Khamis, 7 Januari 2016

TIPS MUDAH CARA-CARA UNTUK MEMPERTINGKATKAN KUALITI SOLAT

Setiap individu muslim diperintahkan untuk mendirikan solat sekurang-kurangnya lima waktu dalam kehidupan seharian. Solat adalah satu komunikasi serta hubungan spiritual yang istimewa di antara seorang hamba dengan Penciptanya. Di sini ingin di kongsikan beberapa tips-tips mudah dan bersifat umum dalam cara bagaimana untuk mempertingkatkan kualiti solat kita.

9 Tips Mudah Cara Meningkatkan Kualiti Solat
Semoga perkongsian ringkas ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam mempertingkatkan amalan solat kita.


 1. FAHAMI TUJUAN SOLAT

i) Untuk mendirikan solat kita perlu tahu serta faham apa dan kenapa tujuan solat itu didirikan agar dapat dikenal apa itu solat. Secara umum solat itu adalah untuk mengingati Allah dengan cara memuji dan berdoa kepada-Nya.

ii) Ketahui juga tuntutan dalam mendirikan solat. Solat bukan sekadar mengerjakan pergerakan serta melafazkan bacaan tetapi juga hati yang sedar apa yang sedang dikerjakan.

iii) Dalam penyediaan mendirikan solat, ambil waktu sejenak untuk mengingatkan diri apa tujuan kita bersolat pada waktu itu. Adakah kita bersolat kerana ingin memuji-muji-Nya, kerana rahmat-Nya, kerana kita berhajat kepada-Nya atau adakah kita bersolat kerana ingin dipandang orang. Peringatan ini untuk memastikan kita mendirikan solat ikhlas kerana-Nya.

iv) Ini juga untuk mengingatkan kita bahawasanya kita akan berdiri dan menghadapkan wajah kita kepada Pencipta kita.

2. SOLAT DI AWAL WAKTU

i) Pengurusan masa juga antara faktor bagi meningkatkan kualiti solat itu sendiri.

ii) Seperti yang kita ketahui bahawa antara amalan yang Allah paling cintai adalah mendirikan solat di awal waktu.

iii) Antara kebaikan solat di awal waktu adalah hati kita lebih tenteram dalam mengerjakan aktiviti seharian. Kita tidak akan terasa resah dan gundah kerana kita tahu kita belum lagi menunaikan tanggungjawab kita.

iv) Keburukan solat di akhir waktu pula membawa kita tergesa-gesa untuk menunaikannya. Apabila keadaan tergesa-gesa maka ia membawa solat kita dalam keadaan sambil lewa dan ala kadar.

3. TENANGKAN DIRI

i) Solat yang baik adalah dalam keadaan yang tenang.

ii) Tenangkan diri sebelum melakukan takbir. Tarik nafas dan kawal pernafasan agar kita lebih relaks.

iii) Apabila kita tidak tenang atau relaks, otot-otot kita lebih tegang(tense) dan ini secara tidak langsung membuatkan kita sedikit gelisah tanpa kita sedari. Bila perasaan gelisah tidak disedari ini berlaku, ianya akan membuatkan kita terburu-buru dalam melafazkan bacaan kita serta ingin cepat menyelesaikan solat.

iv) Apabila kita dalam keadaan tenang dengan kawalan nafas yang baik kita akan lebih cenderung untuk membaca bacaan kita dengan relaks dan perlahan tidak seperti keretapi ekspress. Secara tidak langsung juga ia dapat membantu kita menghayati apa yang kita baca dalam solat kita.

4. FAHAMI MAKSUD BACAAN

i) Ini adalah perkara paling asas dan penting dalam melaksanakan solat yang berkualiti.

ii) Antara faktor utama membuatkan kita mudah hanyut dan memikirkan urusan duniawi adalah apabila kita tidak mengetahui apa yang kita baca dalam solat kita.

iii) Fahami apa maksud takbir hinggalah ke salam. Jika kita belum mengetahui maksud bacaan, berusahalah untuk mengetahui bacaan kita. Lakukan sedikit demi sedikit sehingga kita tahu semua maksud bacaan.

iv) Mengetahui dan memahami bacaan solat sahaja sudah cukup memberi kesan yang besar kepada kualiti solat kita. Jadi berusahalah dan rasakan perbezaannya.

5. TUMPU DAN HAYATI MAKSUD BACAAN

i) Kadangkala walaupun kita sudah mengetahui dan memahami maksud bacaan, kita masih juga tergelincir dari mengingati-Nya.

ii) Faktor pertama berbalik kepada tujuan solat kita dirikan. Jika kita lupa tujuan solat kita sedang dirikan secara tidak langsung kita lupa untuk menumpukan, menghayati dan memaksudkan apa yang kita baca.

iii) Pentingnya tumpuan dan penghayatan dalam bacaan adalah untuk mewujudkan rasa atau feel ketika melakukan komunikasi dan hubungan spiritual dengan Pencipta kita. Apabila kita menghayati bacaan kita, secara tidak langsung kita akan memaksudkan setiap bacaan kita menerusi hati kita.

iv) Apabila telah wujudnya rasa dalam berhubung dengan Allah, maka solat yang kita dirikan akan memberi makna dan impak yang positif kepada kehidupan kita.

6. KELUAR DARI RUTIN

i) Kadangkala apabila kita sudah terbiasa dengan sesuatu rutin secara tidak langsung perbuatan kita akan menjadi automatik. Kita tidak lagi menggunakan otak untuk berfikir kerana sudah menjadi kebiasaan.

ii) Pasti ada antara kita pernah melalui situasi dimana kita mulakan solat dengan takbir, selepas itu sedar-sedar sahaja kita dah memberikan salam. Kita tidak sedar dan ingat pun apa yang kita lakukan di antara takbir dan salam.

iii) Salah satu cara untuk mengatasi masalah ini adalah dengan keluar dari rutin bacaan.

iv) Dalam solat, bacaan yang wajib dan tidak boleh ditinggalkan adalah al-Fatihah dan bacaan tasyahud / tahiyat.

v) Ambil inisiatif untuk menghafal dan mempelbagaikan bacaan surah al-quran ketika berdiri. Di dalam ruku’, duduk di antara dua sujud dan sujud juga terdapat pelbagai lagi bacaan selain daripada bacaan yang lazim kita baca. Ini dapat menghindarkan mode-autopilot dalam kita bersolat.

7. PENGHAYATAN BAHASA TUBUH

i) Menzahirkan penghayatan menerusi bahasa tubuh juga dapat membantu kita dalam membina solat yang berkualiti.

ii) Maksudnya di sini kita cuba mewujudkan rasa atau feel menerusi pergerakan dan seterusnya menghidupkan emosi didalam solat kita.

iii) Menurut sunnah ketika berdiri kita disarankan untuk memandangkan ke tempat sujud kita. Mengapa? Antara penjelasan paling mudah adalah untuk memudahkan kita untuk memberi tumpuan serta fokus ketika solat.

iv) Antara hikmah lain juga adalah untuk mewujudkan rasa kerendahan diri (humility) di hadapan Allah taala. Cuba kita ingatkan kembali bagaimana keadaan kita ketika rasa malu, takut, terhina. Di mana pandangan kita ketika itu kalau tidak ke bawah bukan? Oleh itu gunakan keadaan itu mewujudkan rasa rendah diri ketika berhadapan dengan Allah.

v) Sama juga untuk pergerakan-pergerakan yang lain. Zahirkan rasa itu pada pergerakan tubuh kita. Sujud contohnya, keadaan mana kita meletakkan wajah kita yang tinggi ke bawah di atas tanah. Dalam keadaan paling rendah dan hina kita memuliakan dan meninggikan yang Maha Tinggi. Sujud juga keadaan dimana kita paling hampir dengan Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah.

vi) Rasakan feel serta emosi ketika melakukan pergerakan solat serta bacaan yang kita bacakan. Anda akan rasa perhubungan spiritual itu dengan rohani dan jasmani.

8. MENGAWASI KEBERADAAN DIRI

i) Dalam solat kita perlu mengawasi perhubungan (connection) yang kita lakukan dalam solat.

ii) Perhatikan adakah kita sedang berhubung atau kita sudah ter’disconnect’ dengan Allah. Adakah kita sedang menghayati dan memaksudkan dari hati apa kita bacakan atau kita sedang memikirkan urusan-urusan dunia kita.

iii) Jangan lupa bukan sahaja mulut dan anggota tubuh bersolat tetapi juga pastikan hati kita juga bersolat.

iv) Rasulullah mengajar kita maksud ihsan ialah bahawa “kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya,tetapi jika kamu tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat kamu.”

v) Dalam konteks untuk mempertingkatkan kualiti solat kita perlu ada sifat ini. Jika kita mampu, lakukanlah solat dengan melihat Allah menerusi mata hati. Jika kita belum mampu, rasakan wujudnya Allah dengan rasa diperhatikan ketika mendirikan solat.

vi) Ingat bahawa Allah menghadapkan wajah-Nya ketika kita sedang solat selagi mana hati kita menghadap kepada-Nya.

vii) Dalam hadis qudsi Allah berfirman bahawa Dia menjawab setiap ayat bacaan al-fatihah kita semasa kita solat. Jika Allah menjawab setiap baris ayat yang kita lafaz, adakah wajar kita memikirkan dan memalingkan hati kita kepada hal-hal yang lain?

9. TAHU DAN HARGAI NILAI SOLAT

i) Sebahagian dari kita mungkin merasakan bahawa solat ini tidak lebih dari perintah dan suruhan Allah. Lalu kita merasakan amat berat untuk melakukannya kerana tidak merasakan istimewanya solat itu.

ii) Tetapi tahukah anda bahawa solat ini adalah anugerah yang paling istimewa daripada Allah kepada kita.

iii) Semua amalan yang perintahkan Allah, telah diwahyukan menerusi malaikat Jibril kepada Rasulullah. Namun tidak kepada seruan solat lima waktu.

iv) Allah menjemput Rasulullah naik ke Sidrat al-Muntaha melalui peristiwa israk mikraj untuk menerima seruan solat. Wahyu Allah pada seruan solat tidak ada perantara melalui malaikat Jibril. Wahyu-Nya adalah secara langsung kepada Rasulullah. Betapa besar dan istimewanya seruan solat ini.

v) Seruan pertama solat lima waktu seperti kita ketahui adalah 50 waktu. Tetapi kerana kasihnya Rasul kita terhadap kita, baginda telah naik turun sembilan kali untuk memohon agar dikurangkan hingga ke lima waktu. Sehinggakan baginda terasa malu kepada Allah.

vi) Cukup dengan dua nilai ini. Pertama keistimewaan solat hinggakan wahyu-Nya secara langsung kepada Rasulullah. Kedua, permohonan Rasulullah yang memohon agar solat dari 50 kepada 5 waktu. Tidakkah cukup untuk kita menilai dan menghargai solat ini.

vii) Tidak cukup dengan itu. Ganjaran solat lima waktu Allah tidak kurang sedikit pun. Solat lima waktu tetap sama ganjarannya seperti solat 50 waktu.

viii) Oleh itu lihatlah solat ini sebagai sebuah anugerah yang besar dari yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah kepada kita yang selalu lalai ini. Cuba kita ubah perspektif agar kita tidak lagi melihat solat sebagai sesuatu yang membebankan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...