Selasa, 10 April 2012

Kisah Benar - Air Mata Ke Dewan Bedah

 Pengorbanan dan kasih sayang seorang yang bergelar  isteri untuk suaminya.................

KASIH SEJATI...Junedah tempuh pelbagai dugaan sebelum mendermakan buah pinggang untuk suaminya, Mat Yatim.
                         KASIH SEJATI...Junedah tempuh pelbagai dugaan sebelum mendermakan buah pinggang untuk suaminya, Mat Yatim. 
 
HANYA kerana mahu mendermakan sebelah buah pinggang kepada suami yang bertarung nyawa kerana kedua-dua buah pinggangnya rosak, Junedah Othman, 55, terpaksa ‘berperang dengan emosi’ dengan doktor pakar sakit jiwa yang mahu menguji sejauh mana keikhlasan hatinya menderma buah pinggang.



“Hendak beri buah pinggang pada suami pun kena jumpa pakar sakit jiwa padahal saya masih waras dan ikhlas menderma demi menyelamatkan nyawa suami tercinta yang bertarung dengan maut.

“Pelbagai soalan doktor tanya, tetapi saya tetap dengan niat yang satu. Buah pinggang saya perlu diberikan kepada suami untuk membantu menyelamatkan nyawanya.

“Selagi hayat dikandung badan, saya akan lakukan apa saja yang terdaya demi melihat dia kembali sembuh dan aktif seperti biasa,” ujar nenek kepada empat cucu ini tatkala memulakan bicara berkisar pengalamannya yang sanggup berkorban mendermakan buah pinggang kepada suaminya.


Junedah dan suami, Mat Yatim Awang Ngah, 59, adalah penderma dan penerima  tunggal buah pinggang kalangan suami isteri di Pahang dan mengekalkan rekod itu sejak 11 tahun lalu.

Walaupun diulit rasa kesal, sedih dan kecewa kerana diuji sedemikian rupa, Junedah tetap bertemu kedua-dua doktor pakar itu dalam jangka waktu berbeza di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) dan membalas setiap persoalan daripada doktor dengan penuh keyakinan dan niat yang suci.

“Doktor bertanya mengapa saya sanggup memberi buah pinggang kepada suami, bagaimana jika suami berkahwin lain selepas dia sembuh, bagaimana jika saya sakit sedangkan suami sihat, bagaimana jika suami sudah tidak sayangkan saya dan beberapa soalan lain.

“Saya katakan kepada mereka, sesaat pun saya tidak akan mengubah keputusan dan saya reda dengan apa saja yang bakal berlaku selepas pembedahan itu nanti,” ujarnya sambil menyeka air mata yang bergenang di kelopak mata.

Keikhlasan dan niat suci serta berpegang kepada ketentuan Ilahi membuatkan Junedah pantas menangkis setiap pertanyaan yang diajukan doktor sehingga pihak hospital terpaksa akur dengan keputusannya.

Ceritanya lagi, ketika hendak memasuki wad pembedahan, doktor masih sempat memujuknya untuk menarik balik keputusan yang dibuat tetapi dia tetap dengan keputusannya sehingga semua kakitangan hospital yang mengiringinya ke meja pembedahan terharu dan menitiskan air mata.

Mengungkap kisah silam saat suaminya disahkan sebagai penghidap penyakit buah pinggang pada 1999, Junedah berkata segalanya bermula apabila suaminya mengalami demam berpanjangan walaupun mengambil ubat yang disyorkan.

Junedah yang juga suri rumah sepenuh masa hairan mengapa suaminya yang ketika itu bertugas sebagai pemandu ambulans di HTAA belum sembuh walaupun sudah makan ubat menyebabkannya mengambil keputusan merujuk ke hospital.

“Selepas melakukan beberapa ujian makmal, doktor akhirnya mengesahkan buah pinggang suami saya sudah rosak dan pemindahan buah pinggang perlu dilakukan segera.

“Kenyataan itu menjadi ‘musuh’ kepada saya dan anak-anak kerana tidak bersedia menerima keputusan yang mengatakan buah pinggang suami berada pada tahap kronik dan perlu menjalani pemindahan buah pinggang pada kadar segera,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Karang Darat, Kuantan, Pahang.

Dalam diam Junedah mengumpul kekuatan, memujuk hati supaya tabah dan bersabar diuji sedemikian rupa dan tidak berputus ada dalam mencari ‘penawar’ yang pastinya sukar ditemui kerana ia perlu didermakan daripada ahli keluarga terdekat berdasarkan syarat dan ketetapan pihak hospital.

“Sebaik diberitahu suami perlu menjalani pemindahan buah pinggang untuk menyelamatkan nyawanya, saya dengan rela hati menawarkan diri untuk berbuat demikian tetapi hasrat itu ditolak doktor dan meminta saya mencari penderma di kalangan keluarga terdekat.

“Bukan mudah untuk memberi buah pinggang kita pada orang lain walaupun ahli keluarga sendiri dan nasib yang sama jugalah yang berlaku pada saya ketika itu,” katanya.

Kesukaran mencari penderma di kalangan keluarga menjadikan ibu kepada lapan anak dan tiga daripadanya sudah meninggal dunia ini enggan mengalah dan membuat keputusan mendermakan buah pinggang kepada suami lalu menyatakan hasrat kepada doktor.

“Doktor enggan terima keputusan saya dan meminta suami menjalani rawatan hemodialisis terlebih dulu,” katanya.

Selama tiga tahun menjalani hemodialisis di HTAA, kesihatan Mat Yatim semakin merosot. Deritanya bagaikan tidak berpenghujung menyebabkan Junedah nekad bertemu doktor untuk meneruskan keputusannya menderma buah pinggang.

“Saya lakukan solat istikharah meminta Allah memberi petunjuk sama ada keputusan yang dibuat ini tepat atau sebaliknya dan syukur alhamdulillah, selepas itu, saya bertambah yakin dengan keputusan dibuat.

“Masalah lain pula timbul apabila suami tidak mahu buah pinggang saya dan puaslah saya memujuknya selama sebulan kerana tahap kesihatannya mula membimbangkan,” katanya.

Selepas persetujuan dicapai, Junedah menjalani pelbagai prosedur perubatan dan pemeriksaan darah untuk menentukan tahap kesihatannya benar-benar sihat dan bebas penyakit.

“Perkara pertama yang dilakukan adalah bertemu doktor pakar sakit jiwa dan selepas itu menjalani pemeriksaan darah. Bertemu doktor itulah yang membuatkan semangat saya untuk menderma semakin kuat.

“Saya dirujuk ke HKL dan prosedur sama dilalui seperti di HTAA. Selepas setahun setengah berulang alik, barulah keputusan dicapai dan menetapkan tarikh pembedahan pada 31 Julai 2001,” katanya.

Sebelum ditolak masuk bilik bedah, sekali lagi saya diuji apabila doktor masih bertanya jika saya hendak menarik diri daripada dibedah.

“Saya bersyukur sangat kerana sebaik sedar, saya diberitahu suami selamat dan sedang berehat serta tiada sebarang komplikasi berlaku pada dirinya.

“Saya tidak sabar untuk pulang ke rumah dan meneruskan kehidupan kami seperti sebelum suami mula sakit. Saya rindukan saat-saat mengusahakan kebun buah-buahan di belakang rumah dan banyak lagi perkara yang hendak dilakukan bersama selepas itu,” katanya.

Junedah juga bersyukur kerana selepas pembedahan itu, dia tidak pernah menghidap sebarang penyakit serius dan mampu bergerak aktif melakukan kerja rumah dan aktiviti berkebun yang diminatinya sejak sekian lama.

“Walaupun sekarang tinggal satu buah pinggang saja, ia tidak membataskan saya bekerja seperti biasa manakala suami pula semakin sihat dan dapat meneruskan hobi berkebun dan membersihkan halaman rumah setiap petang,” katanya.

Kesanggupan Junedah mendermakan sebelah buah pinggang kepada suami tercinta bukanlah satu keputusan mudah hendak diambil sekiranya bukan daripada keikhlasan hati.

“Ikhlas atau tidak bukan perkara utama dan ia menjadi rahsia individu itu sendiri. Bagi saya, ia bukan perkara utama perlu difikirkan sebaliknya nyawa insan yang sudah bersama kita sebaik lafaz nikah yang perlu diutamakan.

“Cinta, kasih, sayang, tanggungjawab, amanah, jujur dan saling percaya itulah yang akan mengikhlaskan hati kita untuk berkorban. Ia bukan sekadar ungkapan ‘saya ikhlas nak menderma’ semata-mata,” ujarnya penuh keinsafan.

Biarpun detik bersejarah berkongsi buah pinggang itu berlalu sejak 11 tahun lalu, masih ada memori yang tidak akan terpadam dalam kamus pasangan yang sudah hidup bersama 36 tahun lalu.

“Anak kelima kami, Zulkifli pernah menyatakan hasratnya mendermakan buah pinggang kepada suami ketika dia berusia 15 tahun tetapi saya tidak membenarkannya kerana dia masih muda.

“Bagaimanapun, hasrat itu terus terkubur bersama jasadnya apabila dia meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 22 Februari 2001, kira-kira seminggu sebelum keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan,” bisik Junedah dengan suara perlahan.

Sementara itu, Mat Yatim yang duduk di sisi isteri sepanjang temubual berlangsung berkata, pengorbanan dilakukan isterinya itu tidak akan dilupakan sepanjang hayat dikandung badan.

“Ternyata pengorbanannya begitu besar dan tidak ternilai dibandingkan dengan wang ringgit. Itulah hakikatnya, cinta sejati, kasih sayang yang tidak berbelah bagi, susah dan senang sentiasa bersama menjadikan saya begitu menghormatinya.

“Kini, kami melakukan apa saja bersama kerana kami berkongsi buah pinggang. Jadi, ikatan itu semakin kuat dan kukuh bagai irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan,” ujarnya mengakhiri perbualan petang itu.
metro

1 ulasan:

  1. Saya, doktor George Ben, dari hospital dallas county, oleh pentadbiran hospital diberi peluang untuk membuat iklan bagaimana saya mula bekerja di internet dan anda berada di luar, seperti tahun yang anda beli organ seperti buah pinggang telah bermula lagi. Jika anda ingin menjual buah pinggang anda, jangan ragu untuk menghubungi hospital dengan e-mel berikut: Pakar Pembedahan Organik Dallas County dan derma tidak ada risiko, kami membayar wang yang baik dan kami berada di Iowa USA.
    dan ini adalah e-mel kami:
    info.dallascountyhospital@gmail.com

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...