Bukan
sukar untuk menghadiahkan senyuman tetapi kita sendiri menyukarkan
senyuman itu terpamer di wajah. Hati mana tidak tenang apabila sedang
dalam kekusutan, masih lagi boleh tersenyum kepada rakan. Senyuman itu
adalah ciptaan indah Allah SWT, malah senyuman juga adalah kuntuman
indah yang sentiasa dipersembahkan Rasulullah SAW, manusia sempurna yang
patut diteladani segala sifat, sikap dan tingkah lakunya.
Ada
beberapa hal menarik pada diri Baginda SAW yang jarang diungkapkan
ramai iaitu mengenai senyumnya. Sepintas lalu, hal itu mungkin nampak
kecil dan tidak bererti tetapi apabila dikaji, sebenarnya senyuman
Rasulullah SAW memberi impak positif yang sungguh luar biasa. Hikmahnya,
banyak kejayaan Rasulullah SAW dalam misinya sebagai penyebar risalah
tauhid disebabkan oleh senyuman dan keramahan Baginda.
Banyak Tersenyum
Disebabkan
itu, Rasulullah SAW dapat mempengaruhi orang ramai sehinggakan Baginda
dicintai dan disegani kawan, juga lawan. Sahabat adalah saksi kehidupan
Rasulullah SAW yang penuh dengan senyuman. Antara sahabat besar yang
pernah menceritakan betapa indahnya senyuman Rasulullah SAW ialah
Saidina Umar. Kata Saidina Umar,
“Rasulullah SAW tersenyum dan Baginda adalah orang yang paling bagus giginya.”
(Hadis diriwayatkan Ibnu Hibban)
Seorang lagi sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Al-Harist menyatakan,
“Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW.”
(Hadis riwayat At-Tirmizi)
(Hadis riwayat At-Tirmizi)
Cucu
kesayangan Baginda SAW, Saidina Husein juga ada menggambarkan bagaimana
sikap Rasulullah mana direkodkan oleh Imam At-Tirmizi, beliau berkata,
“Aku
bertanya kepada ayahku (Saidina Ali) mengenai adab dan etika Rasulullah
SAW terhadap orang yang bergaul dengan Baginda. Ayahku mengatakan:
Baginda senantiasa tersenyum, budi pekerti lagi rendah hati, Baginda
bukanlah seorang yang kasar, tidak suka berteriak-teriak, bukan tukang
cela, tidak suka mencela makanan yang tidak disukainya. Siapa saja
mengharapkan pasti tidak akan kecewa dan siapa saja yang memenuhi
undangannya pasti akan sentiasa puas.”
Senyum Kepada Sesiapa Sahaja
Rasulullah
SAW walaupun dalam keadaan marah, tetap mempamerkan senyumannya hatta
kepada orang yang tidak disukai. Perkara itu pernah direkodkan Imam
Bukhari disebutkan bahawa Saiditina Aisyah berkata:
“Ada seorang
lelaki yang meminta izin untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Ketika
Baginda melihat orang itu dari jauh, maka Baginda bersabda: Dia adalah
seburuk-buruk saudara dan anak dalam kerabat. Namun ketika orang
(Uyainah) itu sudah duduk, Baginda memberikan senyuman di wajah dan
menerima dengan baik hati kedatangan orang itu. Ketika orang itu sudah
pergi, Aisyah berkata kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, ketika
kau melihat orang itu tadi dari jauh engkau berkata begini dan begitu.
Tapi kemudian engkau berwajah ceria setelah berada di hadapannya dan
menerima kedatangannya dengan baik hati. Kemudian Rasulullah bersabda:
Wahai Aisyah, bilakah engkau melihatku berbuat tidak baik?”
Imam
al-Khataby ketika mensyarahkan hadis itu berkata, “Hadis ini dilihat
dari sudut adab dan ilmu”. Ucapan Rasulullah SAW mengenai diri Uyainah
sesuatu gambaran yang tidak disukainya secara jelas disebut Ghibah.
Ghibah berlaku di antara sebahagian orang dari umat Islam terhadap
sebahagian yang lain. Namun, perlakuan Baginda adalah menjelaskan dan
mengungkapkannya dalam bentuk nasihat dan kasih sayang terhadap umatnya.
Kerana
Baginda sudah dianugerahi sifat kemurahan hati dan akhlak yang baik,
maka Baginda memperlihatkan wajah berseri dan tidak menghadapi kesukaran
berhadapan orang tidak disukainya. Baginda bertindak sebegitu supaya
umat Islam meniru perbuatan Baginda, supaya dapat dihindari keburukan
yang boleh menimpa umatnya dan mereka boleh selamat daripada kejahatan
dan tipu daya.
Begitu indah akhlak Rasulullah SAW, walaupun
seseorang itu tidak disukai, Baginda tetap mempamerkan senyuman dan
menyambut kedatangan Uyainah dengan ceria. Sebagai umatnya yang mengaku
bahawa Baginda adalah sebaik-baik manusia dan seorang nabi dan rasul,
tidakkah kita malu kerana tidak mengikut perbuatan Baginda yang sentiasa
menghadiahkan senyuman kepada orang ramai.
Bertegas Bila Perlu
Sesungguhnya
beruntunglah mereka yang mengikuti perbuatan Rasulullah kerana harga
senyuman tidak ternilai dengan wang ringgit. Ketegasan Baginda juga
dapat dilihat dalam hadis diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim mengenai
wanita dari kabilah Makhzumiyah yang mencuri. Kaum Quraisy bingung
dengan permasalahan itu kerana mereka tahu hukuman pencuri mengikut
undang-undang Islam ialah dipotong tangan (mengikut syarat ditetapkan).
Mereka
bertanyakan kepada sesiapa yang berani berjumpa Rasulullah SAW memohon
melepaskan wanita itu. Usamah disarankan bertemu Rasulullah SAW kerana
Rasulullah menyayangi Usamah. Maka Usamah pergi dan berbicara kepada
Rasulullah SAW untuk minta pembelaan atas wanita itu. Kemudian
Rasulullah SAW bersabda:
“Jadi kamu ingin memohon syafaat (pembelaan) terhadap salah satu dari hukum Allah?”
Setelah mengucapkan ayat itu, Baginda berdiri dan berkhutbah:
“Wahai
manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat sebelum kalian
ialah apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri, mereka
membiarkannya. Tetapi apabila mereka mendapati orang lemah di antara
mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman kepadanya. Demi
Allah! Jika Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan
memotong tangannya”.
Oleh itu, marilah kita menjadikan senyuman
dan ketegasan Rasulullah SAW sebagai panduan dan pada masa sama menilai
hikmah di sebaliknya. Senyumlah, kerana senyuman tidak pernah
mengurangkan rezeki sesiapa, malah dengan senyuman hati berasa tenang
dan sentiasa disenangi orang lain. Sementara bertegaslah dalam keadaan
perlu supaya agama tidak diperkotak-katikkan.
- Artikel iuvislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan