Isnin, 11 November 2013

Kisah Benar Terserempak Kubur Dan Mayat Berasap


Cerita ini bermula ketika aku masih menuntut di sekolah rendah dalam darjah 5 ketika itu aku berumur 10 tahun . Peristiwa ini berlaku pada suatu malam nan hening yang banyak mengundang unggas-unggas bermain pada masa waktu ketibaannya.

Tapi bukan sahaja makhluk kerdil ini sahaja yang hadir pada waktu seperti ini tetapi ada juga makhluk lain yang suka bertandang pada waktu ini. Seperti apa yang dikatakan oleh arwah nenekku, makhluk yang sering bertandang pada waktu ini ialah makhluk Jin dan Syaitan yang dilaknati telah Allah S.W.T. 

Ketika itu aku baru selesai mengaji Al-Quran dari rumah Tok Cik , guru yang mengajar aku tentang agama. Ketika itu akulah pelajarnya yang terakhir menyelesaikan pembelajaran pada hari itu. 

Maknanya aku terpaksa kembali ke rumah berseorangan kerana rakan-rakanku yang lain telah lama meninggalkanku. Selepas mengucapkan terima kasih kepada Tok Cik ,aku pun berjalan pulang.
Malam makin gelap perasan takut mula menyelubungi diriku. Kini aku mula merentasi kawasan perkuburan yang selalu digembar gemburkan oleh penduduk kampung sebagai kawasan berhantu. Hatiku mula berkocak dan mula berfikir tentang cerita-cerita seram yang sering diceritakan oleh penduduk kampung.
Tiba-tiba satu kubur mula berasap, aku mula berpeluh. Aku melihat satu mayat berasap keluar dari kubur tersebut. AARRRGGGGHHH!!!!!!. Aku mula kaget dan menjerit ketakutan. 

Fikiran aku makin bercelaru, puaka itu semakin mara kepadaku. Ingin aku meninggalkan tempat itu, tetapi aku tak dapat menggerakkan anggota tubuhku, Tubuhku seperti terpaku di bumi di mana tempat aku berpijak.
Mayat berasap itu mula mengeluarkan bunyi yang menyeramkan. Heeeee….Heeeee…Heeeee…. Suaranya sungguh nyaring dan menyeramkan kepada sesiapa yang mendengarnya.

Dalam keadaan samar-samar itu aku dapat melihat wajah puaka tersebut. Wajahnya sungguh menyeramkan dengan anggota tubuhnya dibaluti kain kafan dan wajahnya yang menyeringai memandang tepat ke mukaku.
Dengan melihat puaka itu mula mendekatiku, aku mula mengumpulkan seluruh tenaga untuk berlari meninggalkan kawasan berpuaka itu. Aku seperti mendapat semangat yang baru, sejurus itu aku mula berlari untuk meninggalkan kawasan tersebut. Dari kejauhan itu aku masih lagi mendengar hilai ketawa mayat tersebut. 

Aku berlari sehinggalah aku kepenatan. Aku pun berhenti di bawah perdu sepohon pokok Pulai. Tanpa menyedari keadaan sekeliling aku pun melepaskan lelah di bawah pokok tersebut.
Semasa aku berehat di bawah perdu pokok itu, aku merasa ada sesuatu cecair pekat menitik jatuh dan terkena pada baju melayuku. Tikk…Tikk…Tikkk… Setitik demi setitik jatuh mengena pada bajuku. Aku dapat mengecam cecair yang terkena pada bajuku itu, tak lain dan tak bukan iaitu DARAH.
Aku mula melihat kekiri dan kekananku tapi tiada bukti darah itu datang dari sana. Dalam keadaan ketakutan aku memberanikan diriku melihat ke atas pokok tersebut. Memang tidak salah dugaanku, mayat berasap tersebut masih lagi ingin menggangguku.
Dalam kegelapan malam itu aku dapat melihat dua biji mata merah memandang tepat kepadaku. Tangan mayat itu mula mahu memegang leherku, yang pasti akan meragut nyawaku pada malam itu. Sejurus sahaja kejadian itu berlaku aku terus menjerit ketakutan dan tanpa mengingati apa yang telah terjadi pada diriku pada malam yang menyeramkan itu.
Pada suatu ketika aku mula membuka mata, aku menyedari kini aku berada di rumah Tok Cik. Aku bertanya kepada Tok Cik kenapa aku berada di sini dan apa yang telah berlaku kepadaku?. Dan Tok Cik hanya menjawab, “mengucap dan bertenang Pak Kadim itu tak akan menggangumu lagi anakku”.
Tetapi bagiku pernyataan Tok Cik itu masih lagi membawa seribu pertanyaan kepadaku dan menjadi misteri kepada diriku. Di dalam benakku masih tertanya-tanya siapakah Pak Kadim itu?.
Apakah hubungan Tok Cik dengan Pak Kadim dan mengapakah aku yang menjadi mangsa gangguan Pak Kadim itu?. Kini peristiwa tersebut telah lama berakhir dan Tok Cik guru agamaku juga telah lama kembali ke Alam Baqa.

Tetapi, aku masih lagi tidak dapat melupakan peristiwa yang menakutkan ini dan ia masih lagi menghantui diriku serta seterusnya ia telah menjadi satu pengalaman yang ngeri dalam hidupku sehinggalah kehari ini.
sumber: Mastika Jun 2009
Wa Allahu'alam
waazin blogsport

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...