Teruskanlah beri nasihat dan peringatan.
Samada kepada seseorang individu yang kita ambil berat akan dirinya
atau kepada umum. Teruskan dan teruskan, walaupun berulang kali…
Kenapa?
1. Kita ambil sahaja
iktibar dari diri kita sendiri. Betapa kita sendiri pun bukan sekali
dinasihat terus patuh. Bukan sekali diberikan peringatan terus
berubah. Betul atau tidak?
Apabila kita renung pengalaman kita
sendiri, banyak amalan atau perkara yang kini kita mampu buat sebenarnya
telah kita dengar mengenainya bertahun-tahun dulu. Baru kini mampu
buat dan tekun dengannya. Itu pun setelah berkali-kali diberikan
nasihat dan teguran. Dulu, kita belum lagi terbuka hati dan bersemangat
untuk melakukannya. Ia tentunya hidayah dan taufiq dari ALLAH `Azza
wa Jalla. Tiada daya dan tiada kekuatan diri kita melainkan dengan izin
ALLAH.
Justeru, orang lain juga begitulah
keadaan mereka secara umumnya. Mungkin setelah beberapa kali dinasihati
barulah mereka mahu berubah. Maka teruskanlah nasihat. Jika tuan/puan
kagum akan diri tuan/puan yang mampu menasihati seseorang dengan sekali
nasihat lalu dia terima, percayalah bahawa dia sebenarnya sebelum ini
telah pun beberapa kali mendengar nasihat itu. Cuma kini, barulah
direzekikan kepadanya untuk berubah dan dapat terima nasihat tersebut.
2. Kita ambil juga
iktibar dari kita yang selalu lupa dan lalai. Contohnya jika kita telah
pun mampu berubah menjadi manusia yang baik dari sebelumnya dan mampu
mengamalkan banyak dari ajaran agama, tentu sampai pada suatu masa kita
lalai atau leka dan kadang-kadang didatangi sifat malas. Memang kita
manusia begitu. Tiba-tiba apabila datang nasihat dari orang lain atau
kita terbaca suatu peringatan yang sebenarnya nasihat dan peringatan itu
telah pun kita ketahui, maka tersedarlah kita. Itu akan menyedarkan
kita dari kelupaan dan kelalaian serta akan mendatangkan muhasabah dan
membangkitkan motivasi buat kita.
Samalah dengan orang lain. Mungkin
nasihat yang kita berikan, walaupun ia nasihat yang mungkin dipandang
remeh oleh orang atau ia nasihat yang sudah berulang kali didengar
manusia, tetapi mana tahu, ia mungkin menjadi peringatan dan semangat
baru buat orang lain. Menyedarkan yang lalai. Mengingatkan yang lupa.
Membangkitkan motivasi bagi yang lemah dan malas.
3. Apabila kita terus
memberikan nasihat dan berulang-ulang pula, sebenarnya diri kita itulah
yang kita beri nasihat. Hati kita terlebih dulu ditegur, sebelum
nasihat itu masuk ke dalam hati orang lain. Mata kita sendiri dahulu
yang membaca peringatan itu, sebelum ia dilihat mata orang lain. Dan
telinga kita dahululah yang terima mesej tersebut, sebelum mesej yang
kita ucapkan itu sampai ke telinga orang lain.
Nah, ia pastinya memberikan kebaikan buat
diri sendiri dalam menjalani kehidupan ini dan disedarkan selalu dengan
tadzkirah dari diri sendiri. Menasihati orang lain sebenarnya kesannya
lebih kepada diri sendiri.
4. Semua amalan manusia
sedang dicatit oleh dua malaikat yang cukup cergas, setia dan bersiap
sedia mencatit semua amalan kita tanpa terlepas sedikit pun. ALLAH
Ta`ala berfirman:
إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ. مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
Maksudnya: “Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Surah Qaaf, 50:17-18)
Semua yang kita lakukan, contohnya
perbuatan memberikan nasihat kepada orang lain akan turut dicatit oleh
malaikat-malaikat tersebut. Dan semoga ia menjadi sebab untuk mendapat
rahmat ALLAH pada Hari Akhirat nanti. Jika sekali kita berikan nasihat,
maka sekalilah yang dicatit. Jika banyak kali kita memberikan nasihat,
maka berulang-ulang kalilah pula dicatit oleh malaikat walaupun ia
nasihat yang dipandang remeh oleh manusia. Dan mudah-mudahan ia akan
memberatkan catitan amalan kebaikan buat kita kelak, dengan izin ALLAH.
Firman ALLAH `Azza wa Jalla berikut dapat menggerakkan kita untuk memperbanyakkan amal:
فَأَمَّا مَن ثَقُلَتْ مَوَازِينُهُ. فَهُوَ فِي عِيشَةٍ رَّاضِيَةٍ
Maksudnya: “(Setelah berlaku Hari Kiamat), maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing); adapun orang yang berat timbangan amal baiknya. Maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang.” (Surah al-Qari`ah, 10: 16-17)
Firman ALLAH `Azza wa Jalla berikut dapat
menyedarkan kita bahawa amalan yang kita pandang remeh sekali pun akan
diperlihatkan dan diberikan kebaikan buat kita, in shaa’ ALLAH:
فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ
Maksudnya: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” (Surah al-Zalzalah, 99:7)
Banyak ayat-ayat al-Quran dan
hadith-hadith Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam yang menggalakkan
kita agar melakukan kebaikan dalam cara apa sekali pun asal sahaja
bertepatan dengan syariat Islam. Jika orang tak terima nasihat kita
pun, tetap perbuatan menasihati itu akan dicatit dan dikira sebagai
kebaikan dan pahala dari sisi ALLAH, in shaa’ ALLAH.
5. Dan jika manusia
terima nasihat kita dan amalkan pula, ma shaa’ ALLAH lagi besarlah
pahala yang bakal diperolehi oleh kita. Hadith Rasulullah sallAllahu
`alaihi wa sallam berikut mungkin dapat mendatangkan motivasi kepada
kita kerana ia bukan sahaja menggalakkan kebaikan, bahkan menjanjikan
suatu gandaan pahala yang banyak kepada kita jika kita menyampaikan
nasihat kepada orang lain lalu diterima dan diamalkan pula oleh mereka
yang kita sampaikan. ALLAHU AKBAR!
Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda yang maksudnya:
“Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk/kebenaran, maka dia mendapat pahala seperti pahala-pahala orang yang mengikutinya dengan tidak mengurangi pahala – pahala mereka sedikit pun.” (HR Muslim)
Dengan menghayati hadith di atas, kita
sebagai manusia tentu akan berusaha untuk membuatkan manusia lain terima
nasihat kita seterusnya mengamalkannya. Kerana kita mahukan ganjaran
yang berlipat kali ganda. Maka, untuk membuatkan manusia terima nasihat
kita, bukan sahaja kita harus terus-terusan sampaikan nasihat, bahkan
yang sepatutnya ialah kita mempelbagaikan cara menyampaikannya.
Kekreatifan dan keinovatifan dakwah bisa datang mengikut pengalaman
masing-masing dan keadaan. Asal sahaja tidak bercanggah dengan syariat
Islam, nah silakan!
Apa pun, hidayah dan taufiq itu adalah
milik ALLAH Jalla wa A`la. Kita cuma menyampaikan setakat yang kita
mampu. Kita bukanlah pengubah manusia, tetapi ALLAH lah yang mempunyai
kuasa itu. Itulah sikap yang perlu ada pada kita jika kita mahu
menyampaikan nasihat kebaikan. Sampaikan dan sampaikan, keputusannya
terserah kepada ALLAH.
Semua yang kita lakukan bakal memberikan
kebaikan kepada diri kita sendiri, justeru teruskanlah sampaikan nasihat
dan peringatan. Walaupun berulang-ulang kali. Walaupun ia dipandang
remeh dan kecil oleh manusia. Mudah-mudahan nanti kita pada Hari
Akhirat bisa ketawa bahagia dengan keredhaan ALLAH Jalla wa A`la, amin…
- muzir.wordpress.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan