Isnin, 20 Julai 2015

Fakta - Individu pertama menemui penisilin

 Sir Alexander Fleming





 SEJARAH penemuan antibiotik (penisilin) pada tahun 1928 oleh Sir Alexander Fleming merupakan sebuah penemuan terbesar dalam dunia perubatan. Dengan adanya antibiotik, jutaan nyawa manusia dapat diselamatkan.

Sebelum antibiotik ditemukan, pelbagai jenis jangkitan tidak dapat dirawat dan akhirnya menyebabkan kematian.

Kehidupan awal

Alexander Fleming lahir pada 6 Ogos 1881 di kawasan pertanian Lochfield, berhampiran Ayrshire di Scotland.

Beliau adalah anak ketiga daripada empat beradik. Bapanya, Hugh Fleming adalah seorang petani miskin dan meninggal dunia ketika beliau berusia tujuh tahun.

Fleming mendapat pendidikan awal di Loudoun Moor School dan Darvel School. Beliau kemudian mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran selama dua tahun di Kilmarnock Academy,

Sebelum berpindah ke London, Fleming sempat bersekolah di The Royal Polytechnic Institution.

Pada 1903, setelah empat tahun bekerja dengan sebuah syarikat pelayaran, beliau mendaftar di sekolah perubatan St Mary Hospital Medical School di Paddington.

Karier di Hospital St Mary

Sekitar tahun 1928, Fleming diberikan tugasan sebagai ketua biokimia di Haspital St Mary di London dan diberikan sebuah ruangan khas yang juga menjadi sebagai makmal ujikajinya bersebelahan dengan bilik dandang.

Sebagai kakitangan pengkaji bakteria, beliau membiakkan bakteria di dalam piring petri untuk tujuan ujikaji pihak hospital.

Kesemua piring petri yang mengandungi bakteria berbahaya yang terdiri daripada staphylococci, streptococci dan pneumococci disusun dan di label dengan teliti di makmalnya.

Bagaimanapun, kulapuk merupakan musuh utama kepada makmal Fleming. Manakala suasana di dalam makmalnya pula sentiasa berada dalam keadaan pengaliran udara yang tidak teratur mengikut keadaan bilik dandang yang beroperasi bersebelahannya.

Pengaliran udara untuk makmal ini hanya bergantung kepada tingkap yang berhadapan dengan taman hospital tersebut.

Situasi ini memberi peluang kepada angin tengah hari membawa masuk daun-daun, habuk dan bermacam jenis kulapuk yang sedia ada di dalam udara. Fleming mendapati adalah sukar untuk mengawal kehadiran kulapuk ini daripada menjejaskan tumbesaran bakteria
yang cuba dibiakkan.

Hampir putus asa

Pada 28 September 1928, Fleming kelihatan agak kecewa apabila mendapati piring petri yang mengandungi bakteria berbahaya stapylococci telah dimusnahkan oleh kulapuk hijau yang kelihatan ganjil.

Dalam kekecewaan tersebut, beliau tiba-tiba tersentak bila menyedari di mana pada bahagian kulapuk ini hidup bakteria staphylococci didapati hilang (mati). Begitu juga bakteria yang berada hampir seinci daripada kulapuk ini didapati tidak aktif atau tidak sihat.

“Kulapuk apakah yang dapat memusnahkan bakteria yang begitu aktif, ganas dan boleh membawa maut kepada dunia? Tiada bahan yang diketahui (pada masa itu) yang boleh mengancam staphylococci dengan berjaya," bisiknya.

Fleming mengambil masa dua minggu untuk mengasing dan membiakkan kulapuk hijau untuk tujuan mengenal pasti kulapuk tersebut: Penicillium notatum.

Sebulan kemudian, beliau mendapati kulapuk ini menghasilkan bahan yang mampu membunuh bakteria dan memanggil bahan tersebut sebagai “penicillin”.

Buah hasil

Melalui eksperimen yang dijalankan, Fleming mendapati penisilin mampu menghapuskan bakteria pembunuh manusia dengan mudah antaranya - staphylococci, streptococci, pneumococci juga yang lebih hebat seperti diphtheria.

Enam bulan berikutnya, beliau menguji penggunaan penisilin ke atas seekor arnab untuk memastikan ia selamat digunakan ke atas manusia. Pada penghujung 1929, beliau mengisytiharkan penemuan kulapuk ajaib tersebut yang diterbangkan masuk melalui tingkap makmalnya.

Dalam Perang Dunia Kedua, ramai askar telah diselamatkan kerana luka mereka dapat dirawat dengan penisilin. Terdapat pelbagai jenis penisilin dan setiap satunya adalah khusus untuk membunuh kuman tertentu.
http://batuvskayu.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...