Pemakanan kanak-kanak yang baru belajar berpuasa perlu dititikberatkan. Hal ini mustahak agar dia kekal bertenaga sepanjang hari dan mampu melengkapkan ujian berpuasa sebulan dengan sempurna.
Dalam mendidik anak-anak, semuanya harus dilakukan sejak dari usia kecil. Sama juga halnya dengan ibadah puasa di bulan Ramadhan ini. Untuk peringkat permulaan, anda bolehlah meminta dia berpuasa mengikut kemampuan diri masing-masing. Tidak perlu memaksa dia untuk berpuasa penuh sehari. Apa yang penting, anda sudah mengorak langkah permulaan untuk mendidiknya makan secara sihat ketika melaksanakan rukun Islam ketiga ini.
Biar apa pun pilihannya, ketahuilah bahawa makanan adalah sumber penting dalam membekalkan tenaga kepada si kecil yang baru belajar untuk menunaikan ibadah puasa. Bagi anak anda yang hanya mampu berpuasa setengah hari pun, anda tetap perlu meneliti makanan yang diambilnya agar dia tidak mudah berasa lapar di pertengahan hari.
Agar usaha si anak berjaya melunaskan tuntutan berpuasa ini, anda memainkan peranan penting dalam mengatur rutin pemakanannya. Pemilihan makanan yang seimbang dan sihat ketika bersahur mahupun saat berbuka puasa adalah antara yang perlu anda ambil peduli. Justeru, panduan berikut boleh anda aplikasikan dalam membantu dia menjalani ibadah puasa dengan sebaik mungkin.
Makanan Seimbang
Selain daripada makanan ruji biasa, paling penting lengkapkan pemakanannya dengan pengambilan makanan bersumberkan buah-buahan dan sayur-sayuran sewaktu makan sahur dan buka puasa. Dalam pada itu, adalah lebih baik jika anda dapat menggalakkannya untuk makan buah-buahan segar berbanding buah yang telah diolah menjadi makanan tertentu. Hal ini bagi memastikan dia mendapat khasiat sepenuhnya daripada pengambilan buah berkenaan.
Makanan Berserat
Sekiranya anak anda tidak berselera untuk makan nasi atau makan makanan berat ketika bersahur, gantikannya dengan pengambilan makanan berasaskan bijirin. Sebaik-baiknya bijirin penuh. Serat yang terkandung di dalam bijirin sebegini mampu membekalkan tenaga sepanjang hari.
Tahukah anda bahawa pengambilan serat ketika berpuasa sangat penting kerana ia dapat melambatkan proses tubuh untuk berasa lapar. Malah, ia juga baik dalam melancarkan proses penghadaman. Serat larut yang terdapat dalam buah-buahan dan kekacang menggalakkan penyerapan zat daripada makanan ke dalam tubuh. Manakala, serat tidak larut di dalam bijirin dan sayur-sayuran pula memastikan salur pencernaan bebas daripada sebarang halangan. Serat jenis ini turut menyerap air yang dapat membantu anak anda cepat kenyang.
majalahpama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan