Khamis, 5 April 2012

Tahfiz Sains Lahirkan Professional Memahami Islam

Maahad Tahfiz Sains Darul Aman merupakan cetusan idea Menteri Besar, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak yang inginkan satu pusat pengajian menggabungkan hafazan Al-Quran dan sains.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi, YB Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul, matlamat penubuhan Maahad Tahfiz Sains berkenaan adalah untuk mewujudkan integrasi pengajian profesional dan Islam.



“Kita ingin lahirkan lepasan Maahad ini sebagai insan yang merujuk Al-Quran apabila timbul apa jua masalah.

“Mereka ini akan menjadi golongan profesional dalam bidang kedoktoran dan kejuruteraan tetapi dalam masa yang sama mereka juga memiliki ilmu Al-Quran di dada, menjadi tempat rujukan serta boleh memberi sesuatu yang baik kepada agama, masyarakat dan negara,” jelasnya ketika ditemubual di pejabatnya.

Seramai 50 pelajar , terdiri dari 25 lelaki dan 25 perempuan yang memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR diambil sebagai pengambilan pertama untuk pengajian di Maahad berkenaan. Sementara bangunan Maahad tersebut yang terletak di Pulau Tuba siap dibina, pelajar-pelajar berkenaan ditempatkan di sekolah sementara di Kulim, Kedah.

“Seluas 30 ekar tanah telah disediakan bersama penyediaan pelan bangunan di Pulau Tuba dan ianya dijangkakan siap dan boleh memulakan sesi pengajian pada tahun 2015, iaitu 3 tahun dari sekarang.

“Kita mensasarkan antara 250 hingga 300 pelajar sepenuhnya dan setiap tahun kita menghadkan pengambilan seramai 50 orang sahaja.

“Urusan pengambilan dan temuduga kemasukan, kita serahkan kepada Majlis Agama Islam tetapi yang penting pelajar yang ingin masuk ke sini mestilah memperolehi 5A dalam UPSR serta minat pelajaran Sains dan fasih membaca Al-Quran.

“Semua perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri, cuma, para pelajar dikehendaki membayar RM1 sehari sepertimana di sekolah-sekolah asrama yang lain,” sambungnya lagi.

Apabila menyentuh mengenai tenaga pengajar, beliau berkata, guru-guru diambil dikalangan lepasan universiti melalui proses temuduga oleh Majlis Agama Islam. Mereka juga dihantar menjalani kursus Diploma Pendidikan untuk mengetahui teknik-teknik atau sistem-sistem pendidikan terkini dan sebagai persediaan menjadi tenaga pengajar yang berkualiti. Gaji yang diperolehi sama dengan guru-guru kementerian pendidikan yang lain.

“Buat masa sekarang, kita ada sepuluh orang tenaga pengajar serta kakitangan yang lain seperti tukang masak, tukang kebun, pengawal, kakitangan pejabat dan lain-lain mengikut keperluan.

“Sementara itu, pengetuanya merupakan bekas pengetua sekolah agama dan mempunyai kelulusan yang setaraf dengan jawatannya,” terang beliau.

Harapan kerajaan negeri terhadap lepasan Maahad Tahfiz Sains ini sangat tinggi, selain mereka boleh melanjutkan pelajaran ke universiti dalam dan luar negara, mereka juga boleh menjadi generasi yang berpendidikan tinggi dan mempunyai moral yang hebat.

“Harapan kita agar mereka ini menjadi generasi yang berakhlak Islam, bermoral tinggi, berpendidikan di samping Al-Quran di dada. Menjadi insan kamil yang boleh diketengahkan dalam masyarakat sebagai pakar rujuk dalam semua perkara,” katanya lagi.
warta kedah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...