“Kehidupan
dunia ini (jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain
hanyalah ibarat hiburan dan permainan, dan sesungguhnya negeri akhirat
itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, sekiranya mereka mengetahui.”
(Surah al-Ankabut , ayat 64)
Melihat
kepada fenomena hari ini, terdapat pelbagai ragam manusia. Ada
kehidupan mereka yang tidak berubah-ubah sedari kecil, remaja, dewasa,
tua dan sehinggalah ajal datang menjemput. Tetapi ada juga yang berubah
mengikut peredaran usia dan waktu serta keinginan hati mereka dalam
mencari kebenaran dan arah tuju hidup.
KEINGINAN UNTUK BERUBAH
Sememangnya
sudah fitrah manusia untuk kembali kepada kebenaran meskipun mereka
adalah dari golongan seburuk-buruk dan sejahat-jahat manusia. Mungkin
sukar untuk percaya, seorang yang digelar ‘setan’ itu jauh di sudut
hatinya ingin menjadi seorang yang baik.
Keinginan untuk menjadi
baik dan akhirnya menemui laluan ke arah kebaikan itulah sebenarnya yang
dinamakan hidayah. Dengan kehendak Allah, hati yang telah ditutupi dan
diselaputi dengan dosa dan noda, akan ada sedikit lubang kecil yang
hanya dimuati laluan cahaya hidayah Allah untuk ditembusi terus ke dalam
hati-hati manusia yang terpilih.
Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat 35 yang bermaksud,
“Allah
(memberi) nur (cahaya) langit dan bumi. Umpama cahaya-Nya seperti
sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada pelita. Pelita itu di
dalam gelas. Gelas itu seperti bintang yang berkilauan. Pelita itu
dinyalakan dengan minyak pohon yang diberkati iaitu minyak zaitun yang
(tumbuh) bukan di timur dan bukan di barat, minyak itu hampir bercahaya
dengan sendirinya meskipun tiada disentuh api. Cahaya berdampingan
dengan cahaya. Allah menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada
cahaya-Nya itu. Allah menunjukkan beberapa contoh untuk manusia. Allah
mengetahui setiap sesuatu.”
BERSYUKUR
Tatkala
kita merasakan kumpulan dosa terlalu banyak, janganlah kita berputus
asa dari rahmat-Nya dan merasakan diri tiada tempat di sisi Allah untuk
kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya bersyukurlah, dengan terdetiknya
sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu bentuk hidayah Allah yang
lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang berfikir akan nikmat
yang Allah berikan. Kerana dosa yang kita sedari itulah yang mendekatkan
diri dengan Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan dalam diri
dan mengakui kelemahan sebagai seorang manusia yang perlu bergantung
kepada Sang Pencipta.
Berbanding
dengan mereka yang berasa diri tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa
betul dalam kelakuan dan tindakan, ia cukup bahaya kerana tidak sedar
diri mereka sudah berada jauh dari Allah. Mereka ini adalah golongan
yang sombong dan tidak mengharapkan pertolongan Allah tetapi lebih
kepada mengikut kata hati dan berbuat apa sahaja yang mendatang kebaikan
dan keseronokan pada diri.
Apa yang terjadi hari ini, kita
seringkali menolak seruan-seruan untuk kembali kepada Islam. Pelbagai
alasan yang diberikan kerana merasakan diri masih muda dan belum tiba
masanya untuk berubah. Alasan yang paling suka diberikan ialah ‘belum
sampai seru!’ alasan tersebut langsung tidak munasabah. Mana mungkin
kita mengharapkan sesuatu yang bernilai itu diberi secara percuma tanpa
perlu berusaha untuk mendapatkannya!
Seringkali apabila kita
diberikan ujian dan didatangkan suatu insiden barulah ia berjaya membuka
hati kita untuk berubah. Insiden tersebutlah yang akhirnya mengetuk
pintu hati kita untuk bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Kita
dikira bernasib baik jika nyawa masih dikandung badan tetapi apa akan
terjadi jika kita sudah tidak diberi peluang untuk bernafas dan menebus
segala dosa-dosa lalu?
HIDAYAH NALURI
Hidayah
datang dalam pelbagai bentuk. Bentuk yang pertama ialah hidayah naluri
(keinginan). Hidayah ini adalah sesuatu yang semula jadi ada pada diri
kita sejak dilahirkan ke dunia sebagai contoh, bayi yang baru dilahirkan
akan menangis apabila lapar. Nalurinya inginkan makanan bagi
menghilangkan rasa lapar. Yang kedua ialah hidayah melalui pancaindera.
Semasa kecil, kita dapat mengenali dan membezakan sesuatu perkara dengan
menggunakan pancaindera seperti mendengar suara ibu dan ayah atau dapat
mengenali sesuatu objek. Kemudiannya hidayah dalam bentuk akal fikiran
yang mana ia dikurniakan oleh Allah supaya dapat memandu kita berfikir
secara rasional sebelum bertindak.
HIDAYAH AGAMA
Seterusnya
ialah hidayah agama. Hidayah inilah yang menyelamatkan diri kita
daripada kesesatan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan
beriman kepada Allah SWT. Ia dapat mendorong kita melakukan kebaikan dan
meninggalkan larangan Allah sekali gus dapat membezakan antara
perkara-perkara baik dengan perkara haram.
HIDAYAH TAUFIK
Yang
terakhir ialah hidayah taufik yang mana merupakan tahap hidayah yang
tertinggi kurniaan Allah kepada hambanya yang dikasihi. Tinggal
sekarang, hidayah itu harus dijaga kerana nilainya tiada tara dan tidak
dapat ditukar dengan apa pun. Ia menjaga kehidupan kita di dunia mahupun
di akhirat kelak.
Hidayah pula diturunkan dalam dua cara iaitu
hidayah pemberian makhluk sama ada dari kalangan para nabi, pendakwah
ataupun sesiapa sahaja. Contohnya hidayah yang diturunkan melalui Nabi
Muhammad agar membimbing umatnya beriman kepada Allah. Namun, hidayah
taufik ini tidak mampu diberikan oleh makhluk tetapi hanya Allah yang
berkuasa. Ia tiada pada Nabi Muhammad walaupun baginda adalah seorang
Rasul sebagaimana firman Allah dalam surah al-Qashash ayat 56 yang
bermaksud,
“Sesungguhnya
engkau (ya Muhammad) tidak dapat memberi hidayah/petunjuk kepada orang
yang engkau cintai, akan tetapi Allah lah yang memberi hidayah kepada
siapa yang Dia kehendaki.”
Adapun ciri-ciri orang yang sudah
mendapat hidayah, mereka hebat beribadat seperti melakukan solat fardu
dan sunat, mengeluarkan zakat dan rukun Islam yang lain, sentiasa
memperuntukkan waktu untuk bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT
selain mengerjakan keperluannya di dunia. Mereka ini tidak mampu
melupakan Allah walau sesaat kerana begitu takut akan pembalasan di hari
akhirat nanti. Mereka juga terlalu berhati-hati dalam setiap perlakuan
agar tidak ditarik balik hidayah pemberian Allah.
Biarpun hidayah
itu adalah pemberian Allah tetapi tidak bermakna kita hanya berpeluk
tubuh dan menunggu ia datang kepada kita. Hidayah perlu dicari dan boleh
diusahakan jika kita benar-benar inginkannya dengan memohon kepada
Allah. InsyaAllah, kita pasti akan diberikan hidayah.
- Artikel iluvislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan