kulit kepala iaitu ‘subaponeurotic haemorrhage’
2. Darah bayi yang pekat. Ini biasanya berlaku pada bayi dilahirkan ibu yang mengalami masalah
3. Kencing manis
4. Jangkitan kuman
Jenis darah yang berbeza antara ibu dan anak. Biasanya risiko lebih tinggi sekiranya salah seorang mempunyai darah jenis O.
Dalam keadaan sebegini, jaundis mungkin bermula dalam 24 jam
pertama selepas lahir dan tahapnya mungkin melebihi 340 micromol atau
liter.
Mengenali Jaundis
Bayi jaundis boleh dikenali dengan warna kulitnya yang kuning. Ia
biasanya bermula dari muka dan turun ke perut dan kemudiannya ke kaki.
Untuk mengenal pasti sama ada bayi anda mengalami jaundis, tekan
pada kulitnya untuk beberapa saat dan kemudian lepaskan. Sekiranya
jaundis, kulit di bahagian yang ditekan akan kelihatan kuning.
Sekiranya jaundis itu fisiologikal atau berpunca daripada salah
satu sebab di atas, air kencing jadi jernih manakala najis pula kuning.
Rawatan Jaundis
Doktor biasanya akan mengambil darah untuk mengenal pasti tahap dan
jenis jaundis. Sekiranya perlu, bayi akan diletak di bawah lampu
fototerapi. Ini akan membantu mengurangkan tahap jaundis.
Ketika menjalani rawatan fototerapi, baju dan seluar akan
ditanggalkan dan mata akan ditutup dengan cermin mata khas untuk
mengelakkan kerosakan pada retina.
Bayi juga perlu diberi susu dengan lebih kerap dan banyak untuk mengelakkan daripada dehidrasi.
Sekiranya tahap jaundis terlalu tinggi, doktor mungkin perlu melakukan pertukaran darah.
Rawatan tradisional
Rawatan menggunakan susu kambing atau ubat mandian tidak mempunyai
bukti saintifik mengenai keberkesanannya, manakala menjemur pula kurang
efektif kerana ia bergantung pada cuaca.
Pendedahan pada matahari terlalu lama boleh menyebabkan kulit
menggelupas. Pendedahan pada cahaya matahari juga akan membuatkan kulit
menjadi gelap. Kuning tidak kelihatan tapi tidak bermakna ia tidak ada
lagi.
Risiko tahap kuning yang tinggi
Tahap kuning yang tinggi boleh menyebabkan kecacatan pendengaran
serta ‘choreoathetoid cerebral palsy’ akibat dari bilirubin (bahan yang
menyebabkan kuning) melekat pada bahagian otak.
Sekiranya jaundis berpanjangan?
Jaundis fisiologikal biasanya hilang pada hari ke-10 untuk bayi
yang dilahirkan cukup bulan. Sekiranya berpanjangan, beberapa perkara
perlu diteliti seperti adakah warna najis dan air kencing normal?
Sekiranya warna najis pucat dan warna air kencing gelap, ia menandakan masalah pada hati atau salur hempedu.
Kanak-kanak yang menyusu badan sepenuhnya mungkin mengalami jaundis
lebih lama. Bagaimanapun, warna najis dan air kencing tetap normal dan
jaundis tidak tinggi. Jaundis yang disebabkan susu ibu tidak
membahayakan bayi.
Sekiranya doktor mengesyaki bayi mempunyai masalah hati atau salur hempedu, bayi akan dihantar untuk pemeriksaan ultrasound.
Ini mungkin diikuti dengan pemeriksaan lain untuk mengenal pasti punca kuning.
Masalah seperti biliary atresia dan choledochal cyst di mana hati
dan salur hempedu tersumbat, memerlukan pembedahan sebelum keadaan jadi
lebih teruk.
mummynemo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan