KUALA LUMPUR: Seramai 20 selebriti terkenal tanah air
melakukan kegiatan amal dengan mengutip derma daripada orang ramai
untuk mengumpul dana bagi membantu rakyat Palestin di Semenanjung Gaza
yang teraniaya akibat kekejaman rejim Zionis.
Naib Pengerusi Usrah Fitrah dan pelakon, Irma Hasmie berkata, kutipan
yang dijalankan sekitar Bukit Bintang di sini pada Rabu itu mendapat
sambutan tidak berbelah bagi daripada golongan artis.
"Syukur Alhamdulillah ramai rakan artis membantu dalam menjayakan projek yang kami rancang dalam masa singkat.
"Mungkin kita tidak mampu untuk pergi berjuang di Gaza namun apa yang
kami lakukan ini juga sebahagian daripada perjuangan sebagai tanda
sokongan kepada penduduk Islam yang sedang dizalimi di Palestin,”
ujarnya ketika ditemui pihak media di sini pada Rabu.
Program yang dianjurkan bersama Badan Aman Palestin itu disertai oleh
artis antaranya Siti Nordiana, Yatt Hamzah, Iqram Dienzly, Salima
(AF), Zoey Rahman, Anding (AF), Ayu Damit dan Roslan Shah.
Kesemua selebriti tersebut berkumpul di pusat beli belah Pavillion
di sini sebelum mereka berpecah dalam beberapa kumpulan dan bergerak
sekitar kawasan Bukit Bintang dan KLCC bagi melakukan kutipan.
Dalam pada itu, Irma berkata, pihaknya tidak menyasarkan jumlah
tertentu namun akan cuba mendapatkan sebanyak mungkin wang daripada
orang ramai bagi tujuan tersebut.
Malah kata Irma, pihaknya juga merancang untuk meneruskan kutipan tersebut ke beberapa lokasi tempat awam yang lain selepas ini.
"Kita tidak akan berputus asa dan usaha ini akan diteruskan di
beberapa lokasi lain. Insya-Allah semua hasil kutipan akan disalurkan
kepada saudara Islam kita di Gaza secepat mungkin," ujarnya.
Sementara itu, salah seorang anggota Usrah Fitrah, pelakon Yatt
Hamzah memberitahu, mereka juga merancang untuk mengadakan solat hajat
perdana dan solat hajat selepas solat Jumaat di beberapa buah masjid
yang akan ditentukan kemudian.
"Ini adalah usaha kami bersama Badan Aman Palestin dan orang ramai dijemput hadir untuk melakukan solat hajat tersebut.
"Maklumat lanjut mengenai solat hajat itu akan dikemas kini dari masa
ke semasa menerusi laman web kami dan Aman Palestin," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Yatt berkata, orang ramai yang ingin
menderma boleh berbuat demikian melalui Bank Islam Malaysia Berhad (No.
Akaun: 1202-9010-0478-80) atau Maybank Malaysia Berhad (5622-6301-0787)
atas nama 'Aman Palestin Berhad'.
Sumbangan juga boleh dibuat melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip PALESTIN 10 (Jika nilai RM10) dan hantar ke 39111.
Sebarang maklumat lanjut boleh melayari www.amanpalestin.net atau www.usrahfitrah.com.
mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan