Sabtu, 23 April 2016

INFO - Asal Usul Orang Siam di Kelantan

Mengikut sejarah, pertalian Kelantan-Siam dikatakan bermula sejak pertengahan abad ke 13. Waktu itu orang-orang Siam sudah mula menyumbangkan pengaruh kekuasaannya ke Selatan Lembah Sungai Chao Phraya, menurun ke kawasan utara Semenanjung Tanah Melayu…(Nik Mohamed dlm. Alias Mohamed 1977). Walau bagaimanapun pertalian ini berubah menjadi perlindungan apabila Long Muhammad menjadi Sultan Muhammad I pada tahun 1800/1801. Baginda menghantar Pak Wan Mahmud sebagai utusan menghadap Maharaja Siam dan sebagai tanda perhubungan setia Sultan Muhammad mengirim bunga mas ke Siam tiga tahun sekali (Cetera Kelantan dlm. Alias Muhammad 1977: 24).

Pada tahun 1832 Sultan sekali lagi menghantar utusan ke Ligor dan dari Ligor ke Bangkok mengadap Maharaja Siam kerana bimbang akan ancaman dari Terengganu yang berpakat dengan Pattani. Kepulangan utusan itu membawa bersama suatu persetiaan antara negeri Kelantan dengan Kerajaan Siam diwujudkan dan Kelantan hendaklah menghantar ufti bunga emas tiap-tiap tiga tahun sekali ke Siam sebagai balasan di atas kesanggupan Siam mengawasi musuh-musuh dari luar (Saad Shukri dlm. Alias Muhammad 1977; 24). Kekuatan pengaruh Siam dapat dilihat melalui tindakan Raja Siam yang telah memperkenankan Long Senik Mulut Merah menjadi Raja ja Kelantan pada tahun 1837 dengan gelaran Sultan Muhammad II apabila Sultan Muhammad I mangkat pada tahun 1835 (Alias Muhammad 1977: 15).



Apa yang jelas, hanya pada akhir kurun ke 18, Siam dikatakan telah menguasai Kelantan dan ini berakhir hingga tahun 1909 apabila negeri itu bersama-sama Kedah, Perlis dan Terengganu dipindahkan ke tangan British dalam perjanjian Anglo-Siamese (Alias Muhammad t.th. 2). Menurut Perjanjian Siam-Inggeris 1909, Kerajaan Siam bersetuju menyerahkan segala haknya keatas Negeri Kelantan kepada British. Dengan perjanjian ini maka Kelantan telah kehilangan sebuah jajahan yang menurut Kitab Tarikh Kelantan (dlm. Alias Muhammad t. th. 18) adalah seperti berikut:

“Pada masa negeri Kelantan bersetia dengan Siam adalah lebih kurang 15,000 orang Siam yang mendiami tempat-tempat di sebelah kanan mudik Sungai Tabal itu. Tetapi oleh sebab Surat Setia di antara kerajaan Siam dengan Kerajaan Inggeris yang berkenaan dengan perkara penyerahan negeri Kelantan, Kedah, dan Terengganu tidaklah diperbuat oleh Kerajaan Siam, bahawa Sungai Tabal itu sempadan jajahan Siam dengan jajahan Kelantan serta ditolakkan sebuah daerah di dalam Legeh yang dibawah bendera Siam kepada Kelantan iaitu sebelah ulu negeri Kelantan dan setengah tanah dalam jajahan Reman yang di bawah benderanya jua kepada negeri Perak.”

Golomb (1976: 15), meletakkan kira-kira satu peratus daripada 700,000 penduduk keseluruhan Kelantan adalah minoriti Thai. Beliau telah mengira dan mendapati terdapat 29 petempatan orang Thai di Kelantan yang mengandungi satu hingga lebih 250 rumah termasuk satu kampung yang terletak hanya selepas sempadan Negeri Terengganu dan satu di Wilayah Narathiwat. Saya menjangkakan kampung tersebut ialah Bukit Yong/Tok Chek (Tok Motong). Pada masa ini hanya terdapat dua perkampungan Thai di Terengganu iaitu Bukit Keluang (Pok/Pak Kiang) dan Batu Bala. Setelah dikira, Golomb menyatakan terdapat 20 buah biara Thai di 14 perkampungan Thai dan tiga buah di kampung majoriti penduduk Cina (Golomb 1976: 19). Mereka ini terdapat di Kampung Tenong, Kulim dan Malai. Tetapi, semasa saya menjadi bikhu selama empat bulan di Wat Cheng Buddhavas, Kelantan, saya dapati hanya dua buah biara sahaja dibangunkan di perkampungan Cina; Kampung Tenong dan Wakaf Bharu (Kulim). Saya mengecualikan Kampung Balai kerana majoritinya ethnik Thai yang membangunkan perkampungan ini bersama-sama orang Cina (Cina Kampung). Sebelum 1990-an hanya terdapat 19 buah biara sahaja yang betul-betul wujud. Ini berlaku di Kampung Malai di mana satu daripada dua biaranya telah tidak digunakan sehinggalah pada 1990-an biara tersebut telah dibina semula dan dibangunkan. Biara tersebut kini dinamakan Wat Photikyan Phut Thak Tham (Wat Tai Teen/Biara Hilir). Pengelompokan Thai Kelantan yang tinggi menurut Golomb adalah sekitar bandar Tumpat iaitu sepanjang sempadan Thailand. ASAL THAI KELANTAN Asal Thai Kelantan adalah tidak jelas.

Persoalan siapakah orang Thai pertama datang dan bagaimanakah mereka datang telah lama mendapat perhatian. Beberapa bukti telah dikemukakan tetapi tidak satupun mendapat rumusan tepat. Ethnik Thai, tidak seperti orang Cina, tidak banyak mendapat perhatian semasa era kedatangan imigran pada abad ke 18 dan 19, mungkin kerana mereka tidak terlibat dengan aktiviti sebagaimana aktiviti orang Cina seperti perlombongan emas, perniagaan dan perdagangan. Perbincangan seterusnya adalah berdasarkan tulisan Louis Golomb (1976: 15 & 16). Beliau telah menggunakan pendekatan linguistik untuk mengesan asal-mula komuniti Thai di Kelantan.

Menurutnya, kepadatan petempatan Thai dan dialek Tumpat-Tak Bai membayangkan mereka daripada punca yang sama. Berdasarkan pendekatan ini, Golomb menyimpulkan kebanyakan penduduk Thai Kelantan berasal dari daerah Tak Bai. Semua, kecuali tiga kampung Thai di Kelantan berkongsi dialek tempatan yang sama. Pengecualian ini, termasuk dua komuniti pinggir pantai menghala ke Terengganu. Saya berpendapat dengan penuh yakin perkampungan tersebut ialah Balai dan Semerak. Dua petempatan ini dengan koloni kecil imigran pedalaman, bercakap dalam dialek yang berbeza ketara daripada segi sistem bunyi berbanding Tumpat-Tak Bai.
masyarakat siam kelantan
Perbezaan dialek petempatan tepi pantai ini menerangkan migrasi yang berdikari, mungkin dengan bot di sepanjang pinggir pantai dari kawasan utara Thailand. Sebenarnya dialek Thai Kelantan tidak merujuk kepada daerah Tak Bai semata-mata, malahan merangkumi keseluruhan Wilayah Narathiwat. Menurut Golomb lagi, penduduk asal merupakan sekumpulan orang muda yang di kenali sebagai nakleng yang mengembara mencari kawasan pemburuan baru. Dalam kumpulan tersebut terdapat juga ahli menora yang mempersembahkan tarian tersebut di setiap tempat yang disinggahi. Kajian ini mempunyai persamaan dengan kajian Mohamed Yusoff (1993: 19) di Kampung Aril, Jajahan Kota Bharu. Menurutnya, Aril asalnya didiami oleh orang Melayu tetapi telah bertukar menjadi hutan belukar kerana kehadiran babi hutan yang mengancam dan merosakkan hasil tanaman mereka. Kebetulan kumpulan nakleng melintasi kawasan tersebut dan ditawarkan oleh ketua kampung untuk membuka semula kampung tadi dan sekaligus mewujudkan perkampungan Thai di Aril. Semasa menulis mengenai pengaruh Siam dan Buddha terhadap kepercayaan Orang Melayu di Kelantan, Mohamed Yusoff (1996: 24) menyatakan beberapa perkampungan Siam di Kelantan telah dibangunkan semenjak lebih daripada seratus tahun yang lepas. Malahan sebelum inipun, beliau telah menyatakannya sebagai:

Written records concerning the establishment of Siamese villages in Kelantan are not readily available and the dates of their foundation still remain a matter of speculation, but oral tradition indicate that these settlements are over 100 years old. In some places Siamese villagers are known to predate their Malay neighbours. The migration of Siamese settlers from southern Thailand was a regular occurance until the turn of the century. The prevailing social and political circumstance of the period obviously facilated Siamese migration into Kelantan. Most significantly, Siamese migrants faced very little resistance from the existing Malay peasantry since the former did not compete with the latter for agricultural land (Mohamed Yusoff 1990: 56).

Jika dilihat daripada segi masa, pengkaji sebelum ini menganggarkan perkampungan Thai sudah wujud lebih daripada 100 tahun. Manakala ada pengkaji lain menganggarkan lebih daripada 200 tahun. Wang Gungwu (dlm. Winzeler 1985) menyebut, pada akhir abad ke 18 ada lelaki Cina yang mengahwini gadis Thai. Malangnya, beliau seolah-olah menarik balik kenyataan tersebut dengan menyatakan mungkin gadis yang dikahwini itu bukan Thai asal tetapi dibawa dari tempat lain. Pendekatan linguistik juga pernah digunakan oleh Winzeler (1985). Beliau mengemukakan hujah menarik berkenaan asal Thai Kelantan. Menurutnya, mereka mendiami berdekatan sempadan yang di huni oleh masyarakat pra-moden Thai di Wilayah Selatan Thailand.
Ada bukti menerangkan hampir keseluruhan penempatan Thai (melainkan beberapa kampung terletak di timur jauh lembangan Kelantan) mempunyai hubungan dengan rumpun di sebelah sempadan di Wilayah Narathiwat dan kemungkinan kesemua berasal daripada enklaf yang lama wujud dalam wilayah Melayu mewujudkan perbezaan dialek, Tak Bai misalnya, satu Jajahan Narathiwat mempunyai perbezaan dialek dengan Wilayah Selatan lain-lain dialek Thai. Walau bagaimanapun ini tidaklah bermakna penutur dialek Tak Bai berasal daripada penempatan asal (original settlers), ia mungkin, malahan menyerupai, yang mereka adalah keturunan daripada migran kemudian yang telah diasimilasikan ke dalam komuniti sedia ada. Setengah maklumat mencadangkan penyelerakan dan pergerakan pada masa lepas adalah perkara biasa dalam bentuk petempatan Thai. Jika asal orang Kelantan dan Tak Bai tidak jelas, sejarah mereka adalah sedikit kurang. Satu persoalan ialah tentang hubungan antara pembangunan etnik lepas dan abad ke 19 dan 20 pada perluasan metropolitan Thai dan penggabungan dalam wilayah berkenaan.

Menurut sejarah, sebelum ini pada abad ke 19 pemerintah Thai telah lama menuntut sebagai tuan kepada Kelantan dan negeri utara Melayu, kecuali kes Patani yang menjadi sebuah kerajaan Melayu (Winzeler 1985: 68). Ini berlaku sebelum penyerahan hak Bangkok kecuali Patani kepada Great Britain pada tahun 1909, yang pada masa itu petempatan Thai telah lama wujud. Cuma persoalannya sama ada ia berkembang hasil daripada keterlibatan kerajaan Thai.

Graham (dlm. Winzeler) membuat banyak rujukan tentang orang Thai, ia mengundang banyak kekeliruan. Beliau menyatakan terdapat dua kampung (tidak di kenal pasti) boleh dikaitkan dengan pelanggaran Thai pada 60 tahun sebelum ini (1840-an), tetapi tidak menyumbangkan dengan banyak kepada jumlah penduduk Thai atau sebarang pergerakan ketenteraan lain. Di sini tidak ada bukti yang mengaitkan usaha kerajaan Bangkok mempromosi kemasukan orang Thai ke wilayah ini, atau tindakan mereka sendiri bermigrasi di bawah penguasaan kerajaan Thai.

Menurut Mohamed Yusoff (1993: 18) kewujudan perkampungan Thai di Kelantan tidak ada kaitan dengan polisi kolonial kerajaan Siam. Walaupun, Siam mempunyai minat yang tinggi ke atas negeri Melayu, tetapi ia bukan bertujuan mewujudkan kota-kota Siam, kerana tujuannya menghalang pengaruh Burma dan Inggeris. Malahan, tidak ada bukti yang menunjukkan perkampungan Thai dibangunkan atas perintah Bangkok (Kershaw dlm. Mohamed Yusoff 1993: 18).

Persoalan kedua, tentang saiz populasi Thai di Kelantan sebelum dan selepas perlindungan British pada tahun 1909. Menulis pada tahun 1907, Graham (dlm. Winzeler) menganggarkan bilangan penduduk Thai adalah 15,000 orang dan mencatitkan konsentrasi mereka adalah di persisir pantai negeri. Jika anggaran ini adalah benar, populasi Thai telah berkurang lebih daripada satu-setengah (one-half) dan berkurang kepada satu perempat daripada anggaran penduduk kini lebih daripada dua kali ganda jumlah 300,000 yang beliau kemukakan. Graham juga mencatatkan terdapat lebih daripada 40 biara Thai, sedangkan kini tinggal separuh daripadanya. Kemerosotan yang besar berlaku kepada orang Thai pada banci pertama pada tahun 1911, apabila kurang daripada 5,000 orang direkodkan.


Satu kemungkinan besar kekurangan Thai Kelantan ialah mereka meninggalkan Kelantan apabila Bangkok melepaskannya kepada kerajaan British. Berdasarkan kiraan Graham, tulisan sebelum penyerahan Kelantan kepada British, orang Thai hidup dengan aman dan bahagia. Walaubagaimanapun, tidak ada bukti pergerakan keluar daripada negeri atau akibat daripada ketidaksenangan di bawah kawalan British. Kemungkinan yang selesa ialah Graham memasukkan sekali bilangan ethnik Thai di Thailand apabila sempadan Kelantan dan Thailand ditetapkan pada tahun 1909.
panduan percuma

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...