Ahad, 14 Oktober 2012

Terowong baru lontar jamrah mudahkan jemaah haji Malaysia

Haji
Terowong baru ke Kompleks Jamarat bagi laluan jemaah haji Malaysia untuk urusan melontar pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah 1433H - Foto Bernama
MAKKAH - Pembinaan terowong baru menghubungkan khemah jemaah Tabung Haji di Mu'aisim dengan tempat melontar jamrah di Mina yang dijangka siap minggu depan akan memberikan banyak kelebihan kepada jemaah haji Malaysia, kata Pengarah Operasi Masyair Mohd Khalid Nordin.
 
Beliau berkata, terowong baru sepanjang dua kilometer itu merupakan sambungan kepada dua buah terowong lama.
 
"Kalau dulu, jemaah haji Malaysia yang mahu melontar jamrah akan masuk mengikuti terowong lama dan kemudian keluar menyusur di khemah-khemah negara lain.
 
 
 
 

 
"Masalahnya selepas melontar jemaah kita selalu tersesat dalam perjalanan balik di khemah-khemah negara lain," katanya kepada pemberita selepas melawat terowong itu di Mina hari ini.
 
Katanya terowong itu akan membolehkan perjalanan jemaah haji Malaysia terus ke Jamrah dan balik semula ke khemah tanpa melalui kawasan perkhemahan jemaah negara lain yang dihuni berjuta-juta orang pada hari itu.
 
Beliau melahirkan rasa kagum kerana kerajaan Arab Saudi mampu membina terowong itu dan membangunkan semula kawasan Mina serta Mu'aisim dengan segala kemudahan baru dalam masa tidak sampai setahun.
 
Pembinaan terowong baru itu yang lengkap dengan sistem penyejuk udara hanya dimulakan selepas tamat musim haji tahun lepas, katanya.
 
Beliau berharap kes-kes jemaah haji Malaysia tersesat seperti tahun-tahun sebelum ini dapat dikurangkan.
 
Katanya, setiap jemaah haji yang mahu melontar di jamrah di Mina akan melalui perjalanan sepanjang enam kilometer (pergi balik) dari khemah jemaah haji Malaysia di Mu'aisim.
 
"Ini merupakan hari kemuncak yang kita tunggu kerana berjuta-juta jemaah haji dari seluruh negara akan berada di sana.
 
"Keadaan akan menjadi sangat sesak, jadi kita akan letakkan kumpulan-kumpulan kecil petugas Tabung Haji di tempat-tempat strategik untuk memantau dan membantu jemaah kita yang berada dalam kesukaran," katanya.
 
Beliau berharap segalanya akan berjalan lancar pada hari-hari penting dalam ibadat haji iaitu pada 26, 27, 28 dan 29 Oktober ini.  - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...