Apa Itu Jatuh Organ Peranakan?
| Jatuh organ peranakan (JOP) adalah satu perkara yang biasa berlaku di
kalangan kaum wanita. Dianggarkan, hampir separuh daripada mereka yang
pernah melahirkan anak akan mengalaminya di kemudian hari. Namun
begitu ramai yang enggan berjumpa doktor atas alasan malu, ditambah
dengan keadaan JOP itu sendiri yang tidak mengganggu kehidupan
hariannya.
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Kampung Baru Medical Centre (KBMC), Kuala Lumpur, Dr. Rosilawati Abd. Ghani
berkata, JOP berlaku dalam keadaan di mana ligamen dan otot-otot di
pelvis (pinggul) menjadi lemah atau rosak dan tidak boleh lagi menampung
organ pada bahagian itu.
‘‘Apabila ini berlaku, rahim akan jatuh keluar faraj, pundi kencing akan menonjol ke dinding faraj dan usus besar menonjol arah belakang faraj.
“Walaupun
tidak sampai mengancam nyawa tetapi ia mendatangkan ketidakselesaan
dan penderitaan emosi. Kadang- kadang seseorang itu boleh mendapat
lebih dari sejenis JOP,’’ katanya.
Jenis-jenis JOP
a) Bahagian atas/bumbung faraj
Sekiranya bahagian atas yang terlibat, maka rahim akan jatuh ke bahagian faraj (uterine prolapsed).
*
Gred 1: Rahim terturun sedikit. Kebanyakan wanita mungkin tidak
menyedarinya. Selalunya keadaan ini hanya diketahui apabila pemeriksaan
dijalankan oleh doktor atas tujuan lain seperti pap smear
* Gred 2: Rahim jatuh lebih jauh ke bawah dan pangkal rahim boleh dilihat di muka pintu faraj
* Gred 3: Hampir keseluruhan rahim jatuh terkeluar dari faraj.
b) Bahagian hadapan
Pundi
air kencing jatuh ke dalam faraj (sistosele). Ia akan menolak dinding
faraj ke hadapan yang menonjol seperti satu benjolan.
Kebiasaannya pundi dan salur kencing akan jatuh sekali (Cystourethrocele) dan paling biasa terjadi di kalangan wanita.
c) Bahagian belakang faraj
“Sebahagian
dari usus kecil yang mengisi ruang antara rahim dan faraj boleh jatuh
di kawasan antara faraj dan bahagian akhir usus besar (rektum). Keadaan
ini dipanggil enterosele. Jika rektum pula yang jatuh, ia akan
membentuk satu benjolan di belakang faraj berhampiran dengan dubur. Ini
dipanggil rektosele,’’ terang Dr. Rosilawati.
Kemungkinan
besar, kedua-dua keadaan ini boleh berlaku serentak dan harus
diperiksa secara menyeluruh. Ini amat penting kerana jika tidak
didiagnosis, boleh meningkatkan kesengsaraan pesakit lebih-lebih lagi
selepas pembedahan.
Menurutnya, ada lagi satu keadaan dipanggil vault prolapse yang berlaku selepas pembedahan histerektomi atas apa jua masalah.
“Ini
mungkin mengambil masa untuk berlaku setelah sokongan oleh otot-otot
keliling dan bekas jahitan pada faraj menjadi lemah lalu jatuh ke
bawah.
“Ia terjadi pada 15
peratus wanita yang menjalani pembedahan histerektomi disebabkan oleh
JOP dan hanya satu peratus atas alasan lain seperti fibroid,’’ ujar
beliau.
Punca-punca JOP
- Wanita yang sudah menopaus
- Wanita yang sudah melahirkan anak, terutama mereka yang melahirkan anak yang besar atau pun melahirkan bayi secara instrumental (forceps/ vacuum).
- Wanita anak ramai.
- Wanita ada masalah perubatan seperti sindrom Marfan atau Ehlers Danlos kerana mereka yang menghidap penyakit itu mempunyai otot kurang anjal menyebabkan kurangnya sokongan pada kedudukan rahim.
- Wanita berat badan berlebihan.
- Wanita berdepan masalah batuk atau sembelit kronik atau ada ketumbuhan besar dalam abdomen.
- Wanita sering melakukan kerja berat (mengangkat benda berat).
Simptom dan diagnosis
Wanita
yang mengalami masalah JOP yang sedikit, kata Dr. Rosilawati, ada
kalanya tidak berasa sebarang simptom atau ketidakselesaan.
“Sekiranya pundi kencing yang
jatuh, ia mungkin mengakibatkan wanita sukar mengawal kencing, kerap
kencing atau kencing tidak puas
“Apabila usus kecil atau besar
yang jatuh, ia mungkin mengakibatkan sembelit, rasa tidak puas buang
air besar sehingga kadangkala terpaksa memasukkan jari untuk
mengeluarkan najis.’’
Jatuh
organ rahim pula menyebabkan wanita berasa ada benda berat di celah
alat sulitnya. Dalam keadaan yang teruk di mana rahim jatuh
keseluruhannya, boleh menyebabkan luka, berdarah dan jangkitan kuman.
Pencegahan
- Elakkan berdiri terlalu lama. Ambil masa untuk duduk seketika dan melunjurkan kaki ke atas bangku. Ini selalu berlaku pada jururawat, guru, doktor dan juga mereka yang selalu ke kawasan kerja seperti jurutera
- Melakukan senaman pelvik adalah amat penting walaupun di zaman bujang lagi. Ia menguatkan otot-otot dalaman, membantu mempercepatkan proses pemulihan pascasurgeri, mendapatkan semula rasa mengawal kencing dan mengurangkan sakit belakang
- Amalkan pemakanan yang betul bagi mengelakkan sembelit kronik. Banyakkan makan sayur-sayuran, buah- buahan dan bijirin/bran. Elakkan dari meneran di bilik air lebih 15 minit. Puas atau tidak, sila keluar dari bilik air
- Memakai girdle/sut pelangsingan badan yang sesuai boleh membantu tetapi bukan korset yang amat ketat
- Jangan merokok dan jauhkan diri daripada perokok bagi menghindari batuk yang kronik
- Elakkan mengandung yang kerap dan rapat. Cubalah kaedah-kaedah perancang keluarga yang mempunyai peratus kejayaan tinggi.
Rawatan
Dr.
Rosilawati berkata, sekiranya JOP masih di peringkat awal, pesakit
akan dirujuk kepada pakar fisioterapi untuk mengajar teknik senaman
pelvik.
‘‘Selain itu, pesari
faraj iaitu alat berupa gelang/donut yang terdapat dalam beberapa saiz
boleh digunakan untuk mengekang rahim dari jatuh.
“Ia
boleh digunakan oleh wanita dari segala peringkat usia reproduktif
atau yang menopaus, yang tidak boleh atau tidak memilih cara
pembedahan,’’ jelasnya.
Mengulas
lanjut, ini mungkin disebabkan wanita itu muda dan masih mahu
mengandung dan melahirkan anak atau wanita berusia yang tidak sihat
untuk menjalani pembedahan.
Cuma,
ia perlu diganti setiap tiga atau empat bulan dan pesakit hendaklah
berjumpa pakar sakit puan untuk memasang dan menukarnya.
Secara
amnya, setiap rawatan individu adalah bergantung kepada pelbagai sebab
seperti usia, simptom, jenis JOP, perancangan reproduktif dan seksual,
tahap kesihatan serta kesannya terhadap kehidupan wanita itu.
Rawatan pembedahan
Merupakan
pilihan terakhir setelah segalanya dilakukan. Anterior
repair-colporrhaphy adalah pembedahan yang dilakukan dari bahagian
hadapan faraj tanpa melibatkan insisi/belah di bahagian abdomen/perut.
Dr.
Rosilawati memberitahu: “Ia digunakan untuk membetulkan pundi kencing
yang sudah jatuh. Selalunya bius sepenuhnya atau bius separuh
digunakan.
“Komplikasi yang
mungkin berlaku (tetapi jarang) adalah sakit ketika melakukan hubungan
kelamin, pundi kencing yang terlalu sensitif ataupun sukar membuang air
kecil.’
Begitu juga dengan
posterior repair yang melibatkan pembedahan dari belakang faraj dengan
komplikasi yang lebih kurang sama dengan anterior repair. Selain itu,
terdapat teknik baru menggunakan pita khas tetapi agak mahal.
“Rawatan pembedahan untuk rahim yang jatuh adalah dengan cara mengeluarkan rahim dari faraj dipanggil histerektomi faraj.
“Selalu
juga, ketiga-tiga prosedur tersebut dilakukan serentak kerana JOP
melibatkan bahagian hadapan, belakang dan rahim sekali gus,’’ katanya
sambil menambah, salah satu komplikasi yang boleh berlaku adalah vault
prolapse yang mana pembedahan untuk mengatasi masalah ini lebih
merumitkan.
Pascapembedahan
Kebiasaannya,
mereka yang pernah mengalami pembedahan melalui faraj akan melalui
prosedur pembedahan yang singkat, kurang memerlukan ubat tahan sakit,
mengalami pemulihan cepat dan memulakan hidup seperti biasa.
Walaupun
begitu, histerektomi mengambil masa tiga bulan untuk pulih sepenuhnya.
“Hubungan seks boleh dimulakan kembali enam minggu lepas pembedahan.
Usah risau, ia tidak akan mengganggu kehidupan seks normal.
“Yang
penting, janganlah malu untuk berjumpa doktor dan menceritakan tentang
segala masalah alat sulit yang dihidapi,’’ pesan Dr. Rosilawati.
Lakukan pemeriksaan tahunan dan pap smear sebagaimana jadual yang
disyorkan oleh Kementerian Kesihatan.
Melayukini.net -
Rawatan dalam bentuk pembedahan atau bukan banyak bergantung kepada
wanita itu sendiri, keseriusan masalahnya serta aspirasi masa depan
reproduktif dan seksualnya.
scaniaz.blogspot.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan