Ahad, 10 April 2016

Tip Tentang Hiasan Dalaman Rumah Teres Yang Telah Dikongsi Lebih 32000 Kali Di Facebook

Rumah ini adalah syurga dunia buat Puan Emawanaliey sekeluarga. Walaupun ia hanya sebuah rumah teres yang tidak mewah dan tidak mahal, semuanya sederhana, ia telah dikongsi lebih 32000 kali di Facebook.
Puan Ema baru menetap setahun di sini menyatakan dia cuba mendekorasi gaya simple sahaja kerana mempunyai anak kecil yang sangat ‘rajin mengemas’.
Dimana pun kita berada, selagi kita panggil ia rumah, itulah Syurga Dunia buat kita
Memegang pepatah ‘Rumah Ku, Syurga Ku’, Puan Ema sanggup berhabis duit untuk membeli barang bagi menghias dekorasi tanpa rasa sedikit menyesal atau menganggap ia satu pembaziran. Baginya, biarlah sedap mata memandang dan keluarga selesa bersama tika di rumah.
 

 

Ikuti temubual saya bersama Puan Ema Wan ALiey tentang hiasan dalaman rumah teresnya ini.

1. Sebelum dan selepas
The Vocket (TV): Bolehkah Puan berikan gambar rumah yang menunjukkan keadaan asal sebelum digubah sedemikian rupa?
Saya ada ambil gambar bahagian ruang tamu dan ruang dapur ini sahaja. Kedua-dua gambar ini menunjukkan keadaan ia yang masih kosong dan belum dihias.
before
2. Saiz keluasan rumah
a. Ruang Tamu: 42 kaki (panjang) X 10 kaki (lebar)
b. Ruang Dapur: 15 kaki (panjang) X 15 kaki (lebar)
c. Bilik 1: 13 kaki (panjang) X 10 kaki (lebar)
d. Bilik 2: 12 kaki (panjang) X 10 kaki (lebar)
e. Bilik 3: 9 kaki (panjang) X 10 kaki (lebar)
f. Bilik Air 1: 5 kaki (panjang) X 8 kaki (lebar)
g. Bilik Air 2: 5 kaki (panjang) X 5 kaki (lebar)

3. Sumber inspirasi

TV: Apakah sumber inspirasi Puan dalam menghias kediaman keluarga?

Ramai yang bertanya dari mana saya mendapat sumber inspirasi untuk menghias rumah. Sebenarnya saya tidak merujuk sumber inspirasi dari mana-mana majalah ataupun dari mana-mana individu, sebaliknya sumber inspirasi itu datang dari ilham gerak hati saya sendiri.


Ilham ini datang apabila setiap kali saya pergi ke kedai yang menjual barang perhiasan rumah, saya akan berasa sangat tertarik dan dengan spontan secara tiba-tiba saya akan bermonolog dengan diri saya sendiri tentang barang perhiasan yang dipilih adakah ia sesuai atau tidak dan terus mula membayangkan sudut yang sesuai untuk dihias.


Saya suka sesuatu yang kelihatan berlainan dari orang lain dan berpegang kepada prinsip DIY (Do-It-Yourself). Saya cuba untuk mendekorasi rumah saya simple-simple sahaja hasil ilham saya sendiri kerana mempuyai anak kecil yang sangat “rajin mengemas”.

4. Konsep hiasan dalaman

TV: Apakah konsep rumah ini? Apakah punca Puan memilih konsep tersebut?

Bagi saya, konsep (gaya) hiasan dalaman setiap rumah itu sebenarnya mencerminkan personaliti kita. Dan saya gemar memilih hiasan dalaman rumah yang berkonsepkan Moden Kontemporari dimana saya menganggap konsep ini ‘tidak lapuk dek hujan, tidak telan dek zaman’.

Faktor utama saya memilih konsep ini kerana ia mempuyai unsur menonjol, menyerlah, berdimensi, kemas, eksotik, santai, mesra, selesa dan pada masa yang sama ia mestilah tampil simple namun sentiasa kelihatan elegan dan mewah.

5. Kedai pilihan

TV: Bolehkah Puan senaraikan tempat-tempat pembelian barang dan aksesori rumah dan kos?
Saya membeli barangan hiasan rumah di KK Home Deco, Romantika, IKEA, SSF, G-Orange, Lavino, Brandiss, Maccazo, Salamku, MR.DIY.
Kos pembelian jumlah keseluruhan tidak pasti kerana tidak pernah direkodkan.
6. Durasi masa menghias dalaman rumah

TV: Berapa lamakah masa diambil?

Alhamdulillah saya telah menetap disini genap Setahun, dan saya telah memenuhi keperluan dan kehendak yang perlu ada dalam setiap rumah kediaman terutama dalam menghasilkan hiasan dalaman seperti ini.

7. Pandangan keluarga

TV: Bagaimanakah pandangan keluarga tentang menghias rumah seperti ini? Adakah mendapat sokongan keluarga, terutama suami?

Pandangan keluarga saya terhadap hiasan rumah yang saya dekorasi ini ialah mereka menganggap saya sebagai seorang yang tidak takut kepada sebarang kemungkinan apabila berhadapan dengan stail.

Suami adalah orang yang paling dekat dan selalu memberi sokongan terhadap apa jua hiasan yang saya lakukan dan beliau meletakkan harapan 100% terhadap saya untuk menghias rumah agar membawa keseronokan dan kebahagiaan untuk kami dan tetamu yang datang.

Saya cuba sedaya upaya untuk menjadikan ia Syurga Dunia buat kami sekeluarga kerana di mana pun kita berada, selagi kita panggil ia rumah, Itulah Syurga Dunia buat kita dan saya amat berbanga dengannya.

8. Perancangan masa depan rumah
photo_2016-04-06_09-34-29
TV: Apakah perancangan Puan di masa depan tentang hiasan rumah? Atau akan lakukan pengubahsuaian pula selepas ini?

Perancangan saya di masa depan adalah ingin mempuyai rumah kediaman jenis yang mempuyai lot tanah dan kediaman jenis bertingkat. Ini kerana saya juga gemar untuk menghias suatu sudut hijau.

Sudut hijau ini jika dihias cantik dan tepat dengan tema dekorasi tersendiri mampu menjadi satu ruang terapi minda apabila setiap kali memandang tumbuh-tumbuhan segar bugar menghijau memenuhi ruang kediaman kita.

9. Kongsi nasihat

TV: Apakah nasihat Puan untuk mereka yang memiliki rumah seperti Puan dalam perihal hiasan rumah?
Nasihat saya kepada mereka yang memiliki rumah seperti saya adalah jangan takut kepada sebarang kemungkinan apabila berhadapan dengan stail.

Sebenarnya rumah yang kecil juga boleh dihias dengan baik. Tidak ada alasan untuk tidak menghias rumah yang kecil kerana rumah merupakan kediaman seisi keluarga  Jadi, di rumah lah bermulanya semangat untuk bekerja  di awal pagi.


Dapur dan tempat makan pula adalah nadi kehidupan di rumah tersebut. Berikan keselesaan bagi yang memasak, kerana bila dia selesa dengan ruang kerjanya, hasil masakannya nanti pasti menyelerakan.

Hidangan penuh dengan kasih sayang. Bayangkan jika ada kediaman tapi dapur tak berasap, maka hilanglah nadi kediaman tersebut.


Para suami, tak rugi jika bermurah hati untuk menyediakan dapur idaman untuk si isteri, kelak seribu masakan boleh datang dari dapur ini. Biar kecil tapi masih ada gaya.

Ingat, dimana pun kita berada, selagi kita panggil ia Rumah, Itulah Syurga Dunia buat kita. Hiasilah ia semampu yang kita boleh, asalkan ia sentiasa sedap mata memandang. Bukankah ada kata pepatah yang berbunyi “RumahKu SyurgaKu”.

10. Ciri-ciri ideal rumah

TV: Apakah ciri-ciri ideal sebuah rumah kediaman menurut pandangan Puan?

Ciri-ciri ideal sebuah rumah kediaman menurut pandangan saya ialah mempuyai ciri kesederhanaan, kekeluargaan, keselesaan dan keselamatan.
Kesederhanaan dinilai dari sudut material dapat dilihat menerusi saiz dan reka bentuk sesebuah rumah, perhiasan dan peralatan atau kelengkapan rumah tangga. Dari segi saiz kediaman dan reka bentuk seni bina, Islam menganjurkan kesederhanaan yang disesuaikan dengan keperluan.

Keluasan saiz rumah kediaman hendaklah berdasarkan jumlah ahli keluarga dan kegunaan ruang yang diperlukan demi menyediakan ciri-ciri keselesaan dan kesejahteraan seisi penghuninya. Manakala jika dilihat ciri dari segi kekeluargaan dan keselesaan pula saya cuba memenuhkan ruang sekeliling dengan elemen-elemen eksotik yang diperolehi dari seluruh dunia agar ia sentiasa kelihatan selesa dan menambat hati.

Kediaman rumah adalah Syurga, habitat yang menyenangkan berbanding kesibukan dunia di luar sana. Tidak ada yang lebih baik dari satu malam bersantai bersama keluarga di atas sofa empuk, bermain dengan anak- anak sambil menonton TV dan minum kopi.

Pada masa yang sama, saya juga menitikberatkan ciri-ciri ideal sesebuah rumah yang bercirikan keselamatan. Hal ini dapat dilihat dimana saya mengelak untuk membeli barang menghias rumah yang mempuyai unsur yang boleh menganggu atau membahayakan penghuni dan tetamu yang datang.

11. Info tambahan

TV: Puan boleh tambah apa-apa info untuk dikongsikan dengan orang ramai.

Dalam asas dekorasi apa yang harus dititik beratkan ialah faktor-faktor pemilihan perabot, warna dinding, warna perabot, hiasan dinding, pemilihan fabrik langsir – corak dan warna, kedudukan perabot, hiasan laman, ruang dapur, bilik tidur, ruang tamu dan juga ruang makan.

Namun begitu, dekorasi tidak semestinya hanya tertumpu pada ruang dalaman rumah sahaja. Ruang luaran, halaman atau balkoni juga sama penting dalam aspek dekorasi. Hari ini tidak kira samada anda tinggal di kediaman jenis yang mempunyai lot tanah ataupun kediaman jenis bertingkat, anda masih mampu untuk memiliki suatu sudut hijau.

Kesimpulannya, ruang dalaman rumah anda, tidak kira sama ada luas atau pun kecil boleh dihiaskan dengan menarik dan praktikal jika anda tahu bagaimana untuk menggunakan elemen-elemen hiasan dalaman tersebut dengan baik.

Apa yang penting, pilihlah rekaan yang ringkas dan tidak terlalu berat serta keterlaluan untuk konsep idea rekaan dalaman rumah anda.


Ramai fikir rumah ini berada di Kuala Lumpur. Buat pengetahuan anda, rumah Puan Ema ini berada di Kota Bharu, Kelantan dan kebanyakan barang dibeli olehnya di sekitar Kelantan.

Puan Ema mempunyai seorang anak berusia setahun lebih dan bakal menjadi seorang guru selepas menamatkan pengajiannya di peringkat Master dalam bidang Psikologi Pendidikan.
 http://www.thevocket.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...