Khamis, 21 Januari 2016

Menarik - Konsep 3P tingkatkan pendapatan online

Oleh Irfan Khairi
Dalam keadaan ekonomi hari ini, ramai yang mengeluh soal kos sara hidup yang semakin tinggi dan mencari peluang lain dalam menjana pendapatan tambahan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Industri Datuk Ahmad Maslan melancarkan kempen #TambahPendapatan baru-baru ini bagi mengalakkan orang ramai untuk melihat Internet sebagai peluang dalam menjana pendapatan tambahan melalui perniagaan secara separuh masa.

Peluang memulakan perniagaan Internet secara sambilan sememangnya antara pilihan yang boleh dimulakan oleh sesiapa saja. Justeru kini, rata-rata menggunakan telefon pintar yang dalam capaian tangan boleh mengakses kedai dalam talian (online) tempatan dan seluruh dunia dengan hanya tekanan beberapa butang.

Keadaan ini satu peluang terbuka luas khususnya bagi mereka yang ingin menjana pendapatan tambahan melalui perniagaan dalam talian. Pasaran yang begitu besar dan luas dalam kalangan pengguna telefon pintar dan Internet itu sendiri menjadi pasaran sedia ada bagi peniaga Internet secara sambilan.

Untuk memudahkan langkah awal dalam memulakan perniagaan Internet secara sambilan, formula 3P boleh digunakan iaitu produk, platform dan promosi. Apakah maksud formula 3P?



P- untuk Produk
Memulakan perniagaan Internet pastinya memerlukan produk atau perkhidmatan untuk dijual. Ini terutama jika perniagaan yang ingin dimulakan adalah perniagaan sambilan, terbaik memulakan perniagaan yang berdasarkan minat atau hobi kita.

Apa tidaknya, apabila balik dari pejabat mungkin sudah penat bekerja, tiba masanya untuk melakukan sesuatu yang boleh memberi kepuasan kepada diri sendiri, bukan saja pada wang. Jadi, P yang
pertama adalah mendapatkan produk dan perkhidmatan mengikut minat atau hobi.

Melakukan sesuatu perniagaan berdasarkan minat bukan saja memberi kepuasan, tetapi juga memberi momentum untuk terus berusaha. Perniagaan yang dijalankan tidak dilihat sebagai satu ‘kerja’, tetapi sebagai suatu hobi yang dilakukan pada masa lapang. Bayangkan, melakukan sesuatu yang digemari dan kemudian menjana pendapatan!

P- untuk Platfom
Untuk memulakan perniagaan sambilan cara mudah adalah dengan menggunakan platfom yang anda sedia ketahui.'

Contoh, mungkin anda biasa menggunakan Facebook atau Instagram. Mungkin juga kita sering menonton video di YouTube dan menggunakan e-mel. Contoh sebegini saja dapat memberi gambaran bahawa ilmu menggunakan perisian ini sudah anda miliki cuma kaedah hendak menjadikan platform yang kita biasa gunakan ini untuk berniaga.

Mungkin kini kita sering menggunakan Facebook untuk mendapatkan informasi dan berhubung dengan kenalan dan keluarga atau menggunakan emel untuk tugas harian. Sekurang-kurangnya kita sudah tidak lagi janggal dalam menggunakan platfom sebegini kerana asas penggunaannya sudah kita ketahui. Ini akan menjimatkan banyak masa dan usaha - tidak perlu lagi belajar dari mula, tetapi perlu tahu cara menggunakannya untuk tujuan berniaga.

P- untuk Promosi
Pelajari strategi dan teknik promosi platfom yang anda pilih. Tanpa teknik dan strategi yang betul, pastinya sukar mendapat pelanggan. Ramai yang bertanyakan saya, mereka sudah menggunakan Facebook, Instagram dan platform media sosial lain tetapi masih sukar mendapat pelanggan.

Jawapannya mudah. Teknik dan strategi promosi yang digunakan itu tidak efektif. Malah ada yang hanya menjatuhkan kredibiliti perniagaan sendiri kerana melakukan teknik yang tidak beretika (tanpa disedari).
Teknik promosi juga berbeza untuk platform yang dipilih.

Teknik promosi Facebook berbeza daripada e-mel. Teknik promosi YouTube juga berbeza dengan Instagram. Sememangnya lebih banyak teknik dan kaedah promosi yang dipelajari, ia lebih baik untuk perniagaan.

Namun untuk perniagaan sambilan, memadai untuk kita mengetahui teknik terbaik untuk satu-satu jenis platfom yang dipilih dan beri fokus kepada platfom terbabit saja kerana kekangan masa menjalankan perniagaan sambilan.

Formula pendapatan tambahan menggunakan 3P adalah untuk mempermudahkan usaha dalam memulakan dan menjana pendapatan sambilan tambahan. Faktor kekangan masa, modal dan ilmu berniaga khususnya memerlukan peniaga sambilan di Internet memberi fokus kepada kekuatan dan kelebihan sedia ada pada diri dan memanfaatkannya supaya relevan untuk menjana pendapatan tambahan di Internet.

Dalam mencapai kejayaan perniagaan sama ada sepenuh masa atau sambilan, ia semestinya memerlukan usaha. Dalam keadaan kos hidup yang kian meningkat, usaha perlu dipertingkatkan dan alasan perlu dibuang.

Bilakah waktu terbaik memulakan perniagaan sambilan menggunakan formula 3P? 

Tidak kira waktu! Apa yang penting, anda mulakan perniagaan sekarang. Anda sendiri yang perlu menjadikan waktu ini waktu terbaik dalam memulakan perniagaan.

Sekiranya ingin memulakan perniagaan, jangan fikir negatif pada diri sendiri. Jika berfikir negatif, maka sampai bila pun kita tidak akan mengambil langkah pertama.

Teringat saya pada satu mutiara kata. “Adakalanya kita akan menyesal dengan apa yang sudah kita lakukan. Tetapi adakalanya juga kita akan menyesal dengan apa yang kita TIDAK LAKUKAN.

Jangan pula satu hari nanti, dua tahun akan datang, lima tahun akan datang atau 10 tahun akan datang, anda terfikir kembali. Kalaulah aku mulakan perniagaan 10 tahun dulu, kan ke hidup aku dah berubah.”
mymetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Berkenan .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...