BOTAK CHIN MAUT DI TALI GANTUNG
Pada 22 November 1975
ketika malam mula berlabuh sekumpulan lelaki melangkah masuk ke dalam
sebuah kereta Datsun hijau. Sebaik enjin dihidupkan, mereka memandu
menyusuri jalan penuh liku di ibu kota Kuala Lumpur.
Perjalanan mereka pada malam itu hanya
untuk satu tujuan ‘gila’. Daripada situlah bermulanya satu kisah besar
dalam sejarah negara dicatatkan.
Sasaran mereka adalah sebuah kereta
dinaiki pegawai kanan polis, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah
Kuala Lumpur, Deputi Superintendan (DSP) S Kulasingam.
Sebaik menjumpai kereta dinaiki pegawai
polis itu, mereka mengekori rapat sambil mengintip peluang yang sesuai
untuk melaksanakan tindakan mereka. Warga kota sekitar Jalan Davis-Jalan
Pekeliling, masih meneruskan kegiatan masing-masing tanpa mengesyaki
satu kejadian menggemparkan pada malam itu.
Setiba di lampu isyarat Jalan
Davis-Jalan Pekeliling, kereta Datsun ber kenaan bergerak pantas
menghampiri kenderaan yang mereka ekori. Sebaik merapati kenderaan
dinaiki pegawai kanan polis itu dan melihat peluang yang dinanti terbuka
luas, 18 tembakan dilepaskan bagi ‘menghapuskan’ Kulasingam.
Dentuman demi dentuman dilepaskan hingga
mengejutkan orang ramai di sekitar kawasan berkenaan. Matlamat kumpulan
lelaki itu hanya satu iaitu membunuh seorang pegawai kanan polis di
tempat terbuka. Bagaimanapun, tindakan ‘gila’ penjenayah itu gagal
berikutan hanya satu das tembakan mengenai Kulasingam.
Sebaliknya pegawai polis itu masih berupaya memandu ke Balai Polis Cheras, tidak jauh dari lokasi itu.
Keesokannya, terpampang pada dada akhbar
bahawa cubaan membunuh itu gagal. Botak Chin atau nama sebenarnya Wong
Swee Chin, yang mengepalai rancangan itu naik angin apabila mengetahui
musuh ketatnya hanya cedera.
Amarahnya memuncak mengingatkan
kehadiran polis kerap mendatangkan masalah kepada aktiviti haramnya.
Kegiatan mengutip wang perlindungan daripada tempat perjudian haram
sekitar Kuala Lumpur yang dikuasainya cuba dilumpuhkan pasukan itu.
Kegiatan rompakan bersenjata dan
pembunuhan yang dilakukan menyebabkan dia dan ahli kumpulan menjadi
buruan. Banglo di Bukit Kenny yang disewa dengan bayaran RM1,200 sebagai
tempat persembunyian hanya bertahan selama tiga hari sebelum polis
berjaya menghidu markas baru mereka itu.
Malah, dia sendiri nyaris ditahan polis
pada September tahun itu apabila kereta curi yang dinaikinya bersama
beberapa anggota dikesan pihak berkuasa itu.
Selepas dikejar sejauh 3.2 kilometer dan
dihujani tembakan polis, kereta itu berhenti di Segambut Dalam dan
Botak Chin segera menyelinap ke kawasan setinggan. Dalam keadaan kelam
kabut, mereka tertinggal sepucuk revolver .38.
Botak Chin bersama anggotanya, termasuk
seorang yang cedera ditembak berjaya meloloskan diri dengan merampas
sebuah kereta Volvo milik seorang pegawai bank.
Pada bulan sama juga, orang kanannya,
Chau Kuan (Ah Kuan) ditembak mati di sebuah kedai runcit di Jalan Kovil
Hilir, tetapi kematian tidak menakutkannya, dia terus melakukan
rompakan.
Serangan mengejut terhadap Kulasingam
menyebabkan pihak polis bertekad untuk menahan dan membasmi jenayah
pemuda itu. Lelaki itu berbahaya terhadap negara. Usianya baru pada awal
20-an tetapi dalam usia smuda itu, namanya sudah tercatat dalam sejarah jenayah negara sebagai penjenayah ganas paling dikehendaki. Tindak-tanduknya sentiasa mendatangkan bahaya yang besar kepada ke amanan negara.
Lalu satu pasukan khas ditubuhkan polis.
Beberapa pegawai polis yang pakar memburu penjenayah daripada beberapa
ibu pejabat polis daerah dipanggil menganggotai pasukan itu dan tugas
mereka adalah menjejak pergerakan geng Botak Chin, tempat yang sering dikunjungi dan sarang persembunyian.
16 Februari 1976. Selepas beberapa bulan
menjejak penjenayah kejam dan paling dikehendaki itu, akhirnya episod
akhir pemburuan polis membawa mereka ke sebuah kilang papan di Jalan
Ipoh, Kuala Lumpur.
Operasi besar diatur dan pelan dirangka
sebaik mungkin. Polis mula mengepung kilang berkenaan dan dalam
kegelapan malam, mereka menunggu kemunculan Botak Chin. Detik demi detik
berlalu dengan penuh debaran.
Akhirnya, sebuah kereta Mazda putih
masuk ke kawasan kilang. Sebaik berhenti, tiga lelaki keluar daripada
kereta itu dan seorang daripada mereka ialah suspek buruan, Botak Chin.
Penjenayah ganas itu lengkap bersenjata selain memiliki dua bom tangan.
Langkah dan perlakuan seperti biasa
meyakinkan pihak polis bahawa kumpulan penjenayah terbabit tidak
menyedari kehadiran mereka. Botak Chin tidak menyedari bahawa kawasan
itu sudah dikepung.
Beberapa pengikut penjenayah itu yang
ditugaskan mengawal kawasan kilang berkenaan masih leka dan selesa
dengan aktiviti masing-masing seolah-olah ketenangan malam itu akan
terus dinikmati dengan aman.
Ketika itulah polis bertindak, empat
pasukan menggempur masuk ke kawasan kilang menyebabkan pengawal leka
yang diharap menjadi mata dan telinga Botak Chin lari lintang pukang
meninggalkan ketua mereka dan tempat persembunyian itu.
Daripada dalam pejabatnya, Botak Chin
dan dua orang kanannya iaitu Beh Kok Chin (Pangkor Chai) dan Hiew Foo
Khen (Ah Keong) yang berasa ‘sesuatu yang tidak kena’ berlaku di luar
mula menyedari mereka sudah dikepung polis.
Beberapa ketika kemudian, berlakulah
pertempuran antara penjenayah dan polis dengan masing-masing melepaskan
tembakan. Polis melepaskan kira-kira 500 das tembakan selain gas pemedih
mata dalam drama tembak menembak itu.
Pangkor Chai dan Ah Keong membalas
tembakan selain melemparkan sebutir bom tangan ke arah polis.
Pertempuran begitu sengit dan meruncing.
Dalam kelam-kabut itu, Botak Chin
ditembak pada kaki dan tangan kanan. Dalam kesakitan, dia merangkak
mencari dua pengikut kanannya itu tetapi mendapati kedua-dua mereka
sudah kaku tidak bernyawa.
Babak keganasan penjenayah itu berakhir
apabila Botak Chin yang berada dalam keadaan tersepit menyerah diri
dalam operasi penuh bahaya itu.
Botak Chin ditahan selama setahun
sebelum mengaku bersalah apabila dihadapkan ke mahkamah terhadap dakwaan
mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membawa kepada
hukuman mati mandatori.
Disebabkan peguamnya membuat rayuan
terhadap hukuman itu hingga peringkat Privy Council, Botak Chin dibicara
semula pada 1 April 1980 tetapi dia tetap didapati bersalah pada 16 Mei
1980 dan rayuannya kepada Mahkamah Persekutuan dan Lembaga Pengampunan
ditolak.
Ketika menunggu dihukum gantung, Botak
Chin terus menunjukkan sikap ganasnya apabila menyerang dan mencederakan
pegawai penjara termasuk menggunakan senjata tajam sebanyak dua kali.
11 Jun 1981, kepalanya disarung dengan
kain hitam. Dalam kegelapan, dia dibawa menuju ke satu lokasi dalam
Penjara Pudu itu. Botak Chin diminta berdiri di atas platform dan
beberapa ketika kemudian kedengaran gear ditarik.
Platform di bawah kakinya terbuka,
tubuhnya terjatuh ke bawah, tali gantung menjerut lehernya sehingga
patah dan riwayatnya selaku penjenayah muda yang ganas dan paling
dikehendaki polis akhirnya tamat.
Kronologi Kematian Botak Chin
Hasil rompakan diguna beli senjata api di Thailand
1967 – Mula terbabit dalam kumpulan Geng 360 di Kuala Lumpur dan melakukan jenayah kecil seperti mencuri.
19 April 1969 – Melakukan rompakan bersenjata pertama bersama tiga rakan.
September 1969 –
Memiliki senjata pertamanya revolver .22 lalu menubuhkan geng sendiri.
Melakukan lapan rompakan pada bulan itu tetapi akhirnya ditahan polis
dan dipenjara tujuh tahun.
November 1974 –
Dibebaskan daripada penjara. Cuba memulakan kehidupan baru sebagai insan
biasa tetapi pendapatan sebagai penjual sayur tidak memuaskan hatinya.
April 1975 – Kurang
setahun selepas dibebaskan, Botak Chin kembali aktif dengan menubuhkan
geng baru yang dianggotai Ng Cheng Wong (Ah Wong), Beh Kok Chin (Pangkor
Chai) dan Teh Bok Lay (Seh Chai).
Mei 1975 – Pergi ke Thailand dengan bantuan rakan untuk membeli senjata api.
2 Jun 1975 – Merompak
RM5,800 daripada sebuah pusat perjudian haram di Sentul. Hasil rompakan
digunakan untuk membeli lapan senjata api dan peluru di Thailand.
Berlatih menembak dengan menjadikan anjing liar sebagai sasaran di
kawasan bekas lombong di Kepong. Semakin berani apabila mempamerkan
senjata api di tempat terbuka iaitu Pasar Sentul.
20 Julai 1975 –
Merompak RM95,000 dari sebuah bank di Jalan Imbi, Kuala Lumpur. Tidak
lama selepas itu, beberapa pemain mahjung dirompak RM10,000 selain
barang kemas dan barang berharga di sebuah kuil Cina di Jalan Kolam
Ayer, Kuala Lumpur. Merampas tiga pistol milik tiga anggota polis.
Merampas senjata api milik pengawal keselamatan dalam rompakan sebuah
bar di Sentul. Mencabar sesiapa saja di Kelab Kereta Api Sentul untuk
beradu kehandalan menembak ala koboi dalam rompakan di situ.
26 Oktober 1975 –
Rompakan terbesar dilakukannya apabila melarikan RM218,000 dan menembak
pengawal keselamatan yang membawa wang di Kelab Lumba Kuda. Hasil
rompakan sekali lagi digunakan untuk membeli senjata api di Thailand.
Dia kemudian memiliki 19 senjata api, lima bom tangan dan kira-kira
1,000 peluru. Menyedari kedudukannya sebagai ketua mula terancam kerana
ada yang cuba mencabarnya, Botak Chin bertindak. Ketua geng Lima Jari
Gunung, Tua Pui Lek dan anggota gengnya sendiri iaitu Ah Wong, kemudian
ditemui mati ditembak di kawasan lombong tinggal di Jinjang. Orang
kanannya, Seh Chai, mati membunuh diri selepas dikepung polis di Jalan
Alor. Awal 1976 Botak Chin mengambil anggota baru, diikuti tiga rompakan
dengan wang yang dilarikan kira-kira RM400,000. Pada masa sama, tujuh
orangnya mati ditembak selain ada yang ditangkap. Polis juga merampas 15
senjata api, peluru dan bom.
22 November 1975 – Cuba membunuh pegawai kanan polis yang memburunya tetapi gagal.
16 Februari 1976 –
Ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah kilang di Kuala Lumpur. Dua
pengikut kanannya terbunuh dalam pertempuran dengan polis.
11 Jun 1981 – Maut di tali gantung di Penjara Pudu.
Artikel ini dipetik dari laman http://redxone.net/http://fuh.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan