Sejak beberapa tahun ini industri perfileman dilihat banyak menghasilkan
filem-filem yang diadaptasi samada daripada novel, buku sehinggalah
sejarah ke layar perak.
Walaubagaimanapun, terdapat juga penerbit-penerbit filem yang berminat
untuk membikin filem-filem berkisarkan kehidupan penjenayah terkenal dan
filem-filem seperti ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.
Oleh itu, kali ini TUPAI ingin menyenaraikan beberapa filem yang
diangkat daripada kisah sebenar penjenayah terkenal sepanjang zaman.
The Wolf of The Wall Street
|
Sumber foto: thewolfofwallstreet.com |
Filem pecah panggung yang dibintangi Leonardo DiCaprio ini memaparkan
tentang kehidupan seorang broker saham bernama Jordan Belfort yang hidup
dalam kemewahan, suka berparti dan melakukan pelbagai jenayah kolar
putih seperti penipuan saham, penggubahan wang haram, merasuah dan
banyak lagi. Bagaimana seperti pepatah 'sepandai-pandai tupai melompat,
akhirnya jatuh ke tanah juga' dan itulah yang berlaku kepada Jordan
apabila dia ditangkap dan dipenjara selama 22 bulan.
American Gangster
|
Sumber foto: thegate.ca |
Filem yang dibintangi pelakon hebat Denzel Washington sebagai ketua
sindiket dadah heroin terbesar di Amerika Syarikat. Dalam filem ini
memaparkan bagaimana Frank Lucas yang pada mula hanya orang kanan
seorang gangster membina empayarnya sendiri dengan menyeludup dadah
daripada Vietnam ke Amerika Syarikat dalam keranda mayat askar-askar AS
yang maut di medan perang Vietnam ketika itu dengan merasuah
pegawai-pegawai askar AS. Frank bagaimanapun telah ditangkap dan telah
dijatuhi hukuman penjara selama 71 tahun, namun hanya menjalani hukuman
selama 15 tahun selepas dia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa
mendedahkan identiti pegawai-pegawai penguatkuasa dan kerajaan yang
menerima rasuah.
Catch Me If You Can
|
Sumber foto: folk.ntnu.no/ |
Sebuah lagi filem penjenayah yang dibintangi oleh Leonardo DiCaprio.
Namun dalam filem dia membawa watak sebagai Frank Abagnale iaitu seorang
penipu yang hidup mewah dengan memalsukan cek dengan menyamar sebagai
seorang juruterbang, doktor dan penguam. Namun, dia telah berjaya
diberkas oleh seorang anggota FBI. Bagaimanapun, dalam kehidupan sebenar
Abagnale akhirnya dilantik untuk menjadi penasihat FBI bagi menghalang
kegiatan jenayah seperti yang dilakukannya.
Blow
|
Sumber foto: deppimpact.com/ |
Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama George Jung yang
dilakonkan oleh Johnny Depp yang merupakan seorang pengedar dadah pada
tahun 1970an. George yang pada mula mengedar dadah jenis marijuana telah
beralih kepada penyeludupan dadah jenis kokain dari negara Latin. Dalam
filem ini turut memaparkan kehidupan George dengan ketua-ketua mafia
terkenal seperti Pablo Escobar, Lehder Rivas dan Medellin Cartel.
Pain & Gain
|
Sumber foto: telegraph.co.uk |
Jika empat filem sebelum ini mengisahkan tentang penyelewengan duit,
dadah, rasuah, penipuan dan gangster, namun untuk filem kelima dalam
senarai 'top 5' TUPAI ini sama sekali tidak sama seperti yang
disenaraikan. Namun kesemua filem-filem ini mempunyai satu motif yang
sama iaitu untuk menjadi kaya dan mempunyai banyak wang. Dalam filem
"Pain & Gain" mengisahkan tentang tiga sahabat yang merupakan ahli
bina badan di Florida lakonan Mark Wahlberg, Dwayne Johnson dan Anthony
Mackie yang ingin menjadi kaya dengan melakukan penculikan, peras ugut,
mendera dan membunuh beberapa mangsa. Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka
berjaya ditangkap dan dua daripada mereka telah dijatuhi hukuman mati
manakala seorang lagi dipenjara selama 15 tahun, namun hanya menjalani
hukuman penjara selama 7 tahun selepas dia membuat pengakuan.
tupai
Tiada ulasan:
Catat Ulasan