Rabu, 18 Julai 2012

Hidup Sentiasa Bersangka Baik (Jom Baca!)

Dalam seharian kita hidup dan Alhamdulillah sehingga hari ini kita masih bernyawa, hampir seluruh masa kita akan bersangka. Ketika hendak pergi ke tempat kerja, kita akan bersangka sama ada jalan sesak atau tidak. Ketika membeli makanan di kedai, kita akan bersangka sama ada sedap atau tidak dan sebagainya.  Bersangka terbahagi kepada dua, iaitu buruk dan baik. Sudah semestinya semua tahu apa itu buruk dan apa itu baik. Akan tetapi, dalam banyak sangkaan kita itu, berapa banyakkah sangkaan baik dibandingkan dengan sangkaan buruk?

 




 



Situasi 1:
Ali membeli gula-gula lalu dibawa ke sekolah. Kemudian Abu melihat bungkusan gula-gula itu lalu terdetik di hatinya, ‘Ali ni nak berlagak bawak gula-gula ke?’ atau ‘Ish, mana boleh makan gula-gula di sekolah’.

Situasi 2:
Ali membeli gula-gula lalu dibawa ke sekolah. Kemudian Abu melihat bungkusan gula-gula itu lalu terdetik di hatinya, ‘Eh, Ali membawa gula itu kenapa ye? Mungkin kerana mahu memberi kepada rakan-rakan’ atau ‘Alhamdulillah, Ali membawa gula itu kerana cikgu memesannya membawa untuk diberikan hadiah kelak tatkala quiz dilakukan’.

Yang mana satu situasi kita? Sejujurnya bagi diri saya, posisi saya di Situasi 1, kerana saya juga kadangkala terdetik sangkaan buruk di fikiran ini. Akan tetapi, saya tahu, ramai lagi yang memilih Situasi 2 kerana itulah yang sebaiknya. Bersangka baik.

Memang sukar untuk bersangka baik, sememangnya satu cabaran untuk kita. Tetapi terdapat banyak keburukan dalam bersangka buruk. Contohnya, ia boleh membuahkan perasaan hasad dengki dan sebagainya. Malah, ia akan menjadikan diri kita sendiri lebih buruk daripada orang lain.

Apakah pangkat atau darjat kita sehingga mudah untuk menilai yang buruk bagi orang itu sedangkan zahirnya mereka melakukan perkara baik? Bukanlah hak kita untuk bersangka buruk dan memburukkan seseorang itu dengan hanya melihat dari segi fizikalnya sahaja. Hak untuk menilai seseorang itu hanya terletak pada Allah. Hanya Allah yang berhak menilai seseorang kerana Dialah yang mengetahui setiap hambanya dari dalam sehingga luar dan apa yang kita tidak nampak. Hak kita hanya bersangka baik kerana itu yang terbaik.

Oleh itu, saya juga sentiasa menasihati diri sendiri dan para pembaca supaya bersangka baik dalam apa jua tindakan. Jangan terlalu mudah kita menilai seseorang itu jika seseorang itu hanya melakukan satu perkara yang kurang enak pada pandangan kita tetapi tidak menjejaskan orang lain.

Tiada hamba yang sempurna dan kita perlu sentiasa mencari seribu satu jalan untuk membaiki diri kita dari masa ke masa. Apabila kita nampak seseorang itu melakukan sesuatu perkara, jangan mudah bersangka buruk. Bersangka baiklah kerana ianya baik untuk diri, hati dan perbuatan kita.

Melayukini.net - Jika seseorang itu melakukan perkara buruk, ambil pengajaran dan ingatkan diri kita supaya membaiki diri menjadi lebih baik dan tidak melakukan perkara yang tidak elok. Bersangka baik, hati baik, diri baik, semuanya baik. Apa yang paling penting, dalam bersangka baik, kita juga perlu sentiasa berhati-hati dalam apa jua perkara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...