Jumaat, 15 November 2013

Tugas Pertama Cinta


TUGAS PERTAMA CINTA
MANUSIA perlu didengar cakap dan suara hatinya seperti mana dia perlukan makanan. Tanpa makanan, badan tidak akan sihat dan bertenaga. Maka begitulah juga manusia yang cakapnya tidak didengar, jiwa dan perasaannya akan sakit dan terdera.

Sehubungan itu, untuk membina dan mengekalkan hubungan cinta, maka jadilah pendengar yang baik pada pasangan kita. Sebab itu ada ungkapan yang berbunyi: “The first duty of love is to hear” (tanggungjawab pertama cinta ialah mendengar).

Kekasih yang baik ialah seorang pendengar yang baik. Soalnya, bila kali terakhir kita menjadi pendengar yang baik kepada pasangan kita? Ketika kita pulang dari kerja atau musafir, kita memilih menjadi pendengar kepada isteri yang ditinggalkan di rumah atau sebaliknya?





tugas-cinta-1 

Mungkin, banyak yang ingin diceritakan atau disuarakan oleh isteri yang berada di rumah, namun kita menjadi ‘tuli’. Kononnya cerita atau masalah di pejabat atau sepanjang permusafiran kita, jauh lebih besar dan penting daripada apa yang dialami isteri di rumah.

Demikian juga di pihak suami, kadangkala ia ingin juga meluahkan rasa hatinya kepada isterinya melalui cerita. Tetapi bila didapati isterinya asyik membebel atau merungut, lalu lidah dan hatinya terkunci untuk bercerita. Kekadang raut wajah dan mimik muka kita menjadi penghalang untuk pasangan kita memperdengarkan suara hatinya.

Kita tidak bercakap tetapi ‘bahasa badan’ atau ‘ayat mata’ kita seolah-olah memberi amaran: “Jangan ganggu saya. Saya letih!” Esok, lusa dan hari-hari seterusnya begitu juga. Lama kelaman pasangan kita kehilangan suara. Dia tidak akan bercakap lagi. Dan lebih malang lagi, apabila dia berpaling kepada pihak ketiga yang lebih sudi mendengar.

Beza Antara Empati dan Simpati

Mendengar dengan jiwa akan melahirkan empati. Mendengar dengan telinga akan melahirkan simpati. Apa bezanya simpati dan empati? Empati bererti kita merasai suara hati yang diperdengarkan dan tidak diperdengarkan oleh pasangan kita.


tugas-cinta-2 

Manakala simpati hanya memahami apa yang diperdengarkan melalui ayat dan kata-kata. Empati akan memperkukuhkan cinta, kerana cinta itu hakikatnya berkongsi rasa bukan sekadar berkongsi kata. Suami atau isteri yang baik akan menjadi pendengar yang baik kepada cerita, berita, luahan rasa pasangannya. Walaupun mungkin yang diperkatakan itu sudah berkali-kali dan kerap kali ‘diulang tayang’… tetapi kekasih yang setia tidak akan jemu-jemu mendengarnya.

Jika anda pulang ke kampung, dan duduk di sebelah ibu bapa yang telah tua, bukankah selalu anda ‘diperdengarkan’ dengan cerita yang sama? Bagaimana reaksi anda? Ya, anak yang baik akan terus mengangguk-angguk, mengiyakan dan tersenyum dengan cerita ‘lapuk’ ibu bapanya. Maka begitulah seorang suami, guru, pemimpin yang baik – sentiasa menjadi pendengar yang baik kepada isteri, pelajar dan pengikut-pengikutnya. Walaupun mendengar lebih ‘pasif’ daripada berkata-kata tetapi untuk mampu mendengar sebenarnya lebih sukar daripada berkata-kata.

tugas-cinta-3 

Anda pernah melihat orang yang asyik ‘memonopoli’ sesuatu perbualan? Lepas satu, satu ceritanya. Dia tidak memberi peluang langsung kepada orang lain untuk bercakap. Seolah-olah dia berkata: “Kau diam. Dengar sahaja apa yang aku cakap!” Atau belum sempat orang lain bercakap, dia pun segera memotong percakapan itu. Apa tanggapan kita terhadap orang begini? Ya, tentu sahaja negatif. Mendengar lebih sukar kerana ia bererti “memberi perhatian, hati dan perasaan”. Hanya orang yang pemurah sahaja sanggup berbuat demikian. Orang yang bakhil tidak akan sanggup. Si bakhil tidak akan sanggup memberi tumpuan, perhatian dan hatinya kepada orang lain.

Demikian dengan orang yang bersifat ego, ia tidak sanggup mendengar ucapan orang lain, walaupun yang berguna. Dengan bercakap dan terus bercakap, dia ingin terus mendapat perhatian. Dalam suatu bentuk perhubungan, terutamanya dalam hubungan cinta… sikap memberi akan menyatukan. Sebaliknya, sikap hanya ingin menerima akan memisahkan.

Mendengar dan Mengasihi Allah

Tuhan yang maha mendengar adalah Tuhan yang maha mengasihi hamba-hambaNya. Untuk mengasihi, Allah mendengar. Sebab itu antara nama-nama Allah yang baik (Asma’ ul-Husna) ialah al-Sami’. Allah Maha mendengar rintihan, doa dan pengaduan hamba-hambaNya.

Tanpa mengira sesiapa, bila dan di mana jua, Allah mendengar doa hamba-hambaNya. Allah memakbulkan permintaan, memenuhi harapan. Allah tidak jemu-jemu mendengar sayangnya, kita yang sering jemu memperdengarkan. Jadi, sekarang kita seharusnya sedar mengapa Allah wajar dijadikan Kekasih Awal dan Akhir… kerana Dia maha mendengar!
tugas-cinta-4 

Contohilah sifat Allah yang Maha Mendengar untuk menjadi kekasih yang baik. Rendahkanlah hati, kurangkanlah kepentingan diri dan tekan rasa ego agar tidak menjadi orang yang ‘tuli’ dalam bercinta. Mungkin itulah hikmahnya mengapa Allah ciptakan untuk kita dua telinga dan satu mulut. Tuhan mendidik kita agar lebih banyak mendengar daripada berkata-kata.

Jangan bosan mendengar apa yang diperkatakan oleh pasangan kita, kerana siapalah kita berbanding Allah? Tuhan Yang Maha Agung itu pun masih terus-terusan sudi mendengar rintihan hamba-hambaNya yang berulang-ulang. Jadi, apabila pulang dari kerja, atau kembali dari musafir nanti… ketika si dia anda menunggu di depan pintu dengan cerita, rintihan atau luahan hatinya, maka dengarkanlah. Lakukanlah tugas cinta yang pertama, jika anda benar-benar cintakannya dengarkanlah. Pandang matanya, belai tangannya, sapa rasanya dengan rasamu. InsyaAllah, dengan mendengar anda seolah-olah terus berkata-kata: “Aku tetap setia, aku tetap cinta!”
 tugas-cinta-5e Pahrol Mohd Juoi
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3
 http://www.addeen.my/porta

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...