Ahad, 29 Julai 2012

Kisah Pengislaman Saidina Umar R.A.

Saidina Umar Al-Khattab R.A. merupakan Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua selepas Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A. Nama sebenar beliau adalah, Umar Bin Al-Khattab Bin Nufail Bin Abdul Uzza. Beliau berasal daripada bangsa Arab Quraisy dari keturunan Bani Adi dan dilahirkan pada tahun 583 M iaitu 13 tahun selepas kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.








 Saidina Umar R.A. merupakan seorang yang tegas dan berani serta lantang dalam berbicara dan menyatakan pendapat. Selain itu juga, beliau juga merupakan antara sahabat Nabi S.A.W yang dijamin syurga dan merupakan bapa mertua kepada Nabi S.A.W  kerana Nabi S.A.W telah mengahwini puteri beliau yang bernama Hafsah.

Saidina Umar Al-Khattab diberi gelaran oleh Rasulullah S.A.W sebagai “al-Farouq” yang bermakna yang membezakan di antara yang benar dan yang batil. Beliau memeluk Islam dengan menyatakan keislaman beliau di hadapan Nabi S.A.W pada tahun ke-6 kenabian dan berita keislaman beliau pada ketika itu telah tersebar di kalangan masyarakat Arab dan telah berjaya menguatkan lagi semangat dan perjalanan dakwah masyarakat Islam pada ketika itu dengan kisah pengislaman beliau. Terdapat hadis yang menceritakan mengenai Rasulullah SAW pernah berdoa ; “Ya Allah kuatkan Islam ini dengan salah seorang dari dua orang yang paling engkau cintai iaitu Umar Bin al-Khattab atau Abu Jahal Bin Hisyam” – Hadis Riwayat Imam Tirmidizi.

Kisah pengislaman Saidina Umar R.A. ini bermula apabila Islam telah mula disebarkan oleh Rasulullah S.A.W, antara yang memeluk Islam pada masa tersebut adalah Fatimah yang merupakan adik kepada Umar al-Khattab R.A serta suaminya Sa’id Bin Zaid dan pada masa itu agama Islam disebarkan secara tertutup dan rahsia. Apabila Umar al-Khattab R.A. mendengar perkhabaran mengenai pengislaman adik kandung beliau, beliau berasa amat marah dan bergegas ke rumah Fatimah untuk bertanyakan mengenai berita pengislaman yang dikahabarkan kepada beliau.

Namun, hati beliau akhirnya tunduk kepada keindahan Islam apabila mendengar bacaan ayat al-Quran daripada surah Thaha yang akhirnya membuatkan hati beliau kagum dengan keindahan Islam dan meminta dibawa berjumpa Rasulullah S.A.W dan telah mengisytiharkan pengislaman beliau di hadapan Rasulullah S.A.W.

Dengan pengislaman dan penghijrahan  Saidina Umar al-Khattab ia telah membawa satu dimensi baru bagi dunia Islam pada ketika itu yang mana dakwah tidak lagi dilakukan secara sulit lagi dan umat Islam dapat mendirikan solat secara terbuka di Masjid al-Haram tanpa perlu lagi merasa takut dan bimbang dengan ancaman kafir quraisy. Begitulah kisah seorang amirul mukminin yang telah dikurniakan Allah S.W.T cahaya petunjuk dan keimanan di dalam hati beliau yang akhirnya telah melembutkan hati beliau untuk memilih Islam sebagai pegangan hidup dan dimuliakan kerana Islam.

Muhamad Asyraf Bin Ahmad Termimi
Sarjana Muda Syariah (Universiti Malaya)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...