Mata merupakan organ tubuh yang penting dan bernilai bagi setiap insan.
Oleh itu, jagalah mata sebaiknya. Berikut adalah beberapa fakta
pemakanan khas untuk mata sebagai hadiah daripada ibu bapa untuk anak
tersayang.
Penjagaan mata sangat penting terutamanya pada peringkat awal
perkembangan deria penglihatan. Atas alasan inilah ibu bapa perlu
memainkan peranan dan bertanggung jawab untuk memastikan mata anak
dijaga sebaiknya. Penjagaan mata bermula dengan makanan untuknya.
Sajikan hanya yang terbaik untuk anak anda.
Vitamin-vitamin yang diperlukan oleh mata
Protein
Protein adalah bahan asas yang diperlukan untuk nutrisi, perkembangan
dan proses baik pulih tubuh. Protein juga berperanan besar terhadap
metabolisme serta pemprosesan bahan kimia dan enzim yang berlaku dalam
badan.
Kalsium
Makanan yang kaya kalsium juga baik untuk mata kerana kalsium berfungsi
untuk menghapuskan ketegangan ocular. Kekacang dan produk soya, hasil
tenusu, ikan, udang, sotong, walnut, cendawan dan biji teratai adalah
antara makanan yang kaya kalsium.
Vitamin A
Vitamin A bagus untuk menangani pelbagai jenis masalah mata termasuklah
masalah penglihatan kurang jelas ketika waktu gelap ataupun suram.
Makanan yang kaya dengan vitamin A ialah minyak ikan, lobak merah,
telur, keju, mentega, susu, sayur-sayuran hijau dan oren.
Vitamin B
Vitamin B kompleks diperlukan untuk memastikan mata terus sihat.
Kekurangan vitamin B2 boleh menyebabkan mata berwarna merah, rasa panas,
masalah katarak dan sensitif terhadap cahaya yang terang. Makanan yang
boleh diambil ialah seperti bijirin, gandum dan ekstrak yis.
Vitamin C
Vitamin C dipercayai mampu mengelakkan mata daripada katarak dan
glaukoma. Didapati mata yang sihat mengandungi vitamin C yang banyak.
Antara makanan yang kaya vitamin C ialah buah-buahan sitrus, tomato,
sayuran berdaun hijau dan kentang.
Vitamin E
Vitamin ini diperlukan untuk menghalang katarak. Ia membantu
menyihatkan salur darah dan retina. Sumbernya ialah minyak
sayur-sayuran, roti gandum, bijirin, dan sayur-sayuran hijau.
Zink
Zink diperlukan bagi membolehkan retina berfungsi dengan baik. Zink
juga diperlukan bagi mengeluarkan vitamin A dari hati untuk digunakan
oleh mata. Makanan yang kaya dengan zink ialah daging merah, kekacang,
sardin, hati, dan kerang-kerangan.
Tanda-tanda mata kekurangan nutrisi:
- Sukar menyesuaikan mata dengan perubahan cahaya terutamanya pada waktu malam.
- Mata rasa kering, gatal, panas dan berwarna merah.
- Bermasalah untuk memfokus.
- Sukar untuk memberikan tumpuan terhadap sesuatu objek.
Kesimpulannya, kanak-kanak yang mempunyai masalah seperti yang tercatat
di atas, perlulah segera dibawa berjumpa pakar untuk menjalani
pemeriksaan mata.
Makanan khas untuk mata:
- Ikan
- Hati
- Labu
- Lobak merah
- Bayam
- Brokoli
- Tomato
- Telur
- Kekacang
- Air yang banyak
- Bijirin
Info penting
- ‘Xerophthalmia’ ialah masalah penglihatan yang disebabkan oleh kekurangan vitamin A dan boleh dielakkan dengan memakan sayur-sayuran segar, lemak dan protein.
- Dua jenis antioksida yang dikenali sebagai ‘carotenoids’ yang dipanggil ‘Lutein’ dan ‘Zeaxanthin’ mampu menyihatkan mata. ‘Lutein’ ada dalam mangga, ‘bilberries’, dan sayuran berdaun hijau. ‘Zeaxanthin’ pula ada dalam brokoli, jagung, salad (kecuali ‘iceberg’), oren, dan telur.
- Memasak sayur-sayuran dengan sedikit minyak dalam tempoh yang singkat membantu tubuh menghasilkan Retinol. Retinol ialah vitamin yang penting untuk perkembangan penglihatan dan tulang.
- Untuk mata yang sihat, hadkan pengambilan gula, minuman berkarbonat, makanan bergoreng, roti putih, kek, dan coklat.
- majalahpama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan