Selasa, 31 Julai 2012

Hanya Sebuah Buku Rahmat Bertukar Menjadi Rocker Qasidah

                                                                Rahmat Ekamatra
LELAKI ini memakai jubah dan berkopiah hitam sewaktu datang ke studio Utusan Malaysia pagi Rabu lalu. Penampilan terbarunya cukup berbeza berbanding dahulu. Tiada lagi seluar jeans koyak rabak, cuma rambutnya sahaja dibiarkan panjang. Apa pun kehadiran penyanyi lagu Sentuhan Kecundang dan Pusara Di Lebuhraya ini sudah cukup membuatkan rakan-rakan jurugambar kecoh dan ingin bergambar bersama. Bila ditanya ke mana hilang taring rocknya? Pemilik nama Engku Rahmat Engku Ismail atau popular dengan nama pentas Rahmat Ekamatra ini hanya tersenyum sebelum berkata: “Zaman rock kapak dah berlalu. Sekarang ini rock qasidah." Jawapan ringkas cukup bermakna itu sudah menjelaskan tentang haluan hidupnya sekarang.






Baginya, nikmat penghijrahan yang didapati sejak tahun lalu itu cukup berkesan dalam hati dan banyak menimbulkan rasa keinsafan. Kalau dahulu, dia tak kisah dosa atau maksiat sebab apa yang dilakukan kerana hati, kini tidak lagi.

“Sewaktu di dunia, kita mencari benda yang tak pasti. Macam harta benda, duit, rumah besar tapi kita tak tahu bila ajal tiba kita tak sempat nak merasai semua itu.

“Sebab kita terlalu mengejar dunia jugalah, kita lupa tentang perkara yang pasti iaitu akhirat. Tentang bekalan yang perlu dibawa sebelum mati. Adakah semua itu mencukupi?" soalnya kembali.

Mengimbas tentang permulaan penghijrahan Rahmat, dia memberitahu perkara tersebut berlaku selepas dia membelek buku Syamail Muhammadiyah atau Kesempurnaan Rasulullah hasil karya Imam Tirmidzi di sebuah kedai buku di Ampang, Kuala Lumpur.

“Saya tertarik dengan buku itu. Terus terang, saya tak pernah tahu secara mendalam mengenai Rasulullah. Dulu saya hanya baca sejarah umum mengenai baginda. Saya tak sangka ada satu buku yang memaparkan hadis dan pandangan sahabat mengenai Rasulullah.

“Saya teruja nak tahu tentang kehebatan baginda. Tapi saya tak beli buku itu dan hanya datang semula ke kedai itu selepas dua minggu kemudian. Bila dah dapat buku itu, saya baca penuh teliti. Di situ, terbit perasaan kagum, terharu sehingga menitis air mata," dedahnya.

Rahmat juga mengakui bahawa dia menerima pelbagai dugaan untuk mengenal kehebatan junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan dugaan itu hilang tatkala mendengar syarahan Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin Al-Maliki, Pengasas dan Penasihat Yayasan Sofa.

“Apabila ikuti pengajian, mereka akan berqasidah. Ini menarik perhatian saya kerana melodinya sangat menarik. Biasanya saya hanya mendengar marhaban, tapi untuk kali ini terdetik di hati saya yang melodinya bagus.

“Bila Syeikh Muhammad Fuad bagi idea saya buat album pertama saya berjudul Semarak Cinta Rasulullah. Ia sesuatu yang baik dan saya terus buat album pertama. Saya kekalkan sebutannya dalam bahasa Arab walaupun saya kena jaga sebutan dan penghayatan dalam satu masa.

Dalam pada masa yang sama, lelaki berusia 44 tahun ini nekad untuk membuang terus subjek populariti yang disifatkannya sebagai tidak perlu. Baginya, perkara yang menuju jalan kebaikan selalu mendapat banyak sokongan dan sasaran Rahmat kini adalah keredaan Ilahi dan syafaat Rasulullah kelak.

Perkembangan terkini Rahmat boleh diketahui menerusi laman sosial Facebook iaitu Rahmat Ekamatra - Semarak Cinta Rasullullah S.A.W.
utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...