Khamis, 6 Disember 2012

Mulut Celupar Dari Rasulullah S.A.W


Teknik Mengubati Mulut Celupar Dari Rasulullah S.A.W
Adakah anda pernah terfikir dan sedar anda bermulut celupar? Sedarkah anda apabila kita berbicara, tanpa disedari kita telah mengguris hati dan perasaan orang lain? Pernahkan anda dipinggirkan kerana anda suka bercakap ‘lepas’?

Sebagai manusia biasa, kita tidak pernah terlepas dan lari dari melakukan kesilapan dalam segala tindakan serta percakapan harian.





Rasulullah telah meninggalkan beberapa petua untuk mengubati penyakit lisan dan petua yang berguna untuk mengubati penyakit-penyakit lain seperti suka memfitnah, mengumpat, menipu, bercakap kotor dan sebagainya selain mulut celupar.

Pertama, Rasulullah menyuruh kita diam apabila terdorong untuk bertutur perkara yang tidak sepatutnya.
Sahabat Abu Syuraih Al-Khuza’iy r.a. menyatakan bahawa Rasulullah pernah berpesan, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam.”

Kedua, Rasulullah menyuruh kita berzikir bagi mengimbangi aktiviti lidah. Kebanyakan dari kita menggunakan lidah untuk kemudahan dan kepentingan diri dan terlupa memuji pencipta lidah setiap hari. Kata-kata yang dihasilkan oleh lidah dalam memuji pencipta lidah lebih sedikit berbanding dengan kata-kata yang dihasilkan ketika berkomunikasi sesama kita.

Menurut sahabat Ibnu Umar, Rasulullah pernah berkata, “Janganlah kamu banyak bercakap tanpa berzikir kepada Allah, kerana sesungguhnya banyak bercakap tanpa berzikir kepada Allah mengakibatkan kerasnya hati, dan orang yang paling jauh dengan Allah adalah orang yang paling keras hati.” Rasulullah pernah menyatakan menerusi Imam Bukhari, terdapat dua kalimat zikir yang paling disukai oleh Allah SWT yang sangat mudah diucapkan tetapi sangat berat untuk diamalkan.

Kedua-dua kalimat itu adalah ‘subhanallah wa bihamdihi’ dan ‘subhanallah hil azim’ yang membawa maksud ‘Maha suci Allah dan segala pujian kepadaNya’ dan, ‘Maha suci Allah yang Maha Besar.’

Selain itu, dalam riwayat lain diceritakan, sesiapa yang membaca ‘subhanallah wa bihamdihi’ sebanyak 100 kali sehari, maka semua dosanya diampunkan oleh Allah SWT meski pun sebanyak buih di lautan.

Ketiga, Rasulullah mengajar agar kita sentiasa beristighfar untuk mengelakkan lidah kita dari terus ‘rancak’ membicarakan perkara yang kita sendiri tidak ketahui akan kesahihannya.

Istighfar bermaksud memohon keampunan dan kita digalakkan untuk beristighfar sekurang-kurangnya dengan mengucapkan, ‘Astaghfirullahazim’ disertakan ‘perasaan menyesal’ di dalam hati.

Rasulullah dalam amalan hariannya selalu beristighfar sebanyak 100 kali untuk mengelakkan keburukan dalam lidahnya.
Credit to iluvislam.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...