IMAM GHAZALI rahimahullah berkata bahawasanya agama itu terbahagi kepada
dua. Pertamanya meninggalkan maksiat yang ditegah dan satu bahagian
lagi adalah mengerjakan segala yang disuruh.
Lazimnya, berbuat taat dan menurut segala yang disuruh itu adalah lebih
mudah berbanding dengan meninggalkan perkara yang dilarang. Kerana
itulah Nabi s.a.w. bersabda, “ Orang yang berhijrah itu adalah seorang
yang meninggalkan kejahatan dan orang yang berjihad ialah seorang yang
memerangi hawa nafsunya.”
Individu yang berbuat maksiat adalah mereka yang mengkhianati Allah dan
mengkufuri nikmat yang dianugerahkan-Nya. Ini kerana anggota tubuh badan
adalah satu nikmat dan amanah Allah kepada hamba-Nya.
Sekiranya hamba tersebut menggunakan anggota itu kepada perlakuan
maksiat, ia telah menyalahi fitrah kejadiannya sendiri. Di waktu inilah
seseorang itu menjadi kufur terhadap nikmat Allah.
Oleh itu, hendaklah setiap individu muslim menjaga sungguh-sungguh
seluruh anggota badannya terutamanya anggota yang tujuh iaitu memelihara
MATA, TELINGA, LIDAH, PERUT, KEMALUAN, TANGAN dan KAKI. Ini kerana
Jahannam itu terdiri dari tujuh pintu dan tidak terhumban ke dalamnya
anak Adam melainkan maksiat anggota yang tujuh itu.
Mata yang dianugerahkan Allah untuk melihat dan memimpin anggota tubuh
yang lain wajib dielakkan dari melihat empat perkara. Peliharalah mata
dari melihat perkara yang haram seperti aurat perempuan, melihat gadis
remaja dengan iringan syahwat, melihat kepada sesama muslim dengan
pandangan yang menghinakan dan melihat segala keaiban orang lain.
Telinga yang berfungsi untuk mendengar sesuatu harus dicegah dari
mendengar segala perkataan bid’ah yang menyimpang dari ajaran agama,
mendengar umpat-mengumpat dan kata-mengata, mendengar perkataan yang
keji dan juga mendengar perkataan yang batil dan sia-sia.
Lidah diciptakan oleh Allah untuk berkata-kata. Maka hendaklah ia
digunakan mengikut fungsinya yang benar. Janganlah sampai ia diseleweng
dengan menuturkan kalimah dusta walau untuk tujuan bergurau-senda,
mengumpat, menfitnah, bertengkar dan mengucapkan segala perkataan kotor.
Rasulullah s.a.w. bersabda, “ Sesungguhnya dusta itu satu pintu dari
sifat munafik.” Tetapi dalam keadaan tertentu kita harus berdusta,
misalnya untuk mendamaikan dua orang yang berkelahi atau suami-isteri
yang bergaduh, yang mana tidak mungkin mereka dapat didamaikan kecuali
dengan berdusta. Begitu juga dengan mengumpat. Ia dibenarkan jika
membawa maslahah ( kebaikan ) yang meliputi pada enam keadaan :-
1. Mendedahkan kejahatan penjenayah supaya dihukum pemerintah atau mendedahkan kezaliman pemerintah supaya dihukum oleh rakyat.
2. Mendedahkan perbuatan mungkar seseorang supaya dia meninggalkan maksiat tersebut.
3. Mendedahkan kezaliman seseorang untuk menuntut hak dan keadilan.
4. Mendedahkan kefasikan dan kezaliman seseorang kepada orang yang belum
mengetahuinya bagi mengelakkan mereka bersahabat dengan si fasiq atau
si zalim itu.
5. Memperkenalkan seseorang yang tidak dikenali melainkan dengan menyebut keaiban yang ada pada dirinya.
6. Menyebut akan sifat keji orang yang masyhur dengan kezaliman, kefasikan atau kejahatannya.
Selain dari enam situasi di atas, kita dilarang sama sekali dari
mengumpat walau apa yang dikata itu ada kebenarannya. Dalam hal ini,
Rasulullah s.a.w. bersabda, “ Jangan mengumpat sebahagian kamu akan
sebahagian yang lain. Adakah sebahagian kamu suka memakan daging
saudaranya yang sudah mati? Sudah tentu kamu benci.”
Perut pula hendaklah dipelihara dari memakan yang haram dan yang syubhah
( tidak jelas antara yang halal dan haram ). Ini kerana makanan yang
kita makan akan menjadi darah daging. Rasulullah s.a.w. bersabda, “
Setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram maka neraka adalah
lebih utama untuknya.”
Rasulullah s.a.w. turut bersabda lagi, “ Ibadat dan ilmu yang disertai
dengan memakan rezeki yang haram seperti membina rumah di atas himpunan
najis.”
Seterusnya, Imam Ghazali mengingatkan kita agar menjaga kemaluan dari
segala yang diharamkan ke atasnya oleh Allah. Hendaklah ia dipelihara
sebagai mana firman Allah, “ Dan mereka yang memelihara akan kemaluan
mereka melainkan ke atas isteri mereka atau ke atas hamba sahaya mereka,
maka sesungguhnya mereka tiada dicela.”
Tangan turut harus dijaga dengan sebaik-baiknya dari memalukan dan
menjatuhkan maruah sesama Islam. Ia juga janganlah digunakan untuk
mencapai tujuan yang jahat atau menyuruh berbuat yang haram.
Manakala kedua kaki pula hendaklah dipelihara dari melangkah ke
tempat-tempat maksiat yang ditegah oleh syarak. Dan juga kedua kaki itu
hendaklah dikawal dari menghadap pemerintah yang zalim tanpa sebarang
keadaan darurat yang mendesak.
Begitulah nasihat Imam Ghazali didalam kitabnya yang agung, ‘ Bidayatul
Hidayah .’ Sesungguhnya di akhirat nanti segala anggota tersebut akan
memberi kesaksian di atas apa yang dikerjakan di muka bumi ini
sebagaimana firman Allah di dalam Surah Ya-Siin, “ Pada hari Kami kunci
mulut-mulut mereka dan tangan-tangan mereka memberitahu Kami dan kaki
mereka pula menjadi saksi tentang apa yang telah mereka usahakan.”http://ohhinformasi.blogspot.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan