KATAK kecil berjari tiga, Brachycephalus tridactylus yang ditemui di hutan simpan di selatan Brazil.
BRASILIA - Sejenis katak unik berjari tiga yang hidup di sebuah hutan
simpan di selatan Brazil diiktiraf sebagai spesies baharu pada minggu
ini, lebih lima tahun selepas amfibia itu ditemui oleh seorang ahli
biologi, Michel Garey.
"Saya sedang melakukan kajian bersama dua orang rakan di puncak
sebuah bukit di hutan itu dan ternampak seekor katak ganjil berjari
tiga," kata Garey.
"Penemuan tersebut berlaku pada 14 Februari yang juga hari jadi saya, ia hadiah yang sungguh istimewa," tambahnya.
Namun, hanya pada Jun lalu barulah katak berwarna oren dengan panjang
kurang daripada 1.5 sentimeter itu disahkan sebagai spesies baharu.
Dikenali dengan nama saintifik,
brachycephalus tridactylus, penemuan Garey disiarkan dalam jurnal antarabangsa,
Herpetologica.
Ditemui pada ketinggian lebih 900 meter,
brachycephalus tridactylus unik kerana memiliki tiga jari berbanding katak biasa yang berjari empat.
Menurut Garey, perbezaan ketara itu disebabkan oleh proses evolusi dan bukannya kesan pencemaran alam sekitar.
Pakar-pakar sebelum ini menganggarkan terdapat sekitar 950 spesies
amfibia hidup di seluruh Brazil dan lebih 6,700 lagi spesies berada di
seluruh dunia.
- Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan