Ahad, 25 Mac 2012

Cuepacs Mahu Nama Anggota Suruhanjaya Diumum Sebelum 31 Mac

 Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu kerajaan mengumumkan individu yang akanmenganggotai suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif dan holistikperkhidmatan awam negara ini selewat-lewatnya penghujung bulan ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kongres itu mendapat banyak pertanyaandaripada anggota gabungannya yang mahu mengetahui individu yang akan dilantikmenganggotai suruhanjaya itu.

"Kita mahu tahu siapa pengerusi suruhanjaya dan siapa lagi di pihak kerajaan yang berada dalam suruhanjaya itu kerana sehingga kini kita tidak mendapat sebarang maklumat.



"Sebab itu kita berharap kerajaan dapat mengumumkan nama-nama anggota suruhanjaya ini selewat-lewatnya sebelum 31 Mac ini," katanya kepada pemberita selepas seminar Pengurusan Kewangan Penjawat Awam serta Taklimat Penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia di sini, Ahad.

Seminar itu dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada perjumpaan khas penjawat awam di Putrajaya pada 8 Mac lepas.

Najib juga turut mengumumkan pembatalan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan pelaksanaan semula SSM yang ditambah baik, termasuk pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus.
Mengulas perkara itu, Omar berkata, Cuepacs juga telah bersetuju untuk meletakkan sembilan pegawainya menganggotai suruhanjaya berkenaan yang mampu memberikan cadangan dan pendapat bagi penambahbaikan penjawat awam itu.

"Cuepacs harap penubuhan suruhanjaya ini dapat dilakukan segera dan esok akan diadakan mesyuarat penambahbaikan SSM ini dan jawatankuasa mesyuarat itu akan membuat laporan kepada pihak kerajaan selepas itu," katanya.

Omar berkata, draf pekeliling mengenai SSM yang ditambah baik itu akan diteliti di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada 1.4 juta penjawat awam seluruh negara secepat mungkin.

"Kita tidak mahu timbul lagi masalah seperti yang berlaku dalam SBPA sehingga ada penjawat awam yang tidak tahu menahu langsung dan ini yang akan kita pastikan tidak akan berlaku," katanya.

Beliau berkata, Kelantan adalah negeri yang pertama diberikan taklimat oleh Cuepacs berhubung penambahbaikan SSM itu sebelum ke seluruh negara secara berperingkat.
 BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Berkenan .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...