Tips cara menjimatkan belanja dapur
Tidak dapat dinafikan harga barangan, terutamanya bahan makanan naik melambung dari hari ke hari, dan tidak nampak bayang harga barangan akan turun. Biasalah, kalau sudah naik harga memang sukar untuk turun kembali. Jika sudah begitu, tak usahlah kita membuang masa untuk menyalahkan pihak-pihak lain saja, tetapi kita sendiri harus bertindak bagi menjimatkan perbelanjaan seharian atau berusaha mendapat pendapatan yang lebih dengan cara yang halal.
Ini bukanlah bermakna kita duduk diam tanpa menyuarakan ketidakpuasan hati ini kepada pemerintah, peniaga atau pihak-pihak yang berkaitan, tetapi tindakan segera yang kita semua harus lakukan ialah dengan menggunakan kuasa pembeli semaksimum mungkin. Pertama sekali kita harus merancang perbelanjaan harian, pastikan pendapatan sesuai dengan perbelanjaan. Ada orang berpendapatan kecil tetapi bernafsu besar hendak beli semua barang berjenama dan mahal, cubalah ukur baju di badan sendiri. Disebabkan nafsu yang besar tiada penghujung ini, maka timbullah bermacam-macam gejala seperti rasuah, penipuan, along dan lain-lain.
Dalam segala hal, nafsu memainkan peranan penting, kawal nafsu insya Allah akan selamat.
Namun begitu, bagi menjimatkan perbelanjaan dapur atau perbelanjaan untuk makanan, beberapa tips dalam artikel berikut boleh dijadikan panduan. Di antara cara yang disarankan ialah:
1. Membeli sesuatu jenis makanan yang bermusim, seperti buah-buahan, dsb. dalam musimnya supaya dapat harga yang lebih murah.
2. Beli di pasaraya yang ada jualan murah atau yang ada kupon untuk sesuatu barangan.
3. Masak makanan sendiri dan bawa bekal ke tempat kerja yang mana ini lebih murah berbanding makan tengahari di restoran/kedai makan.
4. Beli bahan makanan yang disejukbeku, dalam tin atau makanan kering yang harganya lebih murah berbanding makanan segar, tetapi pastikan kandungan garam atau gulanya tidak berlebihan.
5. Beli protein sayur-sayuran bagi menggantikan sebahagian daripada protein daripada haiwan.
6. Buat senarai bahan makanan yang hendak dibeli dan pastikan mengikut apa yang perlu sahaja supaya tidak membazir.
7. Beli barang makanan yang tidak berjenama tetapi mempunyai kualiti yang serupa dengan yang berjenama terkenal, seperti bahan makanan keluaran sesuatu pasaraya.
8. Cuba elakkan beli makanan yang siap dibungkus (pack) di pasaraya kerana biasanya berharga lebih mahal, kecuali ada kupon potongan harga.
9. Beli secara pukal terutamanya bagi benda yang tahan lama kerana harganya lebih murah berbanding dengan beli sedikit-sedikit tetapi kerap. Namun begitu, jumlah yang dibeli perlulah mengikut keperluan dalam tempoh tertentu. Jika beli terlampau banyak tetapi tidak habis digunakan, ini sudah tentu akan membazir.
10. Sebaik-baiknya, bagi mereka yang ada ruang/tanah di rumah, eloklah tanam sayur-sayuran untuk keperluan sendiri. Sayur-sayuran boleh ditanam di atas tanah atau secara hidroponik. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu mengurangkan belanja membeli sayur-sayuran dari pasar.
umroh.in
Tiada ulasan:
Catat Ulasan