Pokok Tasbih turut dikenali sebagai Pokok Jelai. Tumbuhan
dari famili rumput ini mempunyai batang yang tegak serta mempunyai buah
keras berupa manik dan berlubang di tengahnya. Kanak-kanak di kampung
bermain buah ini dengan menjadikannya sebagai tasbih. Satu kepercayaan
masyarakat Melayu mengatakan kucing yang dipakaikan dengan rantai buah
tasbih ini akan menjadi kurus serta tidak sihat. Namun, sejauh manakah
kebenarannya tidak dapat dipastikan.
Tumbuhan berumpun ini mampu mencapai ketinggian sehingga 3 meter.
Buahnya berkilau seperti porselin, tebal dan keras. Ia berwarna hijau
cerah semasa muda dan berubah menjadi kuning langsat apabila masak.
Ianya akan menjadi hitam apabila sudah terlalu tua. Daunnya berbentuk
seperti daun jagung tetapi lebih pendek dan berketak-ketak. Upih daunnya
rapat memenuhi batang. Tumbuhan ini hidup subur di kawasan yang
mendapat cahaya matahari yang cukup. Jelai membiak melalui pecahan
rumpun, sama seperti kebanyakan tumbuhan lain daripada famili rumput.
KEGUNAAN
Masyarakat kampung menggunakan ia sebagai herba bagi mengubati sakit kepala dan migrin.
- Caranya, keseluruhan pokok dibersihkan sebelum dicincang dan direndam dalam air panas.
- Pesakit dimandikan dengan air rendaman ini selepas suam.
Akarnya mampu mengubati demam kuning dengan cara:
- Rebus 15 gram akarnya sehingga air rebusan tinggal setengah.
- Kemudian, air ini ditapis dan diminum 2 kali sehari.
- Di samping itu, pesakit perlu minum banyak air masak semasa mengamalkan tonik ini.
Bagi merawat batu karang pula:
- 5 gram daunnya dijadikan teh dan diminum serta diamalkan hingga masalah batu karang hilang.
- Tambahkan daun hingga 10 gram bagi mengubati jangkitan pundi kencing dan kencing kotor.
Bagi merawat Reumatoid:
- 30 gram buah yang tua direbus hingga airnya tinggal suku, tapis dan minum airnya semasa sakit.
- Pastikan air rebusan adalah rebusan yang baru dan bukannya yang disimpan dalam peti sejuk.
- Air rebusan buahnya yang diminum juga dapat menghaluskan kulit .
Ia juga boleh menjadi penawar appendiks dan cirit-birit. Dalam perubatan
tradisional Cina, Jelai adalah tumbuhan yang menyejukkan dan berfungsi
bagi merehatkan otot, antitumor, penahan sakit, menurunkan kandungan
gula dalam darah dan merawat demam. Ia juga dijadikan ubat bagi merawat
masalah cacing. Selain itu, masyarakat Cina juga menggunakan isi bijinya
dalam masakan sama seperti penggunaan barli iaitu dijadikan bubur dan
sup.
Penggunaan herba ini perlu dielakkan semasa hamil.
sumber- wannura
sumber- wannura
Tiada ulasan:
Catat Ulasan