Sabtu, 30 Jun 2012

Cerpen - Di Sebalik 'Belenggu' Niqab

Di sebalik niqab berwarna hitam itu, ada sepasang mata yang terlihat dan melihat. Dihujani ribuan pandangan aneh. Terasa begitu asing. Perbezaan yang serta-merta dapat dirasai menusuk segenap hati apabila diperhatikan berpakaian yang serba menutup sebegitu berbanding kebiasaan sering terdedah. Mata-mata yang seakan bersuara melahirkan simpati. Seharusnya, pada era fesyen ini segala trend jadi ikutan. Namun, bukan dia.

Ada yang merasakan dirinya berpakaian seperti tawanan. Setiap langkah mereka beriramakan suara yang berdesas-desus layaknya seperti juri yang menghakimi. Tatkala pilihan fabrik penuh warna-warni  yang menarik, masih ada yang mahu tampak serba pudar sepertinya.







"Jadi, inilah perubahan baru yang awak katakan antara simbolik bagi erti 'kebebasan' sebenar seorang wanita? Sememangnya perubahan yang benar-benar drastik, Fatihah! Tapi sejujurnya ini memang kebebasan yang lari daripada kebiasaan. Sungguh!" Kening Maisarah terangkat sedikit. Terkejut melihat sahabatnya berpakaian sedemikian. Jika bukan kerana Fatihah yang menyapanya terlebih dahulu, sudah pasti dia tidak mengenali gadis di hadapannya tadi.

"Absolutely, this is total freedom for me and my soul! I had never felt this kind of feeling before but now I know how it actually feels like. Peace and modesty. Saya dapat rasakan hati saya lebih selamat dan setiap pandangan yang melihat diri saya seperti refleksi dan reminder untuk mengingatkan siapa diri saya sebenarnya – hanya seorang hamba Allah," ujar Fatihah penuh bersemangat.

Senyuman yang terukir di sebalik kain yang menutup sebahagian wajahnya terserlah pada sinar matanya. Dia jauh lebih kemas dan berbeza daripada Fatihah yang dikenali sebelum ini. Kadangkala terfikir, betapa 'pakaian' bukan sahaja mampu mengubah pandangan segenap manusia terhadap si pemakai malah mengubah cara si pemakai itu sendiri memandang dunia.

"Awak tahu tak, pandangan mereka sangat menakutkan? Awak lebih banyak menarik perhatian dengan berpakaian sebegini. Ingat, ini bukan budaya kita seperti di tanah Arab tu. Tentulah mereka rasa janggal bila tengok awak. Malah, tak hairanlah mereka cenderung merenung awak." Maisarah masih kekok apabila hampir setiap orang yang lalu-lalang di pusat beli-belah memusatkan pandangan pada mereka berdua, khususnya Fatihah. Agak janggal duduk berdua dengan Fatihah sedangkan dirinya jauh berbeza.

"Kenapa perlu takut dipandang dengan pandangan aneh? Saya lebih takutkan Allah. Saya takut kalau-kalau pandangan mereka pada saya membuatkan Allah murka pada saya. Semua pancaindera ini pinjaman daripada Dia. Jadi, aurat saya juga tanggungjawab saya. Bukan niat saya mahu menarik perhatian atau menjadi bahan tarikan sedangkan pada dasarnya tidak ada apa-apa yang menarik pun untuk ditatap – hanya kain biasa yang tiada potongan.

"Saya mahu menjaga hati kecil ini daripada terus dizalimi dan menzalimi diri sendiri. Bukan kerana terikut budaya atau apapun. The truth is I am trying to dress for Allah and not for humans." Kelihatan air matanya bergenang. Sebak.

Dalam diri Maisarah mengakui keberanian Fatihah berhadapan insanity di sekitarnya dengan perubahan yang dibuat. Air mata di sebalik niqab itu terasa begitu mahal apabila tiada siapa yang melihat dan menyedari.

"Apa maksud awak dengan menzalimi dan dizalimi diri sendiri?"

"Saya sudah letih, Mai. Letih menjadi seorang yang seperti tercari-cari identiti. Letih bergantung kepada sesuatu untuk mengejar tumpuan. Letih untuk membanding dan mengukur 'kecantikan'. Hati pula mudah riak dengan pakaian yang dipakai. Malah, pujian yang diberi hanya kerana kecantikan dengan 'make-up' yang sementara dan segera hilang walau terkena air.

"Saya menzalimi diri sendiri kerana berani mencuba sesuatu yang di luar syariah hanya kerana mahu tampil berbeza dan cantik di pandangan mata manusia. Malah menzalimi keluarga dan orang lain kerana memberi saham dosa dengan aurat yang terdedah. Hati saya juga bagai dizalimi kerana tanpa sedar mengukur dan mengejar segala yang sementara. Bukankah Islam mengajar umatnya untuk bersederhana?" soal Fatihah.

"Betul juga. Media dan majalah di luar sana mendefinisikan cantik itu dengan cara mereka. Fesyen pula berpusat kepada menjadi atau mencuri tumpuan. Kita dikelilingi dengan persekitaran begini. Kita juga dibentuk dengan stigma yang mengikis rasa takut pada pandangan Allah berbanding pandangan manusia.

"Tapi, bukan mudah untuk lari daripada kebiasaan. Bukan mudah untuk berkorban dan bertahan dengan pakaian yang serba labuh dan menutup hampir seluruh tubuh kita pada zaman ni. Masih banyak etika yang perlu dipatuhi," kata Maisarah yang mulai akur sudut pandang Fatihah.

"Islam itu kan mudah, jadi usah diberatkan dan jangan ambil mudah. Jadilah hamba Allah. Bersederhana dan berniat segalanya kerana mencari redhaNya. Apa pakaian sekalipun yang mengikut syariah dan berpaksi kerana Allah pasti mendapat redhaNya, insya-Allah. Masing-masing punya cara sendiri tapi aurat kita sebagai wanita adalah tanggungjawab kita dan amanah daripada Allah. Berubah itu payah tapi jika dilakukan kerana Allah pasti segala susah dipermudahkan dengan hikmahNya," terang Fatihah.

"Tapi kan Fatihah, awak tak risau ke? Kalau awak  selalu keluar berpakaian macam ni, nanti tiada seorang pun kaum Adam yang berani nak pandang apatah lagi mendekati awak. Tak kahwin dibuatnya!" Ada nada humor pada bicara Maisarah itu, namun ia sinis.

"Ish, awak ni. Bukankah lebih selamat begitu? Setidaknya lelaki yang mahu menikahi saya bukan kerana memandang kepada kecantikan semata-mata. Cukuplah bila dia mengingati Allah apabila memandang saya.

 Yakinlah seperti firman Allah dalam AlQuran, surah An-Nur ayat 26 yang menyatakan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik dan begitu juga sebaliknya.

"Tidak semestinya orang yang menutup aurat semuanya baik. Tetapi sekurang-kurangnya mereka berusaha menjadi baik. Tidak semua orang yang tutup aurat dengan sempurna. Tapi mana yang kurang sempurna kita beri tunjuk ajar dengan berhemah, bukan menghina. Beri peluang dan ruang untuk mereka berubah kerana Allah sentiasa beri kita peluang bernafas percuma. Allah sukakan kebaikan, jadi tak salah kita berubah menjadi lebih baik dan suka kepada kebaikan," bicara Fatihah.

"Sekarang saya faham sedikit sebanyak 'kebebasan' yang awak maksudkan tu. Saya pun terdetik nak berubah kerana Allah. Alhamdulillah, banyak yang saya belajar dengan awak hari ini," ujar Maisarah.
"Ya, kebebasan minda dan jiwa mengikut syariah tanpa perlu dibatasi stigma bercorak barat. Alhamdulillah, saya hanya perantara kerdil, Mai. DIA yang lebih utama. Kita semua hamba Allah dan selayaknya memiliki jiwa hamba. Persamaanlah yang menyatukan kita untuk merasai rahmat dan cinta daripada Allah. Sedikit perhatian daripadaNya lebih hebat daripada segala pujian dan perhatian yang ada di dunia."

Bicara Fatihah membuatkan Maisarah terdiam sejenak dan berfikir sedalamnya, sambil memerhatikan pakaian labuh dan kain yang menutup wajah Fatihah. Kebebasan. Itu bisikan ke dalam sudut hati kecilnya. Maisarah tersenyum. Mulai hari ini dia belajar bukan sekadar melihat dunia tetapi cuba menghayati cinta Allah kepada hambaNya.

Hati kecilnya mengakui ketabahan wanita-wanita yang memakai niqab. Pengorbanan yang besar di mana kemanisannya kerana Allah semata-mata. Di sebalik 'belenggu' hijab dan niqab, ada kebebasan hakiki dan yang paling penting, cinta Allah. Masya-Allah!


- Artikel iluvislam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...