Khamis, 10 Disember 2015

INFO - Kegagalan fungsi jantung

Persada seni tanah air negara gempar dengan kematian Yussry Eddo atau Yus Jambu akibat serangan jantung baru-baru ini. Ramai yang terkejut dengan pemergian pelawak itu kerana tidak menunjukkan sebarang simptom.

Penyakit jantung dianggap sebagai pembunuh senyap yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengenal usia. Situasi semasa menunjukkan golongan muda seawal 30 tahun pernah diserang penyakit jantung dan kes kematian juga dilaporkan meningkat.

Menduduki tempat teratas, penyakit jantung juga dianggap sebagai penyumbang utama kepada kematian pramatang di dalam negara yang memberi impak negatif kepada kualiti hidup individu dan menjadi beban ekonomi kepada negara.




Pengarah Heart Function (HF) Clinic, Alberta Heart Service, Universiti Alberta Kanada, Prof Madya Dr Justin A Ezekowitz, berkata HF sebagai isu utama yang mahu dibawa kepada orang awam kerana ramai masih keliru dengan perbezaan mengenai serangan jantung dan HF.

“Perkara ini amat membimbangkan kerana satu daripada lima orang di seluruh dunia ada risiko penyakit HF. Kegagalan fungsi jantung keadaan di mana jantung gagal mengepam darah yang cukup ke seluruh badan pada tekanan yang betul dan ia berlaku disebabkan otot jantung menjadi terlalu lemah atau gagal berfungsi dengan baik.

“Jika anda mempunyai masalah HF, ini tidak bermakna jantung anda ‘berhenti’, tetapi ini membawa maksud jantung anda memerlukan beberapa sokongan untuk menjalankan tugasnya, biasanya dalam bentuk ubat-ubatan serta amalan gaya hidup yang lebih sihat.

“Ramai tidak mengetahui HF menyebabkan risiko kematian tiga kali ganda berbanding kanser payudara serta kanser usus dan seluruh dunia terbeban dengan peningkatan kos ekonomi kesihatan yang mencecah RM4.6 bilion setahun,” katanya ketika ditemui dalam bengkel Keep It Pumping anjuran syarikat farmaseutikal, Novartis di ibu negara baru-baru ini.

Menurutnya, simptom kegagalan jantung boleh berlaku dengan cepat dan jika ini berlaku, pesakit perlu dirawat dengan segera namun ia juga boleh berlaku secara beransur-ansur yang biasanya terjadi kepada pesakit kegagalan fungsi jantung kronik (CHF).

Simptom awal penyakit HF boleh dilihat jika pesakit mengalami kesukaran untuk bernafas. Mereka juga lebih cepat berasa letih seterusnya gagal melakukan latihan kecergasan ringan seperti menaiki tangga. Ada juga dalam kalangan pesakit yang mengalami gejala kaki dan buku lali bengkak.

“Antara yang boleh dilakukan bagi mengelak HF seperti bersenam 30 minit setiap hari, jaga pemakanan, berhenti merokok, lakukan pemeriksaan tekanan darah serta kolesterol,” katanya.


 
MYMETRO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...