KUALA BERANG: “Lepas satu, satu masalah timbul sehingga pening memikirkannya, tapi hendak buat macam mana kena terimalah seadanya sebab benda sudah berlaku,” kata Mohd Noor Musa, 39, suami kepada wanita tertua Terengganu, Mek Wook Kondor, 108.
Menurutnya, dugaan terbaru menimpa mereka kelmarin apabila beg tangan isterinya mengandungi beberapa dokumen penting dan sebuah telefon bimbit, hilang dilarikan pencuri ketika keretanya rosak di Kampung Seberang Kastam, Besut.
Katanya, ketika itu mereka dalam perjalanan pulang dari rumah seorang ahli keluarga isterinya di Bachok, Kelantan selepas bermalam di sana sehari sebelum itu.
Ketika sampai di Kampung Seberang Kastam kira-kira jam 10 pagi, kereta saya rosak apabila tali kipas terputus, menyebabkan perjalanan tergendala dan melihat keadaan itu, beberapa penduduk datang membantu sebelum menelefon seorang mekanik.
“Sebaik mekanik tiba kira-kira jam 12 tengah hari dan hendak mengambil barang di dalam kereta, baru saya perasan beg tangan isteri hilang, dipercayai dilarikan seseorang ketika orang ramai sibuk membantu membaiki kereta manakala isteri pula duduk berteduh di tempat berhampiran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat, dekat sini, semalam.
Mek Wook pula berkata, apa yang membuatkannya terkilan pencuri itu tergamak melakukan kerja tidak elok ketika mereka ditimpa kesusahan dan di tempat orang ramai serta kejadian itu berlaku ketika umat Islam sedang bersiap untuk menunaikan solat Jumaat.
“Walaupun wang dalam beg tangan itu tidak seberapa sekitar puluhan ringgit saja, tetapi apa yang memeningkan saya banyak dokumen penting dilarikan pencuri termasuk kad pengenalan, kad nikah, kad bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kad laporan Agensi Anti Dadah Kebangsaan milik suami dan beberapa surat lagi.
“Kalau diikutkan hati, memang sedih tetapi saya reda dan menyerahkan kepada Tuhan untuk membalas perbuatan keji pencuri terbabit,” katanya.
Pasangan berkenaan sebelum ini melahirkan rasa kecewa dan terkilan apabila hasrat mereka untuk menunaikan ibadat di Makkah pada 22 Julai lalu tidak kesampaian dan wang RM34,000 yang dibayar juga masih menjadi teka-teki sama ada akan mendapatnya semula atau tidak.
Kira-kira seminggu selepas menyambut Aidilfitri di kampung Mohd Noor di Tanah Merah, Kelantan pula, mereka sekali lagi diuji apabila tanah diduduki atas nama Mek Wook sejak 50 tahun lalu, sudah bertukar milik dan dijual kepada orang lain tanpa pengetahuan mereka dengan harga RM55,000 sedangkan nilainya lebih besar daripada itu ketika ini
mummynemo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan