Anak yang tidak sihat biasanya kurang selera menjamah makanan. Janganlah paksa mereka tetapi usah juga biarkan mereka langsung tidak makan. Carilah menu yang sesuai dan dapat terus membekalkan nutrien kepada mereka.



1. Demam
*Anak yang demam selalunya tidak lapar. Jangan paksa mereka makan sebaliknya pastikan minum banyak air kerana ketika ini tubuhnya kehilangan banyak cecair.
*Segera bawa anak berjumpa doktor jika suhu badan terlalu tinggi, terlalu banyak tidur dan tidak membuang air seperti biasa.
2. Selesema
*Anak yang dijangkiti selesema perlu minum banyak air. Berilah mereka minum air masak, jus buah-buahan dalam kuantiti yang banyak.
*Sementara makanan yang sesuai untuk mereka pula adalah sup, dadih dan jika keadaan mereka bertambah baik, anda boleh memberi mereka susu.
3. Sakit tekak
*Apabila diserang sakit tekak, kanak-kanak biasanya suka makanan suam dan ada yang suka makanan sejuk.
*Bagi yang suka makanan suam, berilah mereka sup pasta dengan roti putih bersama minuman coklat suam atau jus epal suam.
*Bagi yang berselera makanan sejuk pula, hidangkan makanan seperti dadih, pisang lecek bersama aiskrim, susu kocak (milk shake) dan jus buah-buahan.
4. Muntah-muntah
*Jangan beri sebarang makanan atau minuman kepada anak yang diserang muntah sehingga perutnya selesa.
*Kira-kira satu jam selepas muntah, berikan anak sedikit air untuk membasahkan tekaknya.
*Beberapa jam kemudian, berikan lagi air kepadanya dalam kuantiti yang lebih daripada sebelumnya (jika dia tidak lagi muntah).
*Selepas keadaan pulih, berikan anak makanan yang lembut seperti bubur nasi, sup ayam dan sup kentang bersama lobak merah.
5. Cirit-birit
*Tahukah anda bahawa mereka yang mengalami cirit-birit telah kehilangan banyak cecair dalam badan. Oleh itu, air yang hilang perlu diganti segera.
*Sekiranya anak membuang air besar lebih daripada sekali dalam tempoh tiga jam, beri dia minum larutan Garam Rehidrasi Oral (ORS) untuk menggantikan cecair dan garam yang hilang dari tubuh.
*Sebaiknya beri anak ½ hingga 1 cawan larutan ORS setiap jam dalam tempoh 24 jam sehingga cirit-biritnya reda.
*Anak akan hanya berselera makan apabila dia sudah rasa selesa. Ketika itu berilah dia makan makanan yang berkhasiat. Elakkan daripada memberinya minum susu, jus epal dan makanan yang tinggi kandungan garam atau gula untuk tempoh sehari dua.
pama