IKTIBAR daripada hijrah Nabi Muhammad SAW adalah kejayaan dan
kemajuan umat Islam yang diasaskan atas dasar perjuangan dan kekuatan
umatnya melalui semangat pengorbanan dan perpaduan sebagaimana yang
terkandung dalam peristiwa hijrah Nabawiah.
Hakikat perjuangan dan perpaduan yang dipelopori oleh Rasulullah SAW
telah menjadikan umat Islam sebagai ummah yang kuat, progresif, maju dan
disegani oleh musuh-musuh Islam.
Akhirnya setelah sekian lama umat Islam menjadi umat contoh, memiliki
kekuasaan, pembawa obor tamadun dan kemajuan ilmu pengetahuan, mereka
mulai lalai dan cuai dengan nikmat yang telah dikurniakan Allah SWT.
Satu demi satu negara Islam telah jatuh dan mundur dibolot oleh
musuh-musuh Islam. Semangat perjuangan agama telah digantikan dengan
perjuangan politik dan kepentingan peribadi yang merugikan rakyat dan
bangsa.
Ditambah pula dengan masalah yang menekan jiwa umat Islam kini
seperti kefahaman Islam yang cetek, timbulnya bermacam-macam fatwa,
penyelewengan akidah, mengasingkan diri daripada urusan dunia, gejala
sosial, ekonomi, politik, perpecahan keluarga dan sebagainya.
Islam akhirnya dipermain-mainkan oleh musuh Islam yang sentiasa mencari peluang untuk memusnahkannya.
Walau bagaimanapun kini telah timbul kesedaran di kalangan umat Islam
untuk mengambil berat dan memikirkan mengenai masalah yang dihadapi
umat Islam di serata dunia. Mereka telah bangkit berusaha
bersungguh-sungguh agar umat Islam tidak terus ketinggalan dalam
pelbagai kemelut.
Semangat hijrah membawa pengertian yang luas, keluar daripada
gelanggang yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah
pemisah di antara yang hak dengan yang batil, antara yang benar dan
salah serta berada dalam dimensi rahmat dan keredaan Allah SWT.
Dengan sifat-sifat ini kejayaan dan kemajuan ummah akan berhasil daripada pertolongan Allah SWT. Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka. (ar-Ra'd: 11)
Apabila Nabi SAW berada di Madinah, perkara pertama yang dibuat ialah
membina Masjid Quba'. Ini menunjukkan bahawa peranan masjid amat
penting dalam pembinaan ummah, di samping mentauhidkan dan
memperhambakan diri kepada Allah SWT.
Selepas itu Baginda menyatupadukan golongan Ansar (Madinah) dengan
Muhajirin (Mekah). Nabi SAW juga mengikat janji setia dengan golongan
Yahudi Madinah, tetapi kemudiannya melanggar dan mencerobohi perjanjian
itu.
Apabila umat Islam mempunyai inisiatif untuk mengubah nasib diri
mereka sendiri, maka pertolongan Allah pasti menjelma iaitu daripada
kehinaan, kerendahan dan ketinggalan kepada puncak kemuliaan dan
kejayaan.
Pertolongan Allah akan tiba apabila umat Islam sanggup membela agama
Allah dan mentauhidkan-Nya. Sebaliknya jika umat Islam masih berdegil
dan tidak memperjuangkan agama Allah yang sebenar-benarnya, maka selama
itu umat Islam akan berpecah-belah.
Firman Allah SWT bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, jika
kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai
kemenangan) dan menegakkan tapak pendirian kamu. (Muhammad: 7)
Untuk mengubah diri, seseorang itu perlu melalui pembangunan jiwa,
pembangunan mental, dan juga pembangunan fizikal. Pembangunan jiwa
adalah suatu proses untuk melahirkan jiwa yang bertakwa, padu dan
mantap. Ia merupakan unsur yang perlu difahami dan dititikberatkan oleh
semua ummah.
Ketiadaan jiwa yang takwa akan mengakibatkan fungsi akal dan fizikal
menjadi lumpuh dan cacat. Umumnya manusia menggunakan kecerdasan akal
dan fizikal untuk membina tamadun ummah. Justeru, jika ia tidak
seimbang, maka akan berlaku kegagalan dan sia-sia belaka.
Untuk tujuan itu, manusia yang merupakan khalifah di muka bumi ini,
perlu mantapkan diri dengan perasaan cintakan Allah dengan segala jiwa
dan raga. Malah tidak sesekali menyekutukan Allah dalam apa jua bentuk
kepercayaan dan akidah yang menyeleweng.
Inilah matlamat hidup mukmin sejati di muka bumi sebelum bertemu
Allah di alam akhirat kelak, di mana semuanya akan dipertanggungjawabkan
di hadapan Allah SWT.
Firman Allah bermaksud: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (az-Zariat: 56)
Pengertian mengabdikan diri kepada Allah adalah melaksanakan semua
perintah dan menjauhi larangan-Nya dan juga mengekalkan rasa
kehambaan-Nya.
Sementara khalifah pula bererti, manusia dipertanggungjawabkan untuk
memakmurkan bumi Allah ini dalam segala aspek kehidupan merangkumi
bidang ekonomi, sosial, perubatan, pertanian, sains, teknologi,
pendidikan dan sebagainya.
Oleh itu, kesedaran terhadap tanggungjawab ini yang lahir daripada
jiwa seorang mukmin sejati, sudah tentu dapat membawa perubahan kepada
pembangunan ummah, seterusnya mengembalikan kegemilangan Islam sesuai
dengan semangat hijrah yang diasaskan oleh Rasulullah SAW.
kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan